CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, November 16, 2005

Posted by Picasa


Pasangan bahagia
InsyaAllah berkekalan selamanya
Ya Allah, satukanlah hati kami dalam redhaMu

Tuesday, November 15, 2005

Akhirnya...

Ha ha ha... (^_^) aku tak start study lagi. Dari buka mata pagi tadi, aku dok mengadap komputer. Bila la nak start study ni??? Tapi, aku gembira sangat saat ini. Aku dah dapat cari sesuatu. Mencari "bahagia abadi" yang dah lama aku tercari-cari, terjenguk-jenguk.

Buat Syakirah, pelajarku di KPMB, terima kasih atas ucapan selamat. Saya juga doakan Kira berjaya dalam pelajaran dan dalam menempuh susah senang kehidupan. Kira, hidup tak semudah dan seindah yang kita rancangkan dan impikan. Namun, apa sahaja rintangan yang bakal kita hadapi, jangan berputus asa. Suka dan duka itu satu lumrah dan nikmat yang Allah berikan pada kita. Saya juga pernah gagal dan sedih. Tapi saya jadikan ia sebagai satu pengalaman manis dalam kehidupan. Yang mengajar saya menjadi semakin matang dengan kehidupan. Setiap hari dalam hidup kita adalah proses pembelajaran.

Memori KPM Beranang

11 November 2005

Air mata menjadi teman. Kisah duka, kisah gembira kehidupan merupakan satu lumrah.

Hari ini, sepanjang perjalanan dari Beranang ke Shah Alam aku menitiskan air mata. Aku tidak mampu menahan kesedihan. Kesedihan berpisah dengan Kolej Profesional Mara Beranang. Pelajar-pelajarnya, kakitangannya, guru-gurunya, dan rakan-rakan aku.

Ini adalah kali ke empat aku meninggalkan pekerjaan yang pernah aku lakukan sejak bergelar graduan. 3 tempat kerja sebelum ini, aku tinggalkan dengan rela hati. Memanglah sedih, tapi aku tidak pernah menitiskan air mata. Malah boleh tersenyum ceria. Namun, kerana cintaku telah tersemai di KPMB, aku gagal. Gagal mengawal perasaan. Sedih, pilu, terharu, rindu, semua bersatu dalam rasa yang berbuku di hati.

Senyuman kuukir. Ceria bertandang di wajah. Hatiku rela. Waktu kukemas tempatku, saat bersalaman dengan rakan-rakan sepejabat, tika berpelukan dengan pelajar-pelajar, tiada rasa yang terbit dari hati. Tiada tangisan yang luruh dari kedua kelopak mata. Semuanya kulalui dengan rela. Kunjungan pelajar yang tampak sugul ku balas dengan senyuman ceria dan kata-kata perangsang.

Namun, segalanya terungkai, setiap rasa terserlah, saat aku tinggalkan tempatku di KPMB. Sebelum melangkah keluar pejabat pada jam 6.15 petang, ku tenung setiap inci ruang pejabat General Studies Department. Kukutip setiap kenangan yang tersimpan di tempat itu. Kusemat kukuh dalam minda dan perasaanku. Saat itu, sendu yang tertahan di dada tidak mampu bertahan. Air mata mengalir deras. Air mata rindu. Airmata terharu. Air mata sayang.

Belumpun aku meninggalkan KPMB, rasa rindu pada KPMB telah membuak di dada. Di sini aku pelajari banyak pengalaman. Buat soalan exam, team marking, pelajar yang dahagakan bimbingan, kemesraan pelajar-pelajar, harapan pelajar, semuanya membuatkan aku rasa sayang. Sayang untuk berpisah dengan KPMB.

Sepanjang perjalanan pulang, dalam hujan air mata, aku doakan. Aku mengharapkan. Dia yang Maha Mengetahui akan mengurniakan kepada pelajar-pelajar yang dahagakan bimbingan dan perhatian ini, insan yang lebih baik daripadaku. Insan yang dapat menyelami hati dan perasaan mereka. Insan yang mampu membuahkan harapan, semangat, dan usaha dalam diri mereka untuk melayari hidup yang berliku ini. Insan yang tega berkorban untuk melihat mereka memperbaiki diri ke arah yang lebih baik rohani, jasmani, emosi, dan intelektual.

