Aku di Kota Bharu.
Tiga minggu di Triang tidak memberi kesempatan untuk aku update blog. Kat rumah takde line TM. Memang taknak masukkan pun. Aku ngan abang, masing-masing dah ade hp. Abang jadi penyelaras makmal komputer. Masalahnya, makmal komputer kat sekolah tu gagal berfungsi dengan baik. So, buat sementara ni, tak boleh le aku nak menumpang makmal komputer sekolah untuk update blog.
Sepanjang berada di Triang. Aku dah dua kali turun KL. First, amik barang-barang aku yang bertimbun kat Shah Alam. Penuh satu kereta. Second, aku pergi UM untuk uruskan pendaftaran bagi semester ni dan tajuk disertasi. Kali kedua aku pergi dalam masa sehari. Bertolak jam 9 pagi, sampai rumah jam 8 malam. Hmm... terasa dekat je.
Alhamdulillah. Aku bahagia dengan hidupku kini. Cuma kesunyian tidak dapat lari dari mencengkam jiwa. Maklum le... Aku yang selama ini bekerja, bergaul dengan pelbagai perangai manusia, kini tinggal keseorangan mengurus rumah sekerat hari. Mujur abang kerja sebagai guru. Tengahari dah balik. Kalau kerja pejabat, maunya aku menangis kesepian, duduk sorang-sorang.
Aku ada nyatakan hasratku untuk bekerja. Abang bagi syarat supaya aku habiskan master dulu sebelum bekerja. Kalau kerja sambilan, sekerat hari takpe. Tapi, setakat ni nampaknya belum ade peluang yang dapat aku ambil untuk kembali bekerja. Apa pun, disertasi master akan aku siapkan dalam masa setahun ni. Doakan aku berjaya...
Saturday, January 28, 2006
Cuti TBC
Posted by honey744 at 9:37 AM 0 comments
Monday, January 23, 2006
Di mana Kita?
Al-Fatihah...
Semalam, seorang dari student mak aku pergi menghadap Penciptanya buat selama-lamanya. Pemergian yang tidak disangka-sangka membuatkan setiap hati yang mengenalinya merasa hiba. Apatah lagi mereka yang hampir dengannya. Pasti gagal menahan titisan air mata pilu. Dia sudah ada tempatnya 'di sana'. KIta? Ya, soalan yang perlu ditanya. Di mana kita kelak, setelah Izrail menjalankan perintah Allah agar mencabut nyawa kita?
Aku takut. Takut tak sempat bertaubat. Takut tak sempat mohon maaf dari abang, mak, ayah, dari semua orang yang pernah aku buat kesilapan kepadanya. MAAFKAN AKU. Kupinta kepada semua. Maafkan segala kesilapanku. Kecil atau besar. Sengaja atau tidak. MAAFKAN AKU...
Posted by honey744 at 4:13 PM 0 comments
Wednesday, January 11, 2006
Aku pergi dulu...
Bye Kota Bharu...
Aku pergi dulu. Pergi Triang, Pahang. Bersama abang, emak, dan ayah. Membawa barang penuh 1 van. Bermulalah hidupku bersama abang dirantauan. Mula membina kehidupan sendiri. Identiti sendiri. Keluarga sendiri.
Posted by honey744 at 10:18 AM 0 comments
Sunday, January 08, 2006
Kenduri sana sini...
Semalam aku ngan abang pegi tempah seluar slack. Ingatkan nak ambil sebelum kitorang pegi Triang, hari Rabu ni. Tapi, menurut tukang jahit, dia tak sempat buat. Yang pertama sebab pakaian untuk Aidiladha masih banyak yang belum selesai dijahit. Kedua, lepas raya, pakaian pengantin pula yang menunggu giliran. Semuanya memerlukan tindakan segera. Takpe lah... Apa boleh buat. Kenalah bersabar tunggu giliran.
