CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, June 13, 2009

Takde Mood

Ntah kenapa sejak kebelakangan ni takde mood nak menulis dalam blog ni. Selalu je jenguk blog sendiri, tapi tak terasa nak update blog. Kenapa ntah.

11 Jun lepas aku mengendalikan Program Kem Anak Soleh anjuran Nisa' Kawasan Bera. Alhamdulillah program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya dan boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Walaupun tentatif padat dari 8.30 pagi hingga 6.45 petang, dan ada kedengaran suara ibu bapa yang merungut kerana program habis lambat, tapi peserta tetap konsisten memberi tumpuan kepada program yang mereka ikuti.

Terharu juga diri ini bila program ni mendapat sambutan yang menggalakkan. Sasaran asal cuma 40 orang peserta. Tapi setelah pendaftaran peserta terakhir dicatat, jumlah peserta ialah 77 orang. Alhamdulillah. Kaum ibu banyak membantu memasak dan menguruskan bahagian makanan, dan banyak memberi sumbangan - gula, beras, kuih muih, sayur, tea dan banyak lagi. Usaha kaum ibu banyak mengurangkan bajet. So, dapatlah beli hadiah untuk peserta.

Moga ada pengisian program yang dapat memberi kesan positif dalam diri para peserta.

Friday, May 15, 2009

Mabuk Dalam Cinta

Diceritakan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Ketika pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepada-Nya."

Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu." Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah."

Disebabkan keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.

Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata daripada salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.

Setelah Nabi Isa a.s mendengar penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu." Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya sedang memandang ke langit.

Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini Isa a.s."Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya. "

Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan dirinya dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu antaranya ialah 1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia. 2. Orang yang mengaku cinta ikhlasnya di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia. 3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima perkara dan lupa kepada yang lima perkara:

1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.

2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.

3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq.

4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.

5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."

Thursday, May 07, 2009

Duka Yang Menginsafkan

'Aqilah dalam feri menuju Pulau Langkawi

Sebelum perasaan ini berlalu bak angin lalu, inginku coret pengalaman yang memberi pengajaran yang amat berharga dalam hidup kami.

29 April 2009 (Rabu) yang lalu, lebih kurang jam 1.30 petang, Kak Piah (pengasuh 'Aqilah) menghubungi abang. Katanya 'Aqilah muntah muntah sejak bangun tidur. Aku yang turut bertugas satu sekolah dengan abang berasa sedikit risau. Bila kami ambil 'Aqilah, kata Kak Piah, segala yang masuk dalam mulut 'Aqilah, tak kira makanan atau minuman, akan keluar semula dari mulut 'Aqilah. Tapi 'Aqilah tak demam atau berak berak. 2 lagi kanak-kanak di bawah jagaan Kak Piah turut mengalami keadaan demikian sejak hari Isnin. Bila dah tak muntah, mereka berak-berak pulak.

Setelah mengambil 'Aqilah, kami segera ke klinik dan aku ambil mc untuk jaga 'Aqilah keesokan harinya. Petang tu 'Aqilah nak minum susu. 3 botol dia minum. Dia minum macam orang yang terlampau dahaga atau lapar. Sekejap je dah habis separuh. Namun semuanya keluar balik. Doktor ada pesan supaya berhenti beri 'Aqilah susu buat sementara waktu. Dalam perancangan kami, malam kesokan harinya (Khamis - 30 April), kami akan mengikuti rombongan kakitangan sekolah melancong ke Pulau Langkawi. Dalam keadaan 'Aqilah yang demikian, kami berat untuk tidak pergi.

Namun, atas pujukan guru-guru sekolah, dan kedaan 'Aqilah sendiri yang sudah tidak muntah serta mula makan walaupun sedikit, kami turut serta menyertai rombongan ke Pulau Langkawi pada hari Khamis, jam 10 malam.

'Aqilah ceria di Under Water World. Berlari ke sana ke mari.

Sepanjang perjalanan dan sepanjang hari Jumaat 'Aqilah dah tak muntah. Jumaat malam tu dia dah makan nasi, ceria, melompat, berlari dan bermain seperti biasa. Walaupun kebanyakan masa dia nak kami dukung dia, namun kami terima kerana fahami keadaan dia yang keletihan dan belum sepenuhnya sembuh. Cuma, pada hari Jumaat tu dia berak cair 3 kali.