Alhamdulillah aku dikurnia seorang suami yang dapat bersama-samaku kala duka menguasai hati. Pada bahu abang, aku sekali lagi menghamburkan rasa terbuku. Kata abang, kalau kita terpaksa tinggalkan sesuatu yang kita sayangi, doakanlah kebaikan buatnya. Terima kasih abang.

SELAMAT MAJU JAYA BUAT SEMUA PELAJAR KPMB. SAYA SAYANG KAMU SEMUA.

Monday, November 14, 2005

Exam

Hari ni mood aku menurun bila ingat exam dah dekat. Camne ni, study tak lagi. Walaupun satu paper je, kena ready jugak. Assignment ade dua lagi yang tak settle. Kena hantar sebelum exam hari Jumaat ni. Haaa... inilah padahnya bila kerja menangguh ni. Last minute baru ler berdebar tak karuan. Mood pun bergolak.

Thursday, November 10, 2005

Bengang

Bengang dengan blog sendiri. Apesal ntah internet jadi lembab gile bila aku bukak blog sendiri. Arrggghh...

Wednesday, November 09, 2005

Nasi Dagang

Ntah kenapa tetiba seminggu dua ni aku jadi seorang peminat nasi dagang. Mungkin kerana aku rindu yang amat pada tanah kelahiranku, Kuala Terengganu. Sejak perginya arwah indewan, rumah 744 di Kampung Nesan ditinggal kesepian. Seperti sepinya hatiku dengan kenangan-kenangan lalu di rumah pusaka itu.

Aku ingat masa kecil-kecil (tak le kecil sangat, dalam alam sekolah rendah & menengah), kemeriahan hari raya di rumah 744 memang begitu terkesan. Biasanya saudara mara sudah mula berkumpul sejak 2 hari sebelum raya. Juadah wajib untuk berbuka puasa yang akan disediakan oleh arwah indewan ialah bubur lambuk. Memang sedap, tiada tandingannya.

Sebelum berbuka, mak-mak akan sibuk menyediakan hidangan. Projek biasa yang dilakukan ketika berbuka ni ialah ABC. Aku ingat lagi, mak saudara aku beli 'mesin' ABC yang plastik semata-mata nak buat ABC. Nak kisar air batu punye seksa. Berebut anak saudara menunggu giliran mendapat ABC. Selepas berbuka, turn anak-anak dara pula mengemas dan membasuh pinggan. Masa tu mane ade bibik yang nak tolong kemas. Punyalah seronok bekerjasama. Membuat kerja sama-sama inilah yang merapatkan kami sepupu sepapat.

Malam pula main mercun dan bunga api. Eh, ape pulak langgar peraturan? Masa tu mercun tak haram lagi. Tokeynya ialah pak sedara aku yang bongsu. Semua anak saudara join. Tak kira yang besar @ kecil. Meriah suasana malam membangkitkan kegirangan dan keriangan sekeluarga. Gantung tanglung keliling rumah.

Masa malam raya, cucuk satey, bakar satey, buat ketupat, buat kuah kacang, makan kerang rebus. Satey yang masuk mulut anak-anak lebih banyak dari yang dah dibakar. Masa tu takde istilah nak tempah menempah satey. Semua buat sendiri. Tokey satey ialah bapak-bapak. Anak-anak kebanyakannya jadi tukang sibuk dan tukang memeriahkan suasana. Anak-anak dara yang tolong tukar sarung kusyen. Keriuhan ini menerbitkan satu ikatan persaudaraan yang kukuh.

Namun, itu semua kenangan. Kenangan 744 yang kini sepi. Jauh dari kebingitan derap kaki anak-anak berlari di tingkat atas. Sunyi dari gelak tawa, senda gurau sanak saudara. Di rumah 744 ini kukenali seorang datuk (inde) dan seorang nenek (indewan), mak-mak saudara, ayah-ayah saudara, sepupu sepapat. Di rumah 744 ini terlalu banyak kenangan gembira yang terpahat di hati. Juga tertanam kukuh kenangan duka bersama arwah indewan. Aku rindukan semua kenangan-kenangan itu.