Sekarang ni kenduri kendara dah tak mengira musim cuti. Ada je kesempatan dan tarikh yang sesuai, maka berlangsunglah walimah. Lagipun cuti sekolah, cuti universiti, cuti pejabat, tak sama. Kecuali pada hujung minggu dan cuti umum yang lain.
Dalam tahun 2006 ni, 3 pasangan dari 744 family akan melangsungkan majlis perkahwinan masing-masing. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli 744 family untuk berkumpul, bermesra, bertukar cerita antara satu sama lain. 4 keluarga dari 744 family yang tinggal di sekitar lembah klang memudahkan perjumpaan keluarga dijalankan pada bila-bila masa. Namun, bagi yang di KT, KB, PP, ruang waktu seperti kenduri kendaralah tempat yang paling sesuai untuk bertemu mata, beramah mesra.
Aku amat mengharapkan kenduri yang akan dilangsungkan pada 2006 nanti dihadiri oleh semua sepupu sepapat. Terutama yang jauh di seberang laut. Rindu rasanya bertemu mata, bertukat cerita dengan sepupu sepapat yang jauh di mata bertahun-tahun lamanya.
Posted by honey744 at 4:25 PM 0 comments
Thursday, January 05, 2006
Alhamdulillah
Setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan ke hadrat Allah yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih, Maha Penyayang yang telah memberikan nikmat kesihatan kepada ayah mertuaku. Alhamdulillah hari ini ayah dah dibenarkan keluar hospital setelah sebulan seminggu di tahan di wad.
Petang tadi aku hantar ayah balik. Hantar kat hospital je. Kebetulan adik iparku, Lan balik menjenguk ayah. So, dia yang drive kereta balik ke Jertih. Aku tak berkesempatan ikut balik Jertih mengingatkan mak takde kat rumah (pergi KL) dan abang akan balik KB esok.
Aku gembira amat hari ini. Pertama, kerana ayah dah dapat keluar wad. Kedua, abang akan balik KB esok. Yeeaaa!!! Mungkin yang kedua lebih dominan dalam hatiku. Rindu kat abang yang teramat buat aku tak sabar menanti esok. Seronok rupanya bercinta lepas kahwin. Rasa sayang dan rindu boleh diluahkan sebebasnya tanpa ada sekelumit pun rasa bersalah. Malah, rasa bahagia sebab sayang dan rindu pada suami sendiri.
Minggu lepas, ketika aku terlantar demam di atas katil kat rumah KB, abang kena jaga ayah kat hospital sebab ma ade kerja di Jertih. Masa tu, ayah belum boleh ditinggal keseorangan. Aku tahu, ketika tu abang agak tertekan. Ayah di depan mata sakit, isteri di rumah demam. Kedua-dua tak boleh ditinggalkan. Aku tahu dan faham situasi abang. Tapi, jauh di lubuk hatiku amat mengharapkan kehadiran abang di sisi ketika aku sakit. Hati kecilku selalu berdoa agar abang pulang menjenguk aku yang sukar tidur kerana kepala yang berdenyut hebat, seluruh badan lenguh, kadang kala badan menggigil keperitan.
Tatkala wajah abang muncul di muka pintu bilik, bertakung air mata. Rasa rindu, terharu, berharap, bercampur gaur. Badan yang tadi panas, mula menurun suhunya, peluh mula keluar dari liang roma. Mula-mula aku pelik jugak. Apesal le masa abang balik, demam menyurut. Bila abang pergi, badan kembali berbahang. Bila fikirkan balik... Wah, badan aku sudah mula pandai bermanja! Dulu tak macam ni pun. Demam sorang-sorang takde orang peduli, tak kisah pun. Sekarang nak berteman pulak. Hmm... inilah dunia baru bagi aku. Sekarang ade ade rakan kongsi, kenalah saling give and take.
Posted by honey744 at 7:55 PM 0 comments
Tuesday, January 03, 2006
Ape Nak Tulis Yek???