'Aqilah tak takut langsung naik Cabel Car. Sampai kat atas sekali masih boleh berlari-lari.

Sebelum tidur, dia minta susu. Aku yang beranggapan dia semakin sihat dan dah 2 hari tak minum susu, aku pun berilah susu. Baru habis separuh, dia muntahkan semula susu. Habis keluar dengan nasi yang dia makan malam tu. Maka bermulalah episod duka yang seterusnya.

Pagi keesokan hari (Sabtu - 2 Mei), 'Aqilah turun makan di cafe hotel dan makan seperti biasa. Makan cereal, makan bubur. Bila naik semula ke bilik, dia muntahkan semua yang dimakan. Perancangan kami untuk turut serta rombongan sekolah pergi melawat pulau-pulau di sekeliling Pulau Langkawi dibatalkan. 'Aqilah tidur hingga jam 1.40 petang. Ketika kami bersiap untuk keluar makan, dia terjaga dan sekali lagi muntah. Maknanya perut dia memang kosong.

Jam 2.00 petang kami keluar makan bersama sahabat kami di UM dulu (Rokhaimi, Nisa' dan Adawiyah) yang menetap di Pulau Langkawi. Kami tak ikut rombongan sekolah yang pergi membeli belah di pekan Kuah sebab membeli belah bukan tujuan utama kami pergi ke Langkawi. Berjumpa rakan yang telah lama tidak bertemu lebih baik dari shoping.

Kami makan berhampiran jeti. Kami pesan ikan masam manis dan udang celup tepung. Bila 'Aqilah tengok udang yang menjadi makanan kesukaannya, dia nak makan udang. Memikirkan yang dia lapar, pada udang tupun ada tepung yang jadi sumber karbohidrat dan dia suka udang, aku pun suapkan dia udang. Ada lah dalam 5 ekor. Selepas makan dia diam di kerusinya seketika, tidak aktif seperti biasa. Ye lah... mungkin dia letih.

Kemudian dia kata nak turun kerusi. Aku turunkan dia dari kerusi dan dia pergi ke tepi pagar tepi laut, melihat pemandangan laut. Seketika kemudian aku perasan langkah dia menapak ke belakang, 2 langkah. Tak lama kemudian dia jatuh ke kiri.

Aku yang sedang makan, segera angkat dia tanpa sempat membasuh tangan. Bila aku angkat je, aku nampak mata hitam dia naik ke atas, mulut 'Aqilah mula menyenget, tangannya mula kejang. 'Aqilah kena sawan tarik!!! Aku takut sangat, panik sangat. Abang segera masukkan jari dia dalam mulut 'Aqilah, kemudian masukkan sudu dalam mulut 'Aqilah. Darah mengalir sedikit di tepi bibir 'Aqilah mungkin luka terkena sudu.

Aku segera berlari ke kereta. Mulut aku hanya boleh menyebut : "Ya Allah, tolong". Esakan aku semakin kuat. Aku rasa tidak sabar menunggu abang dan sahabat yang selesaikan urusan makanan dengan orang kedai. Lambatnya. Mulut aku bagai nak keluar hamburan kata "Cepatlah. Orang dalam emergency ni. Tak reti ke?". Namun kata-kata itu terlekat di halkum.

Aku bacakan doa syifa' tanpa henti. Rokhaimi memecut laju keretanya menuju ke klinik berhampiran. Tak sampai 5 minit 'Aqilah kena sawan tarik, badan dia dah kembali normal. Dia muntah sedikit. Kemudian dia mengamuk macam tak selesa. 1, 2, 3 klinik tak buka. Klinik keempat baru buka. Nak marah dalam hati hanya Allah yang tahu. Masa ramai pelancong kat Langkawi ni, klinik tak buka pulak. Kalau ada kes emergency kan naya.

Di tepi jeti inilah kami makan tengahari. 'Aqilah suka tengok laut dan teringin nak mandi. Gambar ni di ambil semasa menunggu makanan yang dipasang tiba dan sebelum 'Aqilah tarik.

