CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, November 19, 2009

4 Tahun di Triang

Kami mula mengenal alam rumah tangga di Triang. Selepas tamat KPLI, abang terus dapat posting di Triang. Aku yang tiada kerja tetap hanya menurut sahaja. Rumah pertama kami adalah rumah guru di SK Sri Buntar. Hanya ada dua buah rumah sahaja. Sebuah lagi didiami oleh keluarga GPK sekolah tersebut.

Rumah pertama kami

Masa mula2 duduk di Triang, hatiku amat sepi. Hidupku sebelum ini dikelilingi keluarga, rakan sekerja, kini hanya menunggu rumah yang sunyi sepi. Rumah jiran sebelah sunyi kerana suami isteri bekerja. Ketika itu aku sepatutnya menyiapkan disertasi master. Malangnya, aku ni ada masalah bila tiada kerja, aku jadi amat malas. Yang aku suka ialah tido. Bila abang balik dari sekolah, kami hanya terperap di rumah sahaja. Nak pergi jalan2 pun, takde tempat yang sesuai. Jiran takde, kawan2 pun belum rapat.

Kami isi ruang masa yang ada dengan mengajar tusyen untuk pelajar sekolah yang berhampiran.
Dari situ aku kenal beberapa orang ibu bapa pelajar yang duduk berhampiran.

Tahun kedua di sana, 'Aqilah dah lahir. Dan aku pun dah kenal dengan beberapa orang teman yang duduk di sekitar Triang. Dengan pelawaan Kak Sabar, aku mengajar di Taska Ummi Jaya. Bukan bekerja dengan Kak Sabar pun. Tapi sekadar membantu dia. 'Aqilah aku bawa bersama. So, 'Aqilah pun ada teman yang ramai di Taska.

'Aqilah dan rakan-raknnya di TASKA


Kak Sabar dan 'Aqilah

Aku juga menumpukan perhatian terhadap disertasi yang perlu di selesaikan. Kajian aku melibatkan beberapa buah pusat pendidikan awal kanak-kanak di sekitar bandar Triang. Aku makin kenal ramai orang dan semakin seronok berada di Triang. Hujung tahun kedua ni (1997), kami beli rumah di Taman Mawar Indah.

Tahun ketiga di Triang, selama enam bulan abang terpaksa tinggal berdua dengan 'Aqilah. Sedangkan aku hanya balik ke Triang pada hujung minggu. Kalau ikutkan orang tua, mereka nak kami tinggalkan 'Aqilah di kampung sepanjang pengajian aku di UIAM, Gombak. Setelah berfikir panjang dan kesanggupan masing-masing, kami membuat keputusan untuk 'Aqilah berada bersama kami di Triang. Biarlah susah macam mana sekali pun, kami taknak berpisah.

DPLI UIAM ~ Jan - Okt 2008

Tahun 2008 memang agak mencabar bagi kami. Kehidupan agak tidak stabil. Perasaan, kesihatan, kekuatan diri bercampur baur. Alhamdulillah, segalanya dapat kami tempuhi dengan baik. Moga Allah meredhai kami.

Sekiranya aku menerima tawaran penempatan mengajar di Pasir Gudang, Johor pada tahun 2009, maknanya aku akan meninggalkan Triang, dan perpisahan akan berlaku lagi antara aku dan abang. Justeru aku dan abang mengambil keputusan untuk menolak tawaran tersebut.

Disebalik penolakan itu, aku malah semakin rapat dengan jamaah di Triang. Kami buat usrah bersama, mengaji dan tadarus Quran bersama. Kami saling bantu membantu dalam mengadakan kem dan tamrin. Seronok dan amat seronok kerana ikatan ukhuwah kami dirasakan begitu kukuh di bawah lembayung iman dan Islam.

Aku dan abang juga membuat sedikit renovation di rumah. Walau di sebalik kisah pembaikan sinki dapur rumah kami ada sedikit kekecohan hingga kos yang kononnya hanya rm450 meningkat menjadi rm 1200. Dan renovation yang kononnya hanya memakan masa 3 hari, menjangkau 30 hari. Namun kami akur, dan niatkan ia sebagai sedekah.

Tidak sampai 2 bulan menggunakan sinki baru, tidak cukup setahun ukhuwah antara aku dan ahli2 usrah terjalin, ketentuan Allah menetapkan abang bertukar ke Setiu. Maka bermulalah detik bagi perjalanan baru buat kami untuk menyesuaikan diri di tempat baru. Jiwaku ketika itu tidak dapat di bayangkan kelam kabutnya. Namun, mungkin kerana sudah sering berpindah dan berpisah dengan rakan2, kesedihan aku kurang. Dan aku dapat rasakan ukhuwah aku dengan rakan2 usrah tidak akan putus, kerana antara kami ada perjuangan untuk menegakkan daulah Islam di bumi Malaysia ini.

Rakan-rakan usrah yang kurindui

Kak Sabar, Kak Lita, Kak Liza, Makcik Som, Kak Ayu, Aminah, Na, Kak Hat, Kak Intan, Makcik Mah, Kak mon, Makcik Siti, Kak Patimah, Wani, Kak Pa'ie, Hawa, Syikin ~ salam kasih, salam sayang buat kalian. Indah ukhuwah kita kerana Islam. Maka peliharalah dan amalkanlah Islam dalam hidup dan perjuangan kita biar apa jua berlaku. Moga kita tidak kalah dengan fitnah akhir zaman.

