11 November 2005
Air mata menjadi teman. Kisah duka, kisah gembira kehidupan merupakan satu lumrah.
Hari ini, sepanjang perjalanan dari Beranang ke Shah Alam aku menitiskan air mata. Aku tidak mampu menahan kesedihan. Kesedihan berpisah dengan Kolej Profesional Mara Beranang. Pelajar-pelajarnya, kakitangannya, guru-gurunya, dan rakan-rakan aku.
Ini adalah kali ke empat aku meninggalkan pekerjaan yang pernah aku lakukan sejak bergelar graduan. 3 tempat kerja sebelum ini, aku tinggalkan dengan rela hati. Memanglah sedih, tapi aku tidak pernah menitiskan air mata. Malah boleh tersenyum ceria. Namun, kerana cintaku telah tersemai di KPMB, aku gagal. Gagal mengawal perasaan. Sedih, pilu, terharu, rindu, semua bersatu dalam rasa yang berbuku di hati.
Senyuman kuukir. Ceria bertandang di wajah. Hatiku rela. Waktu kukemas tempatku, saat bersalaman dengan rakan-rakan sepejabat, tika berpelukan dengan pelajar-pelajar, tiada rasa yang terbit dari hati. Tiada tangisan yang luruh dari kedua kelopak mata. Semuanya kulalui dengan rela. Kunjungan pelajar yang tampak sugul ku balas dengan senyuman ceria dan kata-kata perangsang.
Namun, segalanya terungkai, setiap rasa terserlah, saat aku tinggalkan tempatku di KPMB. Sebelum melangkah keluar pejabat pada jam 6.15 petang, ku tenung setiap inci ruang pejabat General Studies Department. Kukutip setiap kenangan yang tersimpan di tempat itu. Kusemat kukuh dalam minda dan perasaanku. Saat itu, sendu yang tertahan di dada tidak mampu bertahan. Air mata mengalir deras. Air mata rindu. Airmata terharu. Air mata sayang.
Belumpun aku meninggalkan KPMB, rasa rindu pada KPMB telah membuak di dada. Di sini aku pelajari banyak pengalaman. Buat soalan exam, team marking, pelajar yang dahagakan bimbingan, kemesraan pelajar-pelajar, harapan pelajar, semuanya membuatkan aku rasa sayang. Sayang untuk berpisah dengan KPMB.
Sepanjang perjalanan pulang, dalam hujan air mata, aku doakan. Aku mengharapkan. Dia yang Maha Mengetahui akan mengurniakan kepada pelajar-pelajar yang dahagakan bimbingan dan perhatian ini, insan yang lebih baik daripadaku. Insan yang dapat menyelami hati dan perasaan mereka. Insan yang mampu membuahkan harapan, semangat, dan usaha dalam diri mereka untuk melayari hidup yang berliku ini. Insan yang tega berkorban untuk melihat mereka memperbaiki diri ke arah yang lebih baik rohani, jasmani, emosi, dan intelektual.
Alhamdulillah aku dikurnia seorang suami yang dapat bersama-samaku kala duka menguasai hati. Pada bahu abang, aku sekali lagi menghamburkan rasa terbuku. Kata abang, kalau kita terpaksa tinggalkan sesuatu yang kita sayangi, doakanlah kebaikan buatnya. Terima kasih abang.
2022 IN WORDS
1 year ago
0 comments:
Post a Comment