Hari-hari berlalu, masa yang dinanti makin hampir. Semakin dekat tarikh 26 Sept, semakin debaran terasa. Tapi aku rasa aku akan bersalin tengah bulan ni. Kalau 14 haribulan best gak. Nanti birthday baby ngan birthday bonda jatuh hari yang sama.
Sekarang aku ada kat Shah Alam. Sat lagi nak balik Triang. Semalam gi dinner sempena 50 tahun PMIUM. Jumpa kengkawan yang dah lama tak jumpa. Masing-masing kata aku kelihatan relax je. Tak nampak mengah macam orang lain bila dah sampai bulan. Relax la... Selagi boleh jalan, aku jalan. Selagi boleh buat kerja, aku buat kerja. Hari ni, bangun pagi, nak jalan pun agak susah sebab sakit kat tulang pinggul. So, tak kemana lah hari ni.
Baby sentiasa aktif. Setiap masa tendangan yang kadang-kadang lembut, dan kuat membuatkan aku tergelak sendirian. Kalau baby tendang kuat, perut aku jadi besar sebelah. Suka tengok perut sendiri bila baby bergerak. Seolah-olah tengah tengok baby bermain. Seronok... (^_^)
Aku nak sangat gi kelas antenatal supaya aku lebih bersedia untuk deliver baby. Aku nak belajar macam mana cara pernafasan yang baik, cara mengurangkan sakit, tanda-tanda awal nak bersalin, cara yang betul masa bersalin, dan banyak lagi yang aku rasa aku akan dapat bila pergi kelas antenatal. Tapi kat poliklinik Triang takde kelas tu. Nampaknya aku kena gi tanya Hospital Temerloh lah. Harap aku berkesempatan menyertainya sebelum bersalin baby sulung ni.
Posted by honey744 at 1:48 PM 0 comments
Tahun Baru
Suamiku mula bertugas sebagai guru hari ini. Abang kata, dia kena mengajar selama tiga puluh jam seminggu. Peerrrgghh... banyaknya. Tentu meletihkan.
Aku masih di KB. Abang dah berada di Triang, Pahang. Hari Ahad yang lalu abang dah bertolak ke Triang. Abang cari rumah dan mula membasuh rumah. Kesian abang kena basuh rumah sorang-sorang. Ape boleh buat. Aku tak boleh ikut lagi. Kalau aku ikut, tentu lebih menyusahkan. Sebab, masa abang pergi hari tu, rumah takde lagi. Abang cuma menumpang tidur di rumah bujang. Sampai hari ni, abang still tumpang rumah bujang sebab rumah yang akan kami duduki belum ade letrik dan air. Daripada menyusahkan abang nak memikirkan tempat tidur untuk aku, baik aku tinggal di KB dulu. Lagipun, barang banyak. Tak muat kereta kalau pegi satu trip. InsyaAllah, hari Selasa depan aku pegi dengan mak dan ayah membawa barang yang banyak.
Lama juga aku tak update blog ni. Kesempitan masa sebab kehidupanku berulang alik ke hospital. Di tambah pula aku demam seminggu yang lalu. Dah lama juga aku tak demam teruk. Minggu lepas, aku demam teruk sampai tak boleh bangun. Sakit seluruh badan. Alhamdulillah... hari ni dah semakin pulih. Cuma hidung je tersumbat. Selesema...
Posted by honey744 at 12:51 PM 0 comments
Tuesday, December 20, 2005
Ikan oh ikan...
Korang pernah rasa tak ikan haruan dengan ikan belut? Geli??? Eh, sedap tau. Isi ikan belut manis rasanya. Kulitnya licin-licin. Ikan haruan pun sedap. Hanyir??? Eh, taklah. Kalau betul cara menyiang dan memasak, takde la bau hanyir tu.