Friday, November 13, 2009

Kerja Kreatif

Hannan 'Aqilah... Hannan 'Aqilah...

Masa bonda dan ayahnya tengah sort dokumen2 penting untuk di pack setempat, dia buat kerja kreatif. Mula2 marker yg kami gunakan untuk buat label pada kotak dia guna untuk conteng kotak. Itu tak kisah sangat. Sebab aku ingat masa aku pindah rumah kecil2 dulu, part tulis2 kat kotak ni memang kegemaran kami, anak-anak. So, aku biarkanlah 'Aqilah me'label'kan kotak jugak.

Lepas siap sort dokumen, aku keluar dari bilik kerja, nak kemas depan tv. Ambil patung 'Aqilah. Laa... dah berconteng sikit patung tu. Aku sebut nama 'Aqilah dan dia berpaling. Masya Allah... Dahi, hidung, dagu... penuh warna merah marker.

Tengok muka 'Aqilah tu. Macam manalah dia buat tanpa melihat cermin.

Tengok kat tv, Lailaha Illallah... tv pun berconteng. "Abang, macam mana ni. Nak tengok Nur Kasih malam ni. Habislah." Marker tu permanent marker. Hu...hu...hu... 'Aqilah... 'Aqilah...

Perhatikan elok2 kat tv tu. Ade contengan2 kecil.

Terkejut

5 November 2009 lalu, abang mesej dari sekolah dalam pukul 1 petang. Kata abang, abang dapat tukar ke SK Kg. Buloh, Setiu, Terengganu. Terkejut! Memang terkejut.

Gembira, sedih dan tertekan berbaur dalam hati.

Wednesday, November 04, 2009

Semalam Dalam Sejarah

1) Hari ulang tahun perkahwinan kami ke 4.

2) Aqilah buat masuk kertas dalam hidung. Waaa... Aqilah ni. Kenapalah yang orang larang, itulah yang makin nak dibuat?

Lepas Maghrib semalam, kami keluar untuk membeli barang2 kegunaan harian. Dalam kereta Aqilah main kertas. Kelihatan dia meletakkan kertas tu kat hidung. Aku terangkan kat dia alasan2 kenapa dia tak boleh masukkan kertas kat dalam hidung. Bersungguh-sungguh aku terangkan. Dia tersengih-sengih. Aqilah bukannya tak biasa main kertas. Gunting kertas halus halus pun selalu. Aqilah bukannya tak faham apa yang aku cakap. Malah boleh nasihatkan orang lain lagi. Sebab tu aku tak ambil kertas tu dari Aqilah.

Entah macam mana tengah aku dok membebel, tiba2 dia menangis. Waa... kertas dah masuk dalam hidung. Haa... itulah. Aqilah taknak dengar cakap bonda lagi. Aku ni, nak marah pun ade, nak tergelak pun ade. Abang dah mula marah dah. Maka, dari tujuan asal nak gi beli barang, kereta terpaksa dilencongkan menuju ke klinik.

Doktor kata, kertas je, tak pe. Tapi, nak buat keluar dari hidung Aqilah tu, ada setengah jam rasanya. Sampai 3 orang pegang Aqilah, still kepala dia gerak gerak, dia meraung, menggelepar taknak doktor masukkan 'gunting' khas dalam hidung dia. Ayah dia pujuk, tengking, tak jalan jugak. Pegang sambil duduk, baringkan dia, semua tak jalan.

Lastly, aaa chum... Aqilah bersin. Keluarlah kertas kecil tu dari hidung Aqilah. Ha ha ha... dalam hati aku tergelak. Dia berjalan keluar dari bilik doktor dengan wajah happy dan berkata "Aqilah dah tak sakit dah". Orang yang menunggu kat luar bilik doktor tu tergelak. Tadi bukan main dengar meraung dalam bilik doktor, alih alih keluar dengan muka relax.

Aku ni nak tergelak bukan apa. Teringat masa kecik dulu, ada adik aku yang masukkan kertas dalam telinga. Agaknya beginilah situasi ibu bapa yang membesarkan anak yang suka buat eksperimen. Moga eksperimen Aqilah yang tak menjadi ni, memberi pengajaran kepadanya.

Aqilah... Aqilah... Lain kali, dengarlah cakap bonda dan ayah ni.

Tuesday, November 03, 2009

Dah 4 Tahun

Tanggal 3 November 2005, bersamaan 1 Syawal 1426 Hijrah, pasangan Hanifah binti Sazali dan Ahmad Fadzli bin Fauzi selamat diijabkabulkan.

Hari ini, 3 November 2009, genaplah 4 tahun kami mendirikan rumahtangga dan dikurniakan seorang cahaya mata penyejuk hati berusia 3 tahun 1 bulan 6 hari. Moga mawaddah dan rahmah dalam keluarga kami berkekalan hingga ke syurga.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

~.: SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN KE 4 buat suamiku tercinta :.~

Sunday, October 18, 2009

Akal 'Aqilah

1) Hari ni 'Aqilah langsung taknak makan nasi. Nak makan kerepek je. So, untuk malam ni, sebelum buka Chipster, kami syaratkan supaya dia makan nasi dulu. Diapun makanlah... 4 mulut. Lepas tu dah taknak. Nak kata apa. Syaratnya makan nasi. Tak kisah le banyak mana pun.