Kerinduan yang mendalam ini membuatkan aku begitu teringin makan nasi dagang. Bulan puasa hari tu aku makan nasi dagang Kelantan. Muak. Pagi tadi aku makan nasi dagang di Grand Cont, Kuantan. Tak sedap. Tak habis pun makan satu pinggan. Dan pastinya yang paling best ialah nasi dagang Terengganu kat Chendering. Pergghh... tak puas rasanya makan nasi dagang kat situ. Alhamdulillah, aku berkesempatan makan nasi dagang Chendering masa beraya di Kuala Terengganu raya ke 4 hari tu. Dan sekarang... aku teringin lagi nasi dagang kat Chendering tu.

Seorang Isteri...

Posted by Picasa


Posted by Picasa


Aku ingin menjadi isteri solehah
Tapi bagaimana?

Duhai hati
Redhalah dikau
menjadi seorang isteri
Bersabarlah dikau
atas segala ujian

Duhai suamiku yang disayangi
Bantulah aku
mengenal erti sebuah kehidupan
rumahtangga yang kita bina ini
Bimbinglah aku
yang serba kekurangan
juga ada kelebihan kurniaan Yang Esa

Ya Allah
Aku bermohon padaMu
Dengan segala kekuasaanMu
Kurniakan aku
jiwa yang tabah dan kental
Kurniakan aku
ketenangan dan kebahagiaan
Kurniakan aku
nikmat rasa kesyukuran
yang tidak terhingga padaMu...

Monday, November 07, 2005

KB - SA

Hari ini bermula kembali perjalanan hidupku diperantauan selepas menghabiskan cuti raya bersama keluarga tercinta. Cuma, title aku telah berubah. Daripada cik kepada puan. Bermakna tugas dan tanggungjawab aku juga bertambah. Kalau seminggu yang lepas, tanggungjawab aku berkisar sebagai anak, pelajar, dan tenaga pengajar, kini bertambah 1 lagi, sebagai seorang isteri.

Alhamdulillah, aku telah selamat diijabkabulkan dengan jejaka ketentuan Allah untukku pada 3 November 2005, jam 9.55 mlm, dengan sekali lafaz. Letih kerana tugas-tugas mengemas. Gembira kerana segala perancangan berjalan lancar. Terharu kerana ada yang sudi memperisterikan aku yang serba kekurangan ini.

Terima kasih buat mak dan adik-adik yang telah bertungkus lumus sepajang majlis pernikahanku. Bantuan dan jasa kalian tidak terbalas. Hanya Allah yang akan memberi ganjaran setimpalnya. Maaf dipohon dari mak kerana pelbagai peringkat dalam urusan perkahwinan honey membuatkan mak rasa susah dan letih.

Wednesday, November 02, 2005

Salam Lebaran

InsyaAllah... Esok, seluruh umat Islam akan meraikan satu hari kebesaran, hari raya, hari kemenangan. Suatu sambutan yang bukan perayaan budaya, bukan perayaan nenek moyang, bukan perayaan adat, juga bukan perayaan turun temurun.

Ia adalah suatu hari di mana seluruh umat Islam meraikan kesyukuran terhadap anugerah Islam yang Allah berikan kepada semua umat Islam. Bersyukur dengan nikmat Islam, bersyukur terhadap nyawa yang Allah kurniakan untuk terus beribadah, bersyukur dengan rezeki yang telah Allah berikan sepanjang hidup di dunia.

Tapi, berapa ramaikah antara kita yang merasakan kesyukuran tersebut? Terasakah kita betapa hebatnya keagungan Allah yang telah memberikan kita pelbagai nikmat yang tidak terkira? Lihatlah kembali dalam diri kita. Bagaimana kita melahirkan kesyukuran kita? Bagaimana kita meraikan hari raya yang sepatutnya menjadi kebanggaan umat Islam?

Bukan hari yang menyebabkan syaitan bersorak, berpesta kegembiraan.

Monday, October 31, 2005

Bersyukurlah

Bersyukurlah orang-orang yang memperolehi nikmat kesihatan berpanjangan dalam apa jua keadaan.

Dua hari ni, aku dirundung selesema @ berair hidung. Puncanya habuk yang berterbangan di dalam rumah. Tengok je habuk yang banyak sudah cukup membuatkan aku bersin. Apatah lagi bila seharian menyapu, mengemop dan mengalihkan barang-barang yang sudah 6 tahun tak berusik.