Ha aha aha ha... Aku pun tak sangka yang aku ni makan ikan haruan dan belut. Seleps kahwin ni, macam-macam makanan yang disukai oleh abang, aku cuba makan. Eh, tak sangka lah pulak aku boleh makan dan mulut serta perut aku boleh terima. Cuma dua makanan je yang aku rasa takleh makan. 1) Sayur. 2) Organ dalaman + kaki. Makanan lain, selagi ianya dimasak, InsyaAllah mulut aku boleh terima. Terkecuali makanan pelik-pelik.
Setiap hari yang aku lalui kini merupakan sesi pembelajaran yang cukup berharga buat aku. Bukan sahaja mempelajari sifat, perangai, kesukaan abang, malah mempelajari cara hidup abang dan keluarga. Nyata sekali perbezaan yang perlu aku terima sesuaikan dalam kehidupan seharianku.
Di dapur misalnya. Kebiasaan di rumahku, bawang merah, besar dan putih dikisar banyak-banyak dan di simpan dalam peti. Bila nak masak, mudah. Tinggal campak je dalam periuk. Di rumah abang, setiap kali nak masak baru tumbuk bawang merah dan putih. Kalau sebelum ini, di rumah boleh masak dengan jangka masa yang agak pendek. Di rumah abang, aku kena belajar lagi supaya lebih cekap untuk memasak dalam jangka masa yang lebih singkat kerana proses yang berbeza.
Itu perkara kecil. Tapi, yang kecil seperti ini bila dikumpul jadi banyak juga. So, banyaklah lagi yang perlu aku pelajari. Takpe, tak perlu tergesa-gesa. Masa pasti mengajar aku pelbagai perkara dan pengalaman yang berharga.
Posted by honey744 at 12:15 AM 0 comments
Friday, December 16, 2005
3 & 4 Disember 2005
Alhamdulillah...
Majlis kesyukuran sempena perkahwinanku dengan abang berjalan dengan lancar. Nikmat cuaca terang tanpa hujan yang mencurah cukup bermakna buat kami. Ia melancarkan lagi majlis kami yang sedia maklum, dilaksanakan dalam musim tengkujuh. Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan kepada Allah Yang Maha Esa. Cuaca terang tiga hari berturut-turut sejak sehari sebelum majlis membuatkan kawasan depan rumah aku kering. So, takdelah tetamu datang kena mengharung air bertakung. Alhamdulilah.
Gambar-gambar sempena majlis kami ade aku uploadkan dalam fotopages.
Posted by honey744 at 10:59 PM 0 comments
Berhari-hari
Berhari-hari aku tak jenguk blog. Bukan taknak dan tak teringin. Tapi waktu dan kesempatan begitu terbatas. Selepas kenduri kesyukuran sempena perkahwinanku pada 3 dan 4 Disember lepas, tempat tinggalku tidak tetap. Kadang di rumahku di KB, kadang di rumah abang di Jerteh, dan kadang di HUSM.
HUSM??? Kenape pulak?
Sejak 27 Nov yang lepas, ayah mertuaku di tahan di wad HUSM hingga kini kerana penyakit kencing manis. Luarannya tampak sihat, namun luka dalam di bahagian kakinya telah memakan saraf dan tulang hingga ke paras buku lali. Kerana denyutan dan kesakitan, ayah demam kuat. Akhirnya, ma bertungkus lumus keseorangan membawa ayah dari Jerteh ke HUSM.
Keadaan luka dalam yang makin teruk mendesak para doktor membuat keputusan memotong kaki ayah setakat betis. 5 Nov yang lalu, ayah selamat dibedah dengan iringan doa isteri dan anak-anak yang setia menanti ayah sebelum dan selepas pembedahan. Semangat dan dorongan yang diberikan ternyata menguatkan jiwa ayah menghadapi ujian Tuhan ini. Sehingga hari ini, setiap hari kami perlu memberi kata semangat dan perangsang supaya ayah melawan penyakitnya dan berjuang untuk terus hidup.