2) Semalam, lepas 'Isyak 'Aqilah makan nasi. Banyak juga. Bersiap untuk tidur jam 11.30 malam. Basuh muka, gosok gigi, buang air, pakai pampers. Sebelum masuk bilik, aku duduk kat ruang tamu sekejap. Eh, tiba-tiba si kecil 'Aqilah datang bawa jem, roti dan sudu. Hu hu hu... makan roti pulak pukul 12 tngah malam.

3) Petang tadi, 'Aqilah makan kerepek. Orang lain nak, dia tak bagi langsung. Pastu Indewan dan Usu Ariff buka kerepek lain sambil menunjuk-nunjuk kat 'Aqilah "Ha... tengok. Kitorang share. 'Aqilah tak share". Maka, 'Aqilah pun bagilah sekeping kerepek dia kat Usu. Lepas tu... sorry, yang lain semua 'Aqilah punya. Kan tadi 'Aqilah dah share.

4) Kata 'Aqilah "Comel budak bonda ni". Ha ha ha...

5) Bonda tanya "Apa nama awak?" 'Aqilah jawab "Nama awak Hannan 'Aqilah". Ha ha ha...

6) Masa Mak Ha dia kawin hari tu, 'Aqilah dok tengok je Mak Ha. Tapi, kalau dilihat dengan teliti, sebenarnya 'Aqilah tak tengok Mak Ha pun. Dia tengok tiara atas kepala Mak Ha tanpa kelip. Lepas tu dia dok sibuk cerita tentang anak pengasuh dia (Kak Una) ada crown. Fahamlah bahawa 'Aqilah pun nak pakai tiara tu. Sampai 2 hari lepas, dia dok cari tiara tu kat dalam laci meja solek bilik Mak Ha. "Eh... mana crown ni? Dah hilang ke?"

7) Dua hari lepas kami tidur di rumah Mok (moyang 'Aqilah). Lepas Maghrib aku kemas bilik yang akan kami gunakan. Dia pun dok sibuk kemas bilik tu. Kelihatan 'Aqilah begitu teruja. Pukul 9 malam tak lagi, dia dah sibuk ajak aku tidur. Bukan tidur kat depan tv, tapi tidur kat dalam bilik. Mula2 aku hairan jugak. Mana pernah si kecil ni tidur awal. Biasanya kena paksa tidur. Then, barulah aku dapat tangkap, dia teruja sangat nak tidur dalam bilik tu. He he he... Hakikatnya, malam tu dia tidur pukul 11.30 malam. Masuk bilik dari pukul 9, dok main atas katil. Macam macam mainannya.


'Aqilah... 'Aqilah... sejak pandai bercakap dan panjang akal, perangai 'Aqilah amat menghiburkan. Sehari tanpa dia, terasa sunyi hidup. Betapa besar nikmat anak yang Allah kurniakan kepada kami. Allahu Akbar, Subhanallah, Alhamdulillah...

Friday, October 09, 2009

Apa???

'Aqilah : Bonda buat ape tu?
Bonda : Bonda siang ikan.
'Aqilah : Siang ikan ape?
Bonda : Ikan selayang.
'Aqilah : Ikan selayang ape?
Bonda : ??? (dalam hati... ape yek nak jawab)

Perkataan apa adalah satu perkataan yang sering digunakan oleh 'Aqilah sejak dua menjak ni. Pada ayahnya, pada bondanya, pada tok manya, dan pada siapa jua yang dia bercakap. Sampai kita yang menjawab ni tak tahu dah nak jawab apa. Last sekali, yang terjawab dek orang dewasa ialah "Ape-ape aje lah 'Aqilah ni. Banyak sangat cakapnya". Sedangkan si kecil masih tertanya-tanya di dalam hati.

Namun, andai difahami psikologi kanak-kanak, dengan perbendaharaan kata yang terhad, perkataan 'apa' mungkin boleh membawah maksud 'kenapa', 'bagaimana', 'di mana', dan apa sahaja perkataan yang bermaksud 'dapat memberi penerangan lanjut'. Ya, kanak-kanak sebesar 'Aqilah memang mendambakan penerangan yang lebih lanjut. Mereka ingin mengetahui tentang dunia di sekeliling mereka. Biarpun penerangan yang diberi ringkas dan mungkin tidak difahami oleh mereka.

Adalah menjadi satu kesilapan besar bila orang dewasa memarahi kanak-kanak yang banyak bertanya sehingga membantutkan perasaan ingin tahu mereka. Maka yang membesar adalah kanak-kanak yang tidak kreatif dan tidak mahu ambil tahu tentang dunia dan ilmu pengetahuan berguna di sekeliling mereka.

Moga Allah memberi hidayah kepada kami untuk mendidik anak kami menjadi insan yang dapat menangani cabaran di dunia untuk berjaya di akhirat kelak.