Aku buat segalanya dengan rela hati, enjoy. 5 minit buat kerja, 10 minit berhenti rehat. Ha ha ha (^_^) Aku terpaksa mengerah keringat aku sorang-sorang bila adik-adik taknak bagi kerjasama. Takpe la. Aku rela. Aku yang nak bernikah, majlis untuk aku, apa salahnya aku bertungkus-lumus lebih dari biasa. Penat tu toksah kira lah. Tapi takpe. Bukan selalu pun.

Saturday, October 29, 2005

Bercuti

Alhamdulillah... Hari ni aku dah berada di kampung halamanku yang amat dirindui, Kota Bharu.

Semalam, aku masih bekerja. Bertemu dengan para pelajar yang mengucapkan seamat hari raya, yang membimbit beg besar menuju ke kampung halaman, yang memohon kemaafan, membuatkan jiwa aku meronta-ronta untuk pulang ke kampung berkumpul bersama adik-beradik. Seronok tidak terkira rasanya bila bersama keluarga. Tiada yang dapat menggantikan keseronokan dan kegembiraan bersama keluarga. Tidak rakan-rakan dan tidak juga kerja yang berpanjangan.

Hari ini, aku dah mula bertekak dengan adik-adik, dah mula bergurau senda dengan keluarga. Waarrrgghhh... seronoknya! Gembira sangat! Gembira tak terkira. Rindu yang bertamu di hati pada keluarga semakin membara. Rasa taknak lagi berjauhan dengan keluarga.

Misi utama balik bercuti di rumah pada kali ini : "Mengemas, beraya, dan bernikah" (^_^)

Sunday, October 23, 2005

22 Oktober 1979

SELAMAT HARI LAHIR buat tunang tersayang. Walaupun entry ni lambat sehari kerana tak berkesempatan nak update blog semalam, rasanya belum terlewat untuk ku ucapkan ucapan selamat buat tunangku melalui blog ini sempena hari lahirnya ke 26.

Moga dengan meningkatnye usia kehidupan mencecah tahun ke 26, akan merubah kehidupan abang menjadi lebih baik dari sebelumnya. honey doakan moga kehidupan yang abang lalui setiap hari di dunia ini mendapat keredhaan dan dihisab kelak sebagai amalan-amalan yang membawa ke syurgaNya.

Ma, terima kasih kerana melahirkan, membesarkan, mendidik abang hingga menjadi insan yang berhati mulia dan terima kasih kerana merestui hubungan kami.

Friday, October 21, 2005

Sedia...

Takutnya aku. Takut untuk melangkah ke gerbang perkahwinan. Takut untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Mampukah aku? Layakkah aku? Dapatkah aku memberi ketenangan dan kebahagian kepada suamiku kelak?

Insya Allah aku akan diijabkabulkan pada 4 November ini. Majlis kesyukuran sempena perkahwinan aku pula akan diadakan pada 3 Disember.

Ade sape2 dapat bagi tips mendirikan perkahwinan bahagia?

Pengalaman

Aku suka mengajar di KPM. Ia adalah pengalaman berharga dalam hidupku. Mengenal masyarakat. Melihat manusia di luar kelompok aku sendiri. Berinteraksi dengan mereka. Mengajak mereka melakukan kebaikan.

Dan aku dapat rasakan, anak-anak muda di peringkat kolej ini amat memerlukan seseorang yang dapat sentiasa mengingatkan mereka tentang kehidupan dunia dan akhirat. Membimbing mereka ke arah kebenaran. Menggertak mereka tentang noda yang mereka palit pada diri sendiri. Mereka mengharap ade pembimbing yang memahami mereka. Yang dapat menjadi role model buat mereka. Yang mahu berinteraksi mesra dengan mereka.

Mereka bukan sekadar mahukan guru yang hanya mengajar di dalam kelas. Yang sekadar menghabiskan silibus, mendesak supaya mereka belajar bersungguh-sungguh. Mereka mahukan lebih dari itu.

Namun, pelajar-pelajar ini tidak tahu di mana harus mereka cari insan yang boleh membimbing mereka. Mereka tidak tahu pada siapa boleh mereka gantung pengharapan untuk mencari sinar kesedaran yang dapan membantu mereka berubah dari baik menjadi lebih baik. Daripada tiada matlamat kehidupan, ke arah yang lebih terurus. Silap langkah, malah menjerumuskan mereka ke jalan yang lebih berliku dan beranjau yang melukakan diri mereka. Adakala, mereka sendiri tidak sedar keadaan itu.