Ujian ini bukan sahaja ujian untuk ayah. Ia juga adalah ujian untuk aku dan abang. Orang dok menyatakan kami berbulan madu di hospital. Hakikatnya bagiku, 'bulan madu' di hospital inilah yang mengeratkan hubungan aku dengan keluarga abang. Kalau ayah sihat, mana mungkin aku serapat ini dengan ayah. Dapat mengusap mukanya yang sayu, mengurut sekujur tubuh yang keletihan, memicit kepala yang rungsing. Ini semua nikmat yang Allah berikan padaku.
Posted by honey744 at 10:26 PM 0 comments
Sunday, November 27, 2005
5 hari
Rabu ; aku pergi Beranang, siapkan kerja kat KPM. Lepas tu amik abang pegi beli jam untuk hantaran. Lepas hantar abang sambung kursus untuk sesi petang, aku pegi rumah mak sedara kat PJ, amik cadar pengantin. Siap solat Zohor, aku teruskan perjalanan ke Sijangkang, Klang amik baju yang siap ditempah. Tak puas hati.
Baju tak seperti yang aku gambarkan masa tempah dulu. Sedih gak. Tapi, dah jadi. Nak buat camne. Takkan nak buat yang lain kot. Membazir... Sampai sekarang, aku takleh tengok majalah yang ade baju pengantin. Aku sedih, sebab baju pengantin yang aku impikan tak menjadi.
Sampai rumah pukul 5.30 petang. Terus 'pengsan' atas kerusi panjang. Letih gila. Dahlah puasa. Abang kate nak balik solat Asar kat rumah. So, aku pun baring sementara abang balik.
Khamis ; adik aku datang dr KB untuk meneruskan exam kertas terakhir esok. Aku tolong buka pagar. Eh, apesal ade tiga orang ni? Laaa... rupanya si kecik berdua ikut sekali. Nak bercuti kejap kat SA. (Sebenarnya nak tumpang tengok kartun kat TV - rumah KB takde TV) Gasak koranglah. Petang, gi UM hantar kad jemputan.
Jumaat ; layan adik-adik. Abang dah nak balik asrama malam ni. Esok abang exam untuk KISSM. Sedih, rindu bercampur baur. Good Luck sayang!!!
Sabtu ; hari yang memenatkan dan memeritkan. Penat ; berulang-alik SA - Zoo Negara, naik motor, kemas barang-barang untuk balik ke KB malamnya. Perit ; period pain, berpisah dengan abang untuk 4 hari.
Ahad ; hari ni aku dah ade kat KB. Rindu kat abang tak tertanggung. Aku kemas rumah seadanya. Mula list persediaan-persediaan yang belum di buat untuk kenduri hari Sabtu depan - cenderahati pengantin, bilik pengantin, papan tanda, hantaran...
Posted by honey744 at 4:15 PM 0 comments
Tuesday, November 22, 2005
Boringnye...
Aku boring duduk kat rumah. Sebelum ni aku pernah cakap kat abang, aku nak jadi suri rumah untuk sementara. Aku nak rest dulu. Taknak kerja lagi. Bila dah puas duduk rumah, baru nak kerja. Abang kata, abang benarkan dan galakkan aku kerja. Sebab, katanya, dia tahu aku takleh duduk diam kat rumah. Aku tetap dengan kedegilanku taknak kerja lagi buat sementara waktu.
Ha hah aha... Sekarang rasakan!
Baru je 2 hari aku duduk rumah. Aku dah rasa boring gile. Takde orang nak cakap ngan aku. Dengar radio, tak mampu menghilangkan kebosanan aku. Setiap ketika aku menunggu abang balik. Aku nak berborak. Nak cakap-cakap. Patut le ade orang yang biasa bekerja dan bersosial mendapat tekanan kemurungan bila menjadi suri rumah sepenuh masa.
Hari ni, aku buat kerja ntah ape-ape. Aku memperabiskan bateri kamera abang dengan snap scene2 yang aku rasa nak snap. Nak tengok kerja ntah ape-ape aku? Boleh... boleh... Lawati le My Love's Fotopages
.