Friday, October 02, 2009

Alhamdulillah

Alhamdulillah abg dah boleh keluar hospital. Walaubagaimana baik dn selesa fasiliti di hospital, rumah sendiri tetap lebih selesa dn tenteram. Biarlh kesakitan ketika 'dressing' bagai tidak trtanggung, tp hati tetap tenteram berada di rumah.

Kalau kita yg muda ni rasa macam tu, apatah lg org tua. Ketenangan dn ketenteraman tidak dapt ditukar ganti dngn layanan baik para juru rawat, tidak dapat ditukar ganti dengan air cond dan keindahan tatarias rumah anak. Biarlah rumah si tua ibarat gobok buruk yg hampir runtuh. Namun, ketenangan yg terdapat di situ tetap mendamaikn kalbu si insan tua. Maka, fahamilah mereka.

Wednesday, September 30, 2009

Ujian Kesakitan


Setiap manusia mnghadapi ujian dn dugaan hidup masing2 sesuai dngn kmampuan diri. Ujian mnjadi penguat diri, meneguhkn keimanan. Namun tak kurang jg manusia yg diuji tersasar dr jalan kbenaran. Yang pnting, setiap saat dn ketika dalm kehidupn kita mestilah melakukn perkara yg dredhai Allah serta mengharap redhaNya.

Kami diuji dngn ujian kesihatn. Petang td abg masuk bilik bedah buat kali kedua dlm tempoh 3bulan. Dan tugas aku sbagai isteri adalh brada disisi suami. Alhamdulillah aku dkurniakn nikmat kesihatn yg lebih baik brbanding abg. Subhanallah. Besar sungguh kekuasaan Allah. Dia menetpkan jodoh manusia saling melengkapi.

Isteri @ suami yg sihat dpt mnjaga isteri @ suami yg sakit. Suami @ isteri yg sakit memberi keinsafan kepada suaminya @ isterinya yg sihat.

Maha suci Allah yg menjadikn sgala sesuatu di dunia ini utk manusia brfikir dn mengambil iktibar drpdnya.

Monday, September 28, 2009

Ulang Tahun Kelahiran

Sebelum tirai 28 September 2009 berlabuh. Kuingin coretkan sedikit luahan rasa buat simanjaku 'Aqilah...
Selamat Ulang Tahun Kelahiran yang ke 3 duhai manjaku Hannan 'Aqilah binti Ahmad Fadzli. Kehadiranmu penyeri kehidupan kami dan kedua belah keluarga bonda dan ayah. Senyum, tawa dan celotehmu menceriakan hidup kami. Sakitmu merisaukan hati kami. Indahnya hidup kami dengan kehadiranmu. Kini kelahiranmu ke dunia telah mencecah 3 tahun.

Bonda amat risau dan rungsing. Rungsing gagal mendidikmu menjadi hamba Allah yang beriman dan beramal soleh. Risau andai tidak mampu membimbingmu menjadi hamba Allah yang dapat berdikari hidup di dunia yang penuh pancaroba ini. Andai zaman bonda kini sudah amat suka mengenali yang hak dan yang batil, apatah lagi zaman ketika engkau melangkah ke alam remaja dan dewasa kelak.
Doa bonda sentiasa... agar bonda, ayah dan insan-insan di sekelilingmu mampu mendidikmu menjadi insan yang beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia tidak kira bila dan di mana jua dirimu berada. Agar engkau anakku, Hannan 'Aqilah binti Ahmad Fadzli, sentiasa diberi petunjuk oleh Allah melalui jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Dia beri rahmat ke atas mereka.
'Aqilah... maafkan bonda andai diri ini seringkali tersasar dari mengawal perasaan marah dan geram. Maafkan bonda kerana seringkali meninggikan suara, menengking 'Aqilah ketika 'Aqilah tidak bersalah. Kadang kala bonda masih gagal. Gagal mengawal perasaan geram bila 'Aqilah taknak dengar cakap bonda, bila 'Aqilah kencing merata-rata, bila 'Aqilah tarik tudung bonda, bila 'Aqilah ganggu bonda buat kerja. Ya, maafkan bonda kerana bonda sering mengabaikan 'Aqilah tika bonda sedang asyik membuat kerja.

Sukar... ya, sukar sebenarnya menjadi bonda yang dapat melaksanakan segala teori pendidikan di dalam buku. Namun, bonda usahakan sedaya yang bonda mampu. Dan, bonda nak 'Aqilah tahu, BONDA SANGAT SANGAT SAYANGKAN 'AQILAH.
Peluk cium dari bonda untuk 'Aqilah,
Hanifah binti Sazali
28 September 2009
11.30 malam

Sunday, September 27, 2009

Majlis Perkahwinan

Ada yang berposing 'maut' lepas sesi membuka hadiah.

Dalam banyak banyak hadiah yang mak Ha dapat, kain ni menjadi pilihan 'Aqilah.

Sepanjang hari teringin nak pakai crown, akhirnya dapat jugak.


Saturday, September 26, 2009

Itu Ini, Begitu Begini

1) Beberapa hari lagi 'Aqilah genap berusia 3 tahun. Wah... dah besar anak kesayangan bonda ni. Mulut pun dah semakin keletah. Start bangun pagi hingga tidur semula, tak berhenti bercakap. Tak pe... penghibur hati semua yang mendengar. Kalau bonda tak dengar suara 'Aqilah, terasa risau menyapa hati. Takut takut 'Aqilah tak sihat.