Kerana itu, perlunya seseorang. Seseorang yang pergi menawarkan diri. Yang sukarela meletakkan diri di kalangan mereka. Menyelami kehendak dan keadaan mereka.

Aku ingin, ingin menjadi seorang sukarelawati. Namun, masaku di KPM terhad. Masa yang yang ada cuma berbaki 10 hari. Ape yang mampu aku lakukan? Apakah sumbangan aku selama ini memadai buat mereka? Ataukah tiada kesan langsung?

Aku cuma aku, seorang hamba Allah yang berusaha membantu masyarakat mencari kebenaran...

Friday, October 14, 2005

Buat Pelajar-pelajar Perempuan KPM...

Saudariku.....
Sesungguhnya kejadianmu terlalu unik,
tercipta dari tulang rusuk Adam yang bengkok
menghiasai taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang.
Kau umpama sekuntum bunga,
harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu;

namun......
tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang
lantaran duri yang memagari dirinya umpama mawar,
dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya
serta kilauan warnanya yang memancar indah
mengundang kekaguman terhadap sang kumbang.......

tapi awas!
duri yang melingkari
bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya......

Saudariku.....
Aku suka sekiranya kau seperti mawar
aspirasi setiap mujahidah.
Bentengilah dirimu dengan perasaan malu
yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah...
Hiasilah wajah mu dengan titisan wudhuk.....
ingatlah bahawa
ciri-ciri seorang wanita solehah
ialah ia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya.
Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga
jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah......
umpama sebutir permata
yang didedahkan buat perhatian umum
dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup.....
sudah pastinya
keinginan untuk melihat permata yang tersembunyi itu
melebihi daripada yang terdedah

wanita solehah yang taat dan patuh pada Al Khaliq
dalam melayari liku-liku kehidupannya
adalah harapan setiap insan yang bernama Adam......
Namun.............
ianya memerlukan pengorbanan
dan mujahadah yang tinggi
kerana ianya bercanggah dengan nafsu serakah
yang bersarang dalam dirimu
lebih-lebih lagi title gadis yang kau miliki
sudah pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada...

sesiapa yang inginkan kebaikan
maka Allah akan memudahkan baginya jalan-jalan kearah itu,
yang penting saudariku
engkau mesti punyai azam,
usaha dan istiqomah..........

Saudariku.....
Akuilah hakikat dirimu
menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki...
Seandainya pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu
maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentengimu...
Sesungguhnya nabi ada mengatakan tentang bahaya dirimu,
"Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita".

Oleh itu saudariku
setiap langkah dan tindakanmu
hendaklah berpaksikan kepada Al Quran dan As Sunnah,
jangan biarkan orang lain mengeksploitasikan dirimu
untuk kepentingan tertentu.....
Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu
sebaris dengan kaum Adam.
Kau harapan ummah
dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah
yang bisa menggoncangkan dunia
dengan sentuhan lembut tangan mu.....

Saudariku...
Dalam hidupmu
pastinya ingin disayangi dan menyayangi,
itulah fitrah semulajadi setiap insani
namun
ramai di antara kamu
yang tewas kerana cinta...
Bercinta itu tidak salah
tapi memuja cinta itu yang salah,
kerana cinta
manusia sanggup menjual agama
dan kerana cinta
maruah tergadai.
Gejala murtad
serta keruntuhan moral muda mudi
sebahagian besarnya kerana sebuah cinta...

Benarlah kata-kata
"Sesungguhnya cinta itu buta"
cinta itu mampu
membutakan mata dan hatimu
dalam membezakan perkara yang hak dan yang batil
apabila kau meletakkan cinta itu
atas dasar nafsu
dan tidak kerana Allah SWT...
Sebelum kau mendekati cinta,
Cintailah dirimu terlebih dahulu,
mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik,
yang berasal daripada setitis air yang tak berharga
lalu mengalami proses pembentukan
yang direncanakan oleh Allah..
Semoga di sana mampu melahirkan rasa keagungan
dan kehebatan terhadapNya
dan timbul rasa cinta dan kasih pada penciptamu............

