Dengan percaya dan usaha, yang lain akan datang sendiri selepas itu.
Dengan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah s.w.t dalam segala hal dan setiap detik kehidupan, dan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan usaha yang sesungguh-sungguhnya, maka perkara-perkara lain seperti kecintaan kepada Allah, kerinduan untuk bertemu Allah, keindahan bermunajat kepada Allah, kepuasan berkorban demi agama, suruhan dan larangan Allah, pasti akan muncul.
Dengan percaya terhadap kerja yang kita lakukan, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kerja tersebut, maka InsyaAllah kita berjaya melaksanakan kerja tersebut dengan hasil yang baik. Rasa suka, enjoy, terus berusaha dengan lebih gigih, memperbaiki kesilapan, positif dengan matlamat yang ingin dicapai, akan hadir secara automatik bila kita percaya dan usaha dalam sesuatu tugasan atau kerja kita.
Tapi bagaimana untuk percaya? Kepercayaan akan timbul bila ilmu tentang perkara tersebut kita pelajari. Kepercayaan kepada Allah umpamanya akan bertambah mendalam bila kita pelajari tentang sifat-sifat Allah, nama-nama Allah, makhluk-makhluk ciptaan Allah.
Begitu juga dengan kerja yang dilakukan seperti perniagaan contohnya. Bila kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang perniagaan yang dilakukan seperti maklumat tentang keperluan pelanggan, kekuatan produk, sistem pengurusan, pastinya kita akan lebih percaya bahawa perniagaan yang kita lakukan boleh mencapai keutungan yang diingini dan dapat berkembang dengan pesat.
Dalam pelajaran juga begitu. Bila tahu tentang subjek yang kita pelajari, bagaimana cara mendapatkan sumber, siapa yang dapat membantu untuk menambahkan pengetahuan dalam subjek tersebut, maka keyakinan kita untuk belajar akan lebih tinggi.
Namun, ilmu dan percaya sahaja tidak memadai tanpa usaha. Kita percaya tentang Allah, tapi tidak berusaha mendekatkan diri kepadanya. Kita percaya perniagaan yang kita lakukan akan mencapai keutungan yang besar, tetapi tidak berusaha menjalankan perniagaan dengan baik. Kita percaya dapat result yang cemerlang dalam sesuatu subjek, tetapi tidak berusaha untuk belajar dengan berstrategi. Maka!!! hasilnya pasti kegagalan dan kekecewaan. Kalau berjaya pun, sekadar kebetulan.
Asas Islam juga menekankan 2 perkara utama iaitu RUKUN IMAN (percaya) dan RUKUN ISLAM (usaha). Ramai orang ditanya tentang rukun iman, mereka akan katakan mereka beriman dengan kesemuanya (di mulut jawab ya, tapi di hati hanya Allah yang tahu). Tetapi bila ditanya tentang rukun Islam, ramai yang jawab tidak lengkap. Jadi, kalau tidak berjaya di akhirat kelak, bukan salah orang lain, tapi salah sendiri kerana tidak menuntut ilmu untuk mengukuhkan kepercayaan (rukun iman) dan berusaha mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya (rukun Islam).
Justeru, sama-samalah kita menambah pengetahuan untuk mengukuhkan kepercayaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian dan matlamat. InsyaAllah berjaya!!!
1 comments:
Thanks K. Nang!
Post a Comment