2) Doa bonda moga kehidupan 'Aqilah dirahmati, diredhai oleh Allah di dunia dan di akhirat. Dan Allah menunjukkan jalan yang lurus buat bonda dan ayah bagi mendidik 'Aqilah menjadi anak yang solehah.

3) TAHNIAH dan SELAMAT PENGANTIN BARU khas buat adikku, Harizah binti Sazali dan pasangannya Khairul Hadi bin Shaari yang telah selamat diijabkabulkan pada 24 September lalu. Moga kalian berbahagia hingga ke syurga dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

4) TAHNIAH buat sepupuku, Kak Dilah dan Alma yang sedang berbadan dua. Kak Dilah mengandungkan anak ke 3 dan Alma mengandung anak ke 2. Anak ke 2 Kak Dilah dan anak pertama Alma sebaya dengan 'Aqilah. Ini membuatkan keinginanku menambah ahli keluargaku semakin membuak-buak. Apapun, segalanya atas ketentuan Allah.

Aidilfitri di Lot 1423

Duit raya special dari indewan


Inde, indewan, bonda, ayah dan 'Aqilah



Selamat Hari Raya semua...

Wednesday, June 24, 2009

Rejab Tiba Lagi


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Serasa baru lagi Ramadhan dan Syawal lepas bertandang. Kini Rejab kembali menjelma. Bermakna semakin hampir aku dengan bulan yang mentarbiyah diri. Ahh... bukan Ramadhan sahaja yang dapat mentarbiyah diri. Bulan-bulan lain pun boleh juga. Namun, tidak dpat disembunyikan hakikat bahawa Ramadhan menjadi motivasi hebat kepada diri muslim untuk memperbaiki diri. Hajat di hati menjadikan Rejab satu permulaan. Moga mendapat redha dan rahmat dariNya.

Yang penting usaha untuk berubah!!!

Saturday, June 13, 2009

Takde Mood

Ntah kenapa sejak kebelakangan ni takde mood nak menulis dalam blog ni. Selalu je jenguk blog sendiri, tapi tak terasa nak update blog. Kenapa ntah.

11 Jun lepas aku mengendalikan Program Kem Anak Soleh anjuran Nisa' Kawasan Bera. Alhamdulillah program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya dan boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Walaupun tentatif padat dari 8.30 pagi hingga 6.45 petang, dan ada kedengaran suara ibu bapa yang merungut kerana program habis lambat, tapi peserta tetap konsisten memberi tumpuan kepada program yang mereka ikuti.

Terharu juga diri ini bila program ni mendapat sambutan yang menggalakkan. Sasaran asal cuma 40 orang peserta. Tapi setelah pendaftaran peserta terakhir dicatat, jumlah peserta ialah 77 orang. Alhamdulillah. Kaum ibu banyak membantu memasak dan menguruskan bahagian makanan, dan banyak memberi sumbangan - gula, beras, kuih muih, sayur, tea dan banyak lagi. Usaha kaum ibu banyak mengurangkan bajet. So, dapatlah beli hadiah untuk peserta.

Moga ada pengisian program yang dapat memberi kesan positif dalam diri para peserta.

Friday, May 15, 2009

Mabuk Dalam Cinta

Diceritakan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Ketika pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepada-Nya."

Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu." Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah."

Disebabkan keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.

Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata daripada salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.

Setelah Nabi Isa a.s mendengar penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu." Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya sedang memandang ke langit.

Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini Isa a.s."Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya. "

Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan dirinya dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu antaranya ialah 1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia. 2. Orang yang mengaku cinta ikhlasnya di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia. 3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima perkara dan lupa kepada yang lima perkara:

1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.

2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.

3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq.

4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.

5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."

Thursday, May 07, 2009

Duka Yang Menginsafkan

'Aqilah dalam feri menuju Pulau Langkawi

Sebelum perasaan ini berlalu bak angin lalu, inginku coret pengalaman yang memberi pengajaran yang amat berharga dalam hidup kami.

29 April 2009 (Rabu) yang lalu, lebih kurang jam 1.30 petang, Kak Piah (pengasuh 'Aqilah) menghubungi abang. Katanya 'Aqilah muntah muntah sejak bangun tidur. Aku yang turut bertugas satu sekolah dengan abang berasa sedikit risau. Bila kami ambil 'Aqilah, kata Kak Piah, segala yang masuk dalam mulut 'Aqilah, tak kira makanan atau minuman, akan keluar semula dari mulut 'Aqilah. Tapi 'Aqilah tak demam atau berak berak. 2 lagi kanak-kanak di bawah jagaan Kak Piah turut mengalami keadaan demikian sejak hari Isnin. Bila dah tak muntah, mereka berak-berak pulak.

Setelah mengambil 'Aqilah, kami segera ke klinik dan aku ambil mc untuk jaga 'Aqilah keesokan harinya. Petang tu 'Aqilah nak minum susu. 3 botol dia minum. Dia minum macam orang yang terlampau dahaga atau lapar. Sekejap je dah habis separuh. Namun semuanya keluar balik. Doktor ada pesan supaya berhenti beri 'Aqilah susu buat sementara waktu. Dalam perancangan kami, malam kesokan harinya (Khamis - 30 April), kami akan mengikuti rombongan kakitangan sekolah melancong ke Pulau Langkawi. Dalam keadaan 'Aqilah yang demikian, kami berat untuk tidak pergi.