Saudariku...
Mencintai Allah dan rasul
melebihi cinta terhadap makhluk
adalah cinta yang hakiki dan abadi
kerana hati yang pecah dan retak
apabila diberikan kepada makhluk
pastinya akan bertambah retak dan terburai
tapi apabila hatimu
diserah kepada Allah
sudah pasti ia akan bertaut kembali..

Dalam seusia mu
sibukkan lah dirimu dengan ilmu
yang mampu mempertajamkan akal
dan mampu membina syakhsiah muslimahmu.....
Sesungguhnya ilmu itu cahaya
dan ilmu tidak mampu bertapak dalam hati
orang yang melakukan maksiat.

Buat akhirnya terimalah kata-kata seorang ahli sufi iaitu Rabiatul Adawiah sebagai renungan bersama :

"Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kebahagian yang abadi untuk seseorang insan , kerana ia tidak kekal, cintakan manusia seringkali membuatkan seorang itu gagal, kecewa, menderita dan terseksa, oleh itu tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia itu sendiri."

ANTARA TANDA KEBERKATAN SESEORANG WANITA ITU IALAH, CEPAT PERKAHWINANNYA,CEPAT PULA KEHAMILANNYA DAN RINGAN MAHARNYA......"

Tuesday, October 11, 2005

Nikmat Sihat

Alhamdulillah aku sihat hari ni.

SELAMAT BERPUASA untuk semua umat Islam. Moga Ramadhan kali ini memberi kita limpahan keampunan, kerahmatan dan keredhaan Allah. Yang penting kita berusaha mendapatkannya. Bukan hanya mendengar nasihat, membaca ungkapan, berebut membeli belah. Kalau takde amalan, jangan harapdapat manfaat.

Aku bersyukur sangat hari ini. Aku dapat rasakan betapa besar nikmat yang Allah berikan kepadaku. Hari ini aku menggunakan tenaga dan masa yang aku ada dengan semaksima mungkin. Walaaupun keletihan. Aku tetap rasa berpuas hati. Hari ini aku mengaji al-Qur'an, aku mengajar, aku belajar, aku menunggang motorsikal, aku mengisi borang permohonan perkahwinan, aku iftar bersama mak, aku menghantar mak pulang ke Kota Bharu. Aku puas, gembira kerana tidak mensia-siakan nikmat masa dan kesihatan yang Allah kurniakan padaku.

Ya Allah, sesungguhnya hambaMu yang lemah ini amat bersyukur dengan segala kurniaan nikmatMu yang tidak terkira banyaknya. Namun, hambaMu ini amat lemah dan hina, sering lalai dan alpa dari mengingatiMu. Kau ampunilah daku, wahai Tuhan Yang Maha Mengampuni.

Saturday, October 01, 2005

27 Sept 2005

Banyak yang aku ingin ceritakan. Tapi, aku memang tak berpeluang meng'update' blog dari ofis.

Kisah 1 :

Petang tadi aku ade kelas untuk master. Tapi, masuk lambat 1 setengah jam (^_^) sampai kena perli dek lecturer. Ape boleh buat. Ade hal penting yang nak diselesaikan. Ape laa yang penting sangat tu?

Aku kena curi-curi masa sikit untuk buat banyak perkara. Petang tadi aku ambil masa 2 jam untuk pergi tempah kad jemputan jamuan kesyukuran untuk perkahwinanku nanti. Nak pergi hari lain, waktu lain, jangan harap. Aku sibuk dengan tugasku, tunangku sibuk dengan tugasnya. So, petang tadi, kesempatan yang pendek kami (beserta sorang bodyguard) gunakan untuk selesaikan tentang tempahan kad jemputan. Adakah aku melakukan perkara remeh?

Bagi aku, tak. Aku sebenarnya tergolong dalam orang-orang yang tak kisah. Kalau orang lain pilih, orang lain belikan barang untuk aku, aku pakai, aku gunakan sehingga tak boleh guna dah. Aku tak memilih sangat. Tapi, bila aku ade sekali, aku juga agak memilih, sehingga aku pasti sesuatu yang aku pilih bersesuaian dengan jiwa aku. Nak kata cerewet sangat tu, tak le. Tapi, still buat pilihan.