Posted by honey744 at 9:32 AM 0 comments
Monday, November 21, 2005
Jalan-jalan
Lepas exam hari Jumaat, aku gi jalan-jalan hujung minggu. Hari Sabtu kami pergi rumah along, rumah ustaz, rumah kawan abang. Pergi shoping. Sampai rumah dah pukul 11 lebih (malam). Tapi aku suka, gembira. Memang aku kaki jalan. Masa sebelum kahwin, hari bekerja dan hujung minggu sama sahaja. Aku memang tak lekat kat rumah.
Hari bekerja, sibuk dengan kerja. Hari minggu, sibuk mengukur jalan sekitar lembah kelang. Kalau orang lain, hujung minggu di habiskan untukberehat di rumah. Tapi, tidak bagi aku. Masa free tanpa kerja yang menyesakkan jiwa ini aku gunakan sebaiknya untuk menziarahi rakan, keluarga, dan ukur pasar raya. Membelinya tak jugak.
Ahad, kami ajak beberapa rakan rapat makan tengahari di rumah Shah Alam. Baru le dapur kat rumah ni berasap. Kalau tak, setakat masak air je la. Opss... jangan kata aku tak reti masak. Aku boleh masak. Cuma tak pandai sangat dan sedikit malas. Heeee (^_^)
Puas hati tengok tetamu makan bertambah.
Posted by honey744 at 5:52 PM 0 comments
Thursday, November 17, 2005
Aaarrrgghhh...
Nak kate tensyen sangat tu, taklah. Tapi agak tertekan. My heart pounding very fast. Macam ler tak pernah masuk exam. Ntah ape-ape ntah. Hari ni aku macam tak tentu arah. Aku tak tahu le ape yang aku baca masuk dalam otak ke tak. Aku doakan aku diberi nikmat mengingati fakta yang aku baca.
Esok aku exam untuk subjek Karya-karya Utama Pengajian al-Hadith. Aku kena ingat karya-karya hadith seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta' Imam Malik, Kitab al-Zawa'id, Mustalah al-Hadith, Kitab Mukhtalaf al-Hadith, Sabab Wurud Hadith, Kitab Hadith Masyhur, Hadith Ahkam, dan macam-macam lagi yang berkaitan.
Contents yang aku kena ingat ialah biografi pengarang meliputi nama, tarikh lahir dan kematian, nama-nama guru dan murid pengarang, karya-karyanya, dan pengenalan yang berkaitan dengan kitab.
Huwa ha ha...
Takde benda yang mudah dalam dunia ni. Nak dapat akhirat pun susah juga. Tapi, kita kena ENJOY !!! Enjoy dengan segala usaha yang dilakukan.
Posted by honey744 at 8:08 PM 0 comments
Wednesday, November 16, 2005
Posted by honey744 at 12:29 PM 0 comments
Tuesday, November 15, 2005
Akhirnya...
Ha ha ha... (^_^) aku tak start study lagi. Dari buka mata pagi tadi, aku dok mengadap komputer. Bila la nak start study ni??? Tapi, aku gembira sangat saat ini. Aku dah dapat cari sesuatu. Mencari "bahagia abadi" yang dah lama aku tercari-cari, terjenguk-jenguk.
Buat Syakirah, pelajarku di KPMB, terima kasih atas ucapan selamat. Saya juga doakan Kira berjaya dalam pelajaran dan dalam menempuh susah senang kehidupan. Kira, hidup tak semudah dan seindah yang kita rancangkan dan impikan. Namun, apa sahaja rintangan yang bakal kita hadapi, jangan berputus asa. Suka dan duka itu satu lumrah dan nikmat yang Allah berikan pada kita. Saya juga pernah gagal dan sedih. Tapi saya jadikan ia sebagai satu pengalaman manis dalam kehidupan. Yang mengajar saya menjadi semakin matang dengan kehidupan. Setiap hari dalam hidup kita adalah proses pembelajaran.