Namun, atas pujukan guru-guru sekolah, dan kedaan 'Aqilah sendiri yang sudah tidak muntah serta mula makan walaupun sedikit, kami turut serta menyertai rombongan ke Pulau Langkawi pada hari Khamis, jam 10 malam.

'Aqilah ceria di Under Water World. Berlari ke sana ke mari.

Sepanjang perjalanan dan sepanjang hari Jumaat 'Aqilah dah tak muntah. Jumaat malam tu dia dah makan nasi, ceria, melompat, berlari dan bermain seperti biasa. Walaupun kebanyakan masa dia nak kami dukung dia, namun kami terima kerana fahami keadaan dia yang keletihan dan belum sepenuhnya sembuh. Cuma, pada hari Jumaat tu dia berak cair 3 kali.

'Aqilah tak takut langsung naik Cabel Car. Sampai kat atas sekali masih boleh berlari-lari.

Sebelum tidur, dia minta susu. Aku yang beranggapan dia semakin sihat dan dah 2 hari tak minum susu, aku pun berilah susu. Baru habis separuh, dia muntahkan semula susu. Habis keluar dengan nasi yang dia makan malam tu. Maka bermulalah episod duka yang seterusnya.

Pagi keesokan hari (Sabtu - 2 Mei), 'Aqilah turun makan di cafe hotel dan makan seperti biasa. Makan cereal, makan bubur. Bila naik semula ke bilik, dia muntahkan semua yang dimakan. Perancangan kami untuk turut serta rombongan sekolah pergi melawat pulau-pulau di sekeliling Pulau Langkawi dibatalkan. 'Aqilah tidur hingga jam 1.40 petang. Ketika kami bersiap untuk keluar makan, dia terjaga dan sekali lagi muntah. Maknanya perut dia memang kosong.

Jam 2.00 petang kami keluar makan bersama sahabat kami di UM dulu (Rokhaimi, Nisa' dan Adawiyah) yang menetap di Pulau Langkawi. Kami tak ikut rombongan sekolah yang pergi membeli belah di pekan Kuah sebab membeli belah bukan tujuan utama kami pergi ke Langkawi. Berjumpa rakan yang telah lama tidak bertemu lebih baik dari shoping.

Kami makan berhampiran jeti. Kami pesan ikan masam manis dan udang celup tepung. Bila 'Aqilah tengok udang yang menjadi makanan kesukaannya, dia nak makan udang. Memikirkan yang dia lapar, pada udang tupun ada tepung yang jadi sumber karbohidrat dan dia suka udang, aku pun suapkan dia udang. Ada lah dalam 5 ekor. Selepas makan dia diam di kerusinya seketika, tidak aktif seperti biasa. Ye lah... mungkin dia letih.

Kemudian dia kata nak turun kerusi. Aku turunkan dia dari kerusi dan dia pergi ke tepi pagar tepi laut, melihat pemandangan laut. Seketika kemudian aku perasan langkah dia menapak ke belakang, 2 langkah. Tak lama kemudian dia jatuh ke kiri.

Aku yang sedang makan, segera angkat dia tanpa sempat membasuh tangan. Bila aku angkat je, aku nampak mata hitam dia naik ke atas, mulut 'Aqilah mula menyenget, tangannya mula kejang. 'Aqilah kena sawan tarik!!! Aku takut sangat, panik sangat. Abang segera masukkan jari dia dalam mulut 'Aqilah, kemudian masukkan sudu dalam mulut 'Aqilah. Darah mengalir sedikit di tepi bibir 'Aqilah mungkin luka terkena sudu.

Aku segera berlari ke kereta. Mulut aku hanya boleh menyebut : "Ya Allah, tolong". Esakan aku semakin kuat. Aku rasa tidak sabar menunggu abang dan sahabat yang selesaikan urusan makanan dengan orang kedai. Lambatnya. Mulut aku bagai nak keluar hamburan kata "Cepatlah. Orang dalam emergency ni. Tak reti ke?". Namun kata-kata itu terlekat di halkum.

Aku bacakan doa syifa' tanpa henti. Rokhaimi memecut laju keretanya menuju ke klinik berhampiran. Tak sampai 5 minit 'Aqilah kena sawan tarik, badan dia dah kembali normal. Dia muntah sedikit. Kemudian dia mengamuk macam tak selesa. 1, 2, 3 klinik tak buka. Klinik keempat baru buka. Nak marah dalam hati hanya Allah yang tahu. Masa ramai pelancong kat Langkawi ni, klinik tak buka pulak. Kalau ada kes emergency kan naya.

Di tepi jeti inilah kami makan tengahari. 'Aqilah suka tengok laut dan teringin nak mandi. Gambar ni di ambil semasa menunggu makanan yang dipasang tiba dan sebelum 'Aqilah tarik.

Sampai di klinik, terus masuk jumpa doktor. Doktor kata dia demam sikit, suhu tak smpai 38 darjah celcius pun. Doktor berikan dia ubat demam bontot dan kool fever tampal kat dahi. Kemudian doktor bagi air garam untuk elak dehydration. Doktor kata bila dah balik dari Langkawi nanti pergi cek darah dan brain scan kat hospital.