So, masa nak pilih kad, aku pilih hingga aku benar-benar puas hati. Tu yang makan masa lebih satu jam. Tu pun, aku rasa kat kedai tu tak banyak kad yang cantik tapi murah. Kalau banyak, tentu aku lagi rambang mata. Alhamdulillah... Tunang aku pun puas hati.

Dari perkara kecil memilih kad ini, aku dapat lihat satu perkara penting dalam kehidupan rumah tangga yang bakal aku tempuh kelak. 2 jiwa yang berbeza kegemaran, cara hidup, pendidikan akan bersatu di bawah satu payung rumah tangga. Aku baru nampak sedikit asas sebuah perkahwinan antara aku dan dia. Aku baru lihat cuma secebis perbincangan yang amat penting dalam kehidupan suami isteri.


Kisah 2 :

Selepas habis kelas MA, aku pergi rumah Adilah. Aku berniat untuk mengajar tusyen selama satu jam. Kebetulan ketika Adilah mandi dan solat Maghrib, ibunya datang menghampiriku dan mengisi perut yang kelaparan. Sambil makan, si ibu bercerita.

Kata si ibu, dia dan suaminya sering memuji kelakuan anak yang meninggal dunia tersebut. Mereka berdua amat berbesar hati mendapat anak yang baik budi bahasa, solat lima waktu, tidak membantah kata-kata mereka, pandai mengaji. Dia menceritakan bahawa, setiap kali bercakap dengan anak-anak, dia akan menghadap muka si anak. Namun, sehari sebelum kembalinya arwah ke Rahmatullah, dia tidak berkesempatan menatap wajah arwah secara berdepan.

Di hari pemergian arwah, si ibu mendengar pula pengakuan dari kawan-kawan arwah tentang kebaikan arwah terhadap rakan-rakannya dan juga peribadi arwah yang ditonjolkan di luar rumah.

Aku terharu. Terharu dengan pengakuan seorang ibu yang tidak putus memuji kebaikan anaknya. Alangkah bertuahnya si anak. Apa lagi yang diharapkan oleh seorang anak melainkan keredhaan ibubapa. Redha Allah terletak di atas keredhaan ibu. Aku menilai diriku sendiri. Apakah aku sudah cukup baik untuk mendapat keredhaan mak dan ayah, seterusnya keredhaan Allah? Aku tidak mahu menjadi anak yang derhaka.

Doa aku, moga Allah mencucuri rahmatNya dan keredhaanNya ke atas arwah dan menempatkannya di tempat orang-orang soleh.

Saturday, September 24, 2005

Yang Pergi...

Yang pergi takkan kembali. Yang hidup di dunia mesti terus mengumpul bekal, kerana suatu hari nanti tetap jua akan pergi. Pergi buat selamanya dari dunia. Pergi untuk menghadap Tuhan. Pergi ke alam yang kekal abadi.

Petang tadi, aku pergi ajar tusyen di Subang Jaya (Adilah). Sesampai di sana, ibu Adilah ade di ruang tamu. Aku senyum dan hulurkan salam. Mukanya kulihat blur. Macam orang tak sihat. Menungnya panjang. Aku tak tahu apa yang difikirkan. Kukira, sudah pasti masalah kehidupan. Biasalah. Setiap orang ade masalah masing-masing.

Kemudian, aku temani Adilah solat Zohor. Dan dia mengkhabarkan kepadaku berita yang membuatkan aku tersentak. Abang sulungnya meninggal dunia 13 September yang lepas. Sungguh, aku bagai tak percaya. Apatah lagi keluarganya. Abang yang menjadi tonggak keluarga, anak yang baik, menurut kata. Pergi meninggalkan keluarga sekelip mata di bawah sebuah lori. Tiada kesan luka di badan. Otaknya sahaja yang pecah. Darah mengalir keluar dari segenap rongga di kepala - telinga, mulut, hidung. Semua itu hanya penyebab. Sesungguhnya ajalnya sudah tiba.

Kebetulan aku dah 2 minggu tak pergi ajar tusyen. Adilah pun takde call aku, ingatkan aku tentang tusyen atau beritahu peristiwa tersebut. So, aku agak terperanjat. Mungkin itu le yang membuatkan si ibu dibuai menung panjang dan mata sentiasa bergenang.