Sampai di klinik, terus masuk jumpa doktor. Doktor kata dia demam sikit, suhu tak smpai 38 darjah celcius pun. Doktor berikan dia ubat demam bontot dan kool fever tampal kat dahi. Kemudian doktor bagi air garam untuk elak dehydration. Doktor kata bila dah balik dari Langkawi nanti pergi cek darah dan brain scan kat hospital.

Selepas keluar dari klinik. Kami terus decide untuk balik naik flight hari tu jugak. Kami segera pack barang di hotel dan menuju ke airport. Semua penerbangan penuh kecuali waiting list MAS. Akhirnya jam 9.40 malam kami berlepas dari airport Pulau Langkawi menuju ke KLIA. Masa tu aku rasa lega sangat. Seolah-olah lepas dari satu kongkongan. 'Aqilah ketika itu telah menunjukkan perkembangan positif. Dia makan ayam KFC, menyanyi, bercakap, dan dah tak muntah.

Sesungguhnya sampai sekarang kami tidak mengerti sebab sebenar dia kena sawan tarik. Kemungkinan yang ada adalah :
1) Elergi udang (memang sebelum ni ada elergy udang. Kalau ada kuah udang yang meleleh di sekitar mulut dan leher, maka mulalah kulit 'Aqilah memerah dan dia mulakan aktiviti menggaru. Tapi kalau makan udang sahaja tanpa ada kuah yang meleleh, tak pulak timbul merah merah).
2) Dehydration

Kami pasti bukan kerana demam sebab dia tak demam dan suhu badannya tak menceceh 38 darjah celcius pun.

Pengajarannya :
1) Jangan bawa anak pergi jalan-jalan ketika dia sakit.
2) Sentiasa tambahkan pengetahuan tentang penyakit yang sering melanda kanak-kanak supaya bila kena tahu nak buat apa.
3) Ambil berat tentang makanan yang elergi untuk anak. Elakkan dari memberi makanan yang elergi kepada anak walau dalam keadaan apa sekali pun. Tindak balas luaran mungkin dapat dilihat tetapi yang dalam badan kita tak tahu.

p/s : Terima kasih Rokhaimi sekeluarga. Hanya Allah dapat membalas segala jasa kalian

Abang dan Rokhaimi berbual sementara menanti makanan tengahari sampai.

Tuesday, April 21, 2009

Dedikasi buat TGNA

Pertama kali aku melihat wajahnya secara live ketika di tingkatan 5. Ketika itu beliau hadir ke sekolah untuk membuat pelancaran... (tak ingat ape dia). Saat itu kekaguman terhadap beliau telah terbit di sudut hati. Namun ia tidak sehebat Ahad lalu tika sekali lagi aku berpeluang melihat beliau dengan lebih dekat.

Melihat ulama' yang berjiwa besar, melihat pejuang Islam yang siang harinya bak singa lapar sedang malam hari bak pengemis merintih sayu pada Yang Maha Esa, melihat pendakwah yang berusaha menyebarkan Islam sebagai cara hidup - hati rasa sayu, hati rasa jatuh cinta padanya.

Aku percaya, setiap orang yang melihat beliau, tidak kira orang muda atau tua, bangsa apa sekalipun, berbeza pandangan politik, berbeza fikrah, setidak-tidaknya pasti akan timbul rasa hormat tatkala melihat wajahnya yang berseri dengan cahaya iman itu.

Melihat wajahnya yang berseri, tenang dan tiada garis 'wajah masam mencuka' sahaja sudah timbul ketenangan dijiwa. Mendengar tutur katanya yang bersahaja lembut, tetapi tegas dalam melaksanakan Islam sebagai cara hidup pasti membangkitkan rasa kagum terhadap beliau. Ya... tampil beliau di pentas tidak akan bercakap soal dunia tanpa diselitkan mesej Islam. Itu sudah pasti kerana kehidupan dunia tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Bukankah Islam is the way of life?

Dalam genangan air mata hati berdetik "Alangkah indahnya menjadi sebahagian dari keluarganya. Subhanallah. Kiranya ini yang aku rasa tatkala melihat seorang ulama' pewaris nabi, alangkah indah kiranya aku berkesempatan melihat dan merasai kehadiran Rasulullah s.a.w secara live. Pasti aku akan menangis teresak-esak dan akan membuak rindu di dada".