Posted by honey744 at 2:57 PM 0 comments
Memori KPM Beranang
11 November 2005
Air mata menjadi teman. Kisah duka, kisah gembira kehidupan merupakan satu lumrah.
Hari ini, sepanjang perjalanan dari Beranang ke Shah Alam aku menitiskan air mata. Aku tidak mampu menahan kesedihan. Kesedihan berpisah dengan Kolej Profesional Mara Beranang. Pelajar-pelajarnya, kakitangannya, guru-gurunya, dan rakan-rakan aku.
Ini adalah kali ke empat aku meninggalkan pekerjaan yang pernah aku lakukan sejak bergelar graduan. 3 tempat kerja sebelum ini, aku tinggalkan dengan rela hati. Memanglah sedih, tapi aku tidak pernah menitiskan air mata. Malah boleh tersenyum ceria. Namun, kerana cintaku telah tersemai di KPMB, aku gagal. Gagal mengawal perasaan. Sedih, pilu, terharu, rindu, semua bersatu dalam rasa yang berbuku di hati.
Senyuman kuukir. Ceria bertandang di wajah. Hatiku rela. Waktu kukemas tempatku, saat bersalaman dengan rakan-rakan sepejabat, tika berpelukan dengan pelajar-pelajar, tiada rasa yang terbit dari hati. Tiada tangisan yang luruh dari kedua kelopak mata. Semuanya kulalui dengan rela. Kunjungan pelajar yang tampak sugul ku balas dengan senyuman ceria dan kata-kata perangsang.
Namun, segalanya terungkai, setiap rasa terserlah, saat aku tinggalkan tempatku di KPMB. Sebelum melangkah keluar pejabat pada jam 6.15 petang, ku tenung setiap inci ruang pejabat General Studies Department. Kukutip setiap kenangan yang tersimpan di tempat itu. Kusemat kukuh dalam minda dan perasaanku. Saat itu, sendu yang tertahan di dada tidak mampu bertahan. Air mata mengalir deras. Air mata rindu. Airmata terharu. Air mata sayang.
Belumpun aku meninggalkan KPMB, rasa rindu pada KPMB telah membuak di dada. Di sini aku pelajari banyak pengalaman. Buat soalan exam, team marking, pelajar yang dahagakan bimbingan, kemesraan pelajar-pelajar, harapan pelajar, semuanya membuatkan aku rasa sayang. Sayang untuk berpisah dengan KPMB.
Sepanjang perjalanan pulang, dalam hujan air mata, aku doakan. Aku mengharapkan. Dia yang Maha Mengetahui akan mengurniakan kepada pelajar-pelajar yang dahagakan bimbingan dan perhatian ini, insan yang lebih baik daripadaku. Insan yang dapat menyelami hati dan perasaan mereka. Insan yang mampu membuahkan harapan, semangat, dan usaha dalam diri mereka untuk melayari hidup yang berliku ini. Insan yang tega berkorban untuk melihat mereka memperbaiki diri ke arah yang lebih baik rohani, jasmani, emosi, dan intelektual.
Alhamdulillah aku dikurnia seorang suami yang dapat bersama-samaku kala duka menguasai hati. Pada bahu abang, aku sekali lagi menghamburkan rasa terbuku. Kata abang, kalau kita terpaksa tinggalkan sesuatu yang kita sayangi, doakanlah kebaikan buatnya. Terima kasih abang.
Posted by honey744 at 12:58 PM 0 comments
Monday, November 14, 2005
Exam
Hari ni mood aku menurun bila ingat exam dah dekat. Camne ni, study tak lagi. Walaupun satu paper je, kena ready jugak. Assignment ade dua lagi yang tak settle. Kena hantar sebelum exam hari Jumaat ni. Haaa... inilah padahnya bila kerja menangguh ni. Last minute baru ler berdebar tak karuan. Mood pun bergolak.