Selepas keluar dari klinik. Kami terus decide untuk balik naik flight hari tu jugak. Kami segera pack barang di hotel dan menuju ke airport. Semua penerbangan penuh kecuali waiting list MAS. Akhirnya jam 9.40 malam kami berlepas dari airport Pulau Langkawi menuju ke KLIA. Masa tu aku rasa lega sangat. Seolah-olah lepas dari satu kongkongan. 'Aqilah ketika itu telah menunjukkan perkembangan positif. Dia makan ayam KFC, menyanyi, bercakap, dan dah tak muntah.

Sesungguhnya sampai sekarang kami tidak mengerti sebab sebenar dia kena sawan tarik. Kemungkinan yang ada adalah :
1) Elergi udang (memang sebelum ni ada elergy udang. Kalau ada kuah udang yang meleleh di sekitar mulut dan leher, maka mulalah kulit 'Aqilah memerah dan dia mulakan aktiviti menggaru. Tapi kalau makan udang sahaja tanpa ada kuah yang meleleh, tak pulak timbul merah merah).
2) Dehydration

Kami pasti bukan kerana demam sebab dia tak demam dan suhu badannya tak menceceh 38 darjah celcius pun.

Pengajarannya :
1) Jangan bawa anak pergi jalan-jalan ketika dia sakit.
2) Sentiasa tambahkan pengetahuan tentang penyakit yang sering melanda kanak-kanak supaya bila kena tahu nak buat apa.
3) Ambil berat tentang makanan yang elergi untuk anak. Elakkan dari memberi makanan yang elergi kepada anak walau dalam keadaan apa sekali pun. Tindak balas luaran mungkin dapat dilihat tetapi yang dalam badan kita tak tahu.

p/s : Terima kasih Rokhaimi sekeluarga. Hanya Allah dapat membalas segala jasa kalian

Abang dan Rokhaimi berbual sementara menanti makanan tengahari sampai.

Tuesday, April 21, 2009

Dedikasi buat TGNA

Pertama kali aku melihat wajahnya secara live ketika di tingkatan 5. Ketika itu beliau hadir ke sekolah untuk membuat pelancaran... (tak ingat ape dia). Saat itu kekaguman terhadap beliau telah terbit di sudut hati. Namun ia tidak sehebat Ahad lalu tika sekali lagi aku berpeluang melihat beliau dengan lebih dekat.

Melihat ulama' yang berjiwa besar, melihat pejuang Islam yang siang harinya bak singa lapar sedang malam hari bak pengemis merintih sayu pada Yang Maha Esa, melihat pendakwah yang berusaha menyebarkan Islam sebagai cara hidup - hati rasa sayu, hati rasa jatuh cinta padanya.

Aku percaya, setiap orang yang melihat beliau, tidak kira orang muda atau tua, bangsa apa sekalipun, berbeza pandangan politik, berbeza fikrah, setidak-tidaknya pasti akan timbul rasa hormat tatkala melihat wajahnya yang berseri dengan cahaya iman itu.

Melihat wajahnya yang berseri, tenang dan tiada garis 'wajah masam mencuka' sahaja sudah timbul ketenangan dijiwa. Mendengar tutur katanya yang bersahaja lembut, tetapi tegas dalam melaksanakan Islam sebagai cara hidup pasti membangkitkan rasa kagum terhadap beliau. Ya... tampil beliau di pentas tidak akan bercakap soal dunia tanpa diselitkan mesej Islam. Itu sudah pasti kerana kehidupan dunia tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Bukankah Islam is the way of life?

Dalam genangan air mata hati berdetik "Alangkah indahnya menjadi sebahagian dari keluarganya. Subhanallah. Kiranya ini yang aku rasa tatkala melihat seorang ulama' pewaris nabi, alangkah indah kiranya aku berkesempatan melihat dan merasai kehadiran Rasulullah s.a.w secara live. Pasti aku akan menangis teresak-esak dan akan membuak rindu di dada".

Namun, aku sedar. Walau berjauhan dari Rasulullah, ia tidak bermakna aku tidak boleh mencintainya. Cintaku kepada Rasulullah s.a.w mesti ditafsirkan dan dipraktikkan dengan mengamalkan al-Qur'an dan sunnah baginda s.a.w dalam kehidupan seharian.

Balik dari PBAKL setelah berkesempatan melihat TGNA secara live, aku baca buku 'Bidadari Dari Timur' dan 'Catatan Hati Nik Nur Madihah'. Ya... aku kagum, aku terpesona dengan peribadi mereka yang rajin bertahajud dan dekat hatinya dengan Allah. Aku ingin sekali mencontohi mereka.

Ya Allah, kuatkanlah diri ini untuk memperbaiki diri menjadi hamba yang dekat hatinya dengan Engkau Yang Maha Esa...

Tuesday, April 14, 2009

Hari Ini

Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam
Esok Lebih Baik Dari Hari Ini

Semangat kata-kata di atas perlu sentiasa diletakkan dalam jiwa kita agar kehidupan kita sentiasa berubah ke arah yang lebih baik. Janganlah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang celaka iaitu mereka yang hari ini lebih buruk dari semalam.