13 Sept tu sebenarnya aku ade pergi ke rumah Adilah. Aku lihat di halaman rumahnya ramai orang dan ade meja jamuan. Aku kira, mereka buat apa-apa kenduri. So, aku tak jadi masuk rumah. Terus je pusing balik ke Shah Alam. Tak sangka pula, yang kulihat itu rupa-rupanya saudara mara yang hadir kerana sebuah kematian.

Allah tarik satu nyawa, Allah berikan pula satu nyawa lain di muka bumi ini. 13 Sept itu juga merupakan hari kelahiran Adam, anak ustazah yang aku ganti sekarang.

Terima kasih

Aku tak dapat update blog sepanjang minggu ni. Setiap kali aku buka blogger.com, mesti computer kat ofis hang. Aku pun tak tahu kenape. Internet ok je. Laju. Tiap-tiap hari aku buka e mel dan nak update blog. Tapi hajat tak kesampaian.

Pagi Sabtu ni, cuaca cantik sangat. Aku rasa damai dan tenteram. Aku baru sampai kat Shah Alam, dari Beranang. Ingat nak balik Shah Alam malam tadi, tapi hujan pulak. Diri yang terasa malas nak bawa motor, terus je putus semangat. So, singgah ke rumah kawan di Bandar Teknologi Kajang dan bermalam di sana semalaman.

Ustazah rempit. Itu gelaran yang aku dapat dari staf KPM. Ha ha ha (^_^) lawak betul. Masing-masing macam tak percaya aku bawa motor dari Shah Alam ke Beranang. Masa 2 minggu pertama aku kerja di KPM, aku berulang setiap hari dari Shah Alam ke Beranang dengan menaiki motor. Kenapa, tak percaya ke??? Sekarang, hari bekerja aku menumpang di rumah warden, hujung minggu aku balik Shah Alam. Juga dengan menaiki motor. Berani sangatkah aku? Kalau tak berani, macam mana aku nak perbaiki hidup aku? Bagaimana dapat aku meneruskan kerjaya aku?

Tapi, berani aku ade batasnya. Berani aku tetap bersandarkan kekuatan dan keberanian yang Allah kurniakan. Mula sahaja enjin motor dihidupkan, doa dan tawakkal yang kupanjatkan pada yang Esa agar Dia kurniakan aku keselamatan tidak terkira banyaknya dan tingginya harapanku.

Berani aku tidaklah seberani pelumba-pelumba haram mahupun pelumba litar.

Terima kasih atas kunjungan Pak Wattan ke blog yang serba kekurangan ini. Dan terima kasih atas doa Pak Wattan.

Sunday, September 18, 2005

Pertama kali

Hari ni, kali pertama aku keluar dengan tunang aku tanpa parent. Tapi tetap ade bodyguard 2 orang. Kali terakhir aku keluar dengan dia, lebih kurang setahun lepas untuk meraikan konvokesyen kami. Masa tu, antara kami hanya kawan yang langsung tak terlintas akan bertemu jodoh bersama. Waktu itu, berborak sakan. Ada aje yang nak dicakapkan, banyak aje perkara yang nak diceritakan.

Pagi tadi hingga petang, lidahku kelu. Aku hanya jadi pemerhati kepada bodyguard aku yang dok berborak sakan dengan tunang aku. Aku gelak kat tempat yang aku perlu gelak. Tapi, kebanyakannya aku hanya tersenyum. Kenape yek??? Aku jadi tak tahu nak cakap ape. Sedangkan kalau dalam telefon, tak cukup masa nak cakap. Tadi, aku rasa malu pun ade, tak terluah ape yang tersirat dihati, rasa macam tak berpijak di bumi nyata. Ha ha ha (^_^) lawak betul. Ntah ape-ape aku ni.

Gembira, suka, bahagia sudah cukup dengan hanya menatap wajahnya, tanpa sepatah bicara. Patut le ade orang yang cukup dengan melihat bumbung rumah kekasih hati. Ini rupanya panahan cinta (^_^)

Bercintakah aku? Tapi, tak salahkan aku sayang pada tunang aku?

Tapi, setelah pertemuan tadi, aku berazam untuk tidak bertemu dengan dia lagi sehingga kami diijab kabulkan. Biarlah perasaan sayang, rindu, malu terluah di alam pernikahan dan membuahkan cinta hebat yang diredhai Allah. Itu impianku.

Ha ha ha (^_^) jiwang karat aku hari ni...