Posted by honey744 at 11:16 AM 0 comments
Thursday, November 10, 2005
Bengang
Bengang dengan blog sendiri. Apesal ntah internet jadi lembab gile bila aku bukak blog sendiri. Arrggghh...
Posted by honey744 at 10:30 AM 0 comments
Wednesday, November 09, 2005
Nasi Dagang
Ntah kenapa tetiba seminggu dua ni aku jadi seorang peminat nasi dagang. Mungkin kerana aku rindu yang amat pada tanah kelahiranku, Kuala Terengganu. Sejak perginya arwah indewan, rumah 744 di Kampung Nesan ditinggal kesepian. Seperti sepinya hatiku dengan kenangan-kenangan lalu di rumah pusaka itu.
Aku ingat masa kecil-kecil (tak le kecil sangat, dalam alam sekolah rendah & menengah), kemeriahan hari raya di rumah 744 memang begitu terkesan. Biasanya saudara mara sudah mula berkumpul sejak 2 hari sebelum raya. Juadah wajib untuk berbuka puasa yang akan disediakan oleh arwah indewan ialah bubur lambuk. Memang sedap, tiada tandingannya.
Sebelum berbuka, mak-mak akan sibuk menyediakan hidangan. Projek biasa yang dilakukan ketika berbuka ni ialah ABC. Aku ingat lagi, mak saudara aku beli 'mesin' ABC yang plastik semata-mata nak buat ABC. Nak kisar air batu punye seksa. Berebut anak saudara menunggu giliran mendapat ABC. Selepas berbuka, turn anak-anak dara pula mengemas dan membasuh pinggan. Masa tu mane ade bibik yang nak tolong kemas. Punyalah seronok bekerjasama. Membuat kerja sama-sama inilah yang merapatkan kami sepupu sepapat.
Malam pula main mercun dan bunga api. Eh, ape pulak langgar peraturan? Masa tu mercun tak haram lagi. Tokeynya ialah pak sedara aku yang bongsu. Semua anak saudara join. Tak kira yang besar @ kecil. Meriah suasana malam membangkitkan kegirangan dan keriangan sekeluarga. Gantung tanglung keliling rumah.
Masa malam raya, cucuk satey, bakar satey, buat ketupat, buat kuah kacang, makan kerang rebus. Satey yang masuk mulut anak-anak lebih banyak dari yang dah dibakar. Masa tu takde istilah nak tempah menempah satey. Semua buat sendiri. Tokey satey ialah bapak-bapak. Anak-anak kebanyakannya jadi tukang sibuk dan tukang memeriahkan suasana. Anak-anak dara yang tolong tukar sarung kusyen. Keriuhan ini menerbitkan satu ikatan persaudaraan yang kukuh.
Namun, itu semua kenangan. Kenangan 744 yang kini sepi. Jauh dari kebingitan derap kaki anak-anak berlari di tingkat atas. Sunyi dari gelak tawa, senda gurau sanak saudara. Di rumah 744 ini kukenali seorang datuk (inde) dan seorang nenek (indewan), mak-mak saudara, ayah-ayah saudara, sepupu sepapat. Di rumah 744 ini terlalu banyak kenangan gembira yang terpahat di hati. Juga tertanam kukuh kenangan duka bersama arwah indewan. Aku rindukan semua kenangan-kenangan itu.
Kerinduan yang mendalam ini membuatkan aku begitu teringin makan nasi dagang. Bulan puasa hari tu aku makan nasi dagang Kelantan. Muak. Pagi tadi aku makan nasi dagang di Grand Cont, Kuantan. Tak sedap. Tak habis pun makan satu pinggan. Dan pastinya yang paling best ialah nasi dagang Terengganu kat Chendering. Pergghh... tak puas rasanya makan nasi dagang kat situ. Alhamdulillah, aku berkesempatan makan nasi dagang Chendering masa beraya di Kuala Terengganu raya ke 4 hari tu. Dan sekarang... aku teringin lagi nasi dagang kat Chendering tu.
Posted by honey744 at 11:48 PM 0 comments