Semalam aku pergi ziarah rumah seorang sahabat yang telah kehilangan seorang suami (meninggal dunia) sejak tahun 2007. Kini, dia seorang diri sebagai ibu tunggal membesarkan 6 orang anaknya yang masih belajar dengan usia si bongsu baru 4 tahun. Perit. Ya, perit mata memandang, perit lagi bahu memikul. Sedikit sumbangan kuhulurkan mungkin hanya dapat membeli biskut kering bagi minum petang. Tapi, itu tidak penting. Yang penting usaha untuk ziarah dan tahu keadaan sahabat-sahabat.

Sejak menggiatkan diri dalam masyarakat, aku dapat lihat dengan mata hati betapa pentingnya ukhuwah Islamiyah. Tak penting apa yang orang dapat lakukan pada kita. Yang penting adalah apa yang dapat kita lakukan untuk membantu masyarakat. Di sekeliling kita ramai yang lebih malang nasibnya. Kitalah sebagai orang Islam yang perlu sentiasa memberi bantuan tidak kira dalam apa jua bentuk. Mungkin tak dapat bagi harta, berilah tenaga, atau ilmu, atau kasih sayang.

Sedih mengingatkan hubungan kasih sayang yang semakin pudar dalam masyarakat. "Keluargaku, hanya keluargaku. Keluargamu, adalah keluargamu. Tak perlu peduli tentang orang lain. Kalau kita susah orang lain bukan nak tolong. Kita sekeluarga jugak yang perlu selesaikan."

Ahhh... pemikiran itu bukan pemikiran Islam yang amat menekankan ukhuwah atau persaudaraan. Nilailah pada apa yang diberi kepada orang lain, jangan nilai apa yang orang lain beri pada kita. Seperti motto Saiful Islam : Erti hidup pada memberi.

Moga hari ini aku dapat melakukan perkara yang lebih baik dari semalam. Dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama Islam. InsyaAllah.

Sunday, April 05, 2009

Percaya & Usaha

Dengan percaya dan usaha, yang lain akan datang sendiri selepas itu.


Dengan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah s.w.t dalam segala hal dan setiap detik kehidupan, dan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan usaha yang sesungguh-sungguhnya, maka perkara-perkara lain seperti kecintaan kepada Allah, kerinduan untuk bertemu Allah, keindahan bermunajat kepada Allah, kepuasan berkorban demi agama, suruhan dan larangan Allah, pasti akan muncul.

Dengan percaya terhadap kerja yang kita lakukan, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kerja tersebut, maka InsyaAllah kita berjaya melaksanakan kerja tersebut dengan hasil yang baik. Rasa suka, enjoy, terus berusaha dengan lebih gigih, memperbaiki kesilapan, positif dengan matlamat yang ingin dicapai, akan hadir secara automatik bila kita percaya dan usaha dalam sesuatu tugasan atau kerja kita.

Tapi bagaimana untuk percaya? Kepercayaan akan timbul bila ilmu tentang perkara tersebut kita pelajari. Kepercayaan kepada Allah umpamanya akan bertambah mendalam bila kita pelajari tentang sifat-sifat Allah, nama-nama Allah, makhluk-makhluk ciptaan Allah.

Begitu juga dengan kerja yang dilakukan seperti perniagaan contohnya. Bila kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang perniagaan yang dilakukan seperti maklumat tentang keperluan pelanggan, kekuatan produk, sistem pengurusan, pastinya kita akan lebih percaya bahawa perniagaan yang kita lakukan boleh mencapai keutungan yang diingini dan dapat berkembang dengan pesat.

Dalam pelajaran juga begitu. Bila tahu tentang subjek yang kita pelajari, bagaimana cara mendapatkan sumber, siapa yang dapat membantu untuk menambahkan pengetahuan dalam subjek tersebut, maka keyakinan kita untuk belajar akan lebih tinggi.

Namun, ilmu dan percaya sahaja tidak memadai tanpa usaha. Kita percaya tentang Allah, tapi tidak berusaha mendekatkan diri kepadanya. Kita percaya perniagaan yang kita lakukan akan mencapai keutungan yang besar, tetapi tidak berusaha menjalankan perniagaan dengan baik. Kita percaya dapat result yang cemerlang dalam sesuatu subjek, tetapi tidak berusaha untuk belajar dengan berstrategi. Maka!!! hasilnya pasti kegagalan dan kekecewaan. Kalau berjaya pun, sekadar kebetulan.

Asas Islam juga menekankan 2 perkara utama iaitu RUKUN IMAN (percaya) dan RUKUN ISLAM (usaha). Ramai orang ditanya tentang rukun iman, mereka akan katakan mereka beriman dengan kesemuanya (di mulut jawab ya, tapi di hati hanya Allah yang tahu). Tetapi bila ditanya tentang rukun Islam, ramai yang jawab tidak lengkap. Jadi, kalau tidak berjaya di akhirat kelak, bukan salah orang lain, tapi salah sendiri kerana tidak menuntut ilmu untuk mengukuhkan kepercayaan (rukun iman) dan berusaha mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya (rukun Islam).

Justeru, sama-samalah kita menambah pengetahuan untuk mengukuhkan kepercayaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian dan matlamat. InsyaAllah berjaya!!!