Namun, aku sedar. Walau berjauhan dari Rasulullah, ia tidak bermakna aku tidak boleh mencintainya. Cintaku kepada Rasulullah s.a.w mesti ditafsirkan dan dipraktikkan dengan mengamalkan al-Qur'an dan sunnah baginda s.a.w dalam kehidupan seharian.

Balik dari PBAKL setelah berkesempatan melihat TGNA secara live, aku baca buku 'Bidadari Dari Timur' dan 'Catatan Hati Nik Nur Madihah'. Ya... aku kagum, aku terpesona dengan peribadi mereka yang rajin bertahajud dan dekat hatinya dengan Allah. Aku ingin sekali mencontohi mereka.

Ya Allah, kuatkanlah diri ini untuk memperbaiki diri menjadi hamba yang dekat hatinya dengan Engkau Yang Maha Esa...

Tuesday, April 14, 2009

Hari Ini

Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam
Esok Lebih Baik Dari Hari Ini

Semangat kata-kata di atas perlu sentiasa diletakkan dalam jiwa kita agar kehidupan kita sentiasa berubah ke arah yang lebih baik. Janganlah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang celaka iaitu mereka yang hari ini lebih buruk dari semalam.

Semalam aku pergi ziarah rumah seorang sahabat yang telah kehilangan seorang suami (meninggal dunia) sejak tahun 2007. Kini, dia seorang diri sebagai ibu tunggal membesarkan 6 orang anaknya yang masih belajar dengan usia si bongsu baru 4 tahun. Perit. Ya, perit mata memandang, perit lagi bahu memikul. Sedikit sumbangan kuhulurkan mungkin hanya dapat membeli biskut kering bagi minum petang. Tapi, itu tidak penting. Yang penting usaha untuk ziarah dan tahu keadaan sahabat-sahabat.

Sejak menggiatkan diri dalam masyarakat, aku dapat lihat dengan mata hati betapa pentingnya ukhuwah Islamiyah. Tak penting apa yang orang dapat lakukan pada kita. Yang penting adalah apa yang dapat kita lakukan untuk membantu masyarakat. Di sekeliling kita ramai yang lebih malang nasibnya. Kitalah sebagai orang Islam yang perlu sentiasa memberi bantuan tidak kira dalam apa jua bentuk. Mungkin tak dapat bagi harta, berilah tenaga, atau ilmu, atau kasih sayang.

Sedih mengingatkan hubungan kasih sayang yang semakin pudar dalam masyarakat. "Keluargaku, hanya keluargaku. Keluargamu, adalah keluargamu. Tak perlu peduli tentang orang lain. Kalau kita susah orang lain bukan nak tolong. Kita sekeluarga jugak yang perlu selesaikan."

Ahhh... pemikiran itu bukan pemikiran Islam yang amat menekankan ukhuwah atau persaudaraan. Nilailah pada apa yang diberi kepada orang lain, jangan nilai apa yang orang lain beri pada kita. Seperti motto Saiful Islam : Erti hidup pada memberi.

Moga hari ini aku dapat melakukan perkara yang lebih baik dari semalam. Dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama Islam. InsyaAllah.

Sunday, April 05, 2009

Percaya & Usaha

Dengan percaya dan usaha, yang lain akan datang sendiri selepas itu.


Dengan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah s.w.t dalam segala hal dan setiap detik kehidupan, dan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan usaha yang sesungguh-sungguhnya, maka perkara-perkara lain seperti kecintaan kepada Allah, kerinduan untuk bertemu Allah, keindahan bermunajat kepada Allah, kepuasan berkorban demi agama, suruhan dan larangan Allah, pasti akan muncul.

Dengan percaya terhadap kerja yang kita lakukan, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kerja tersebut, maka InsyaAllah kita berjaya melaksanakan kerja tersebut dengan hasil yang baik. Rasa suka, enjoy, terus berusaha dengan lebih gigih, memperbaiki kesilapan, positif dengan matlamat yang ingin dicapai, akan hadir secara automatik bila kita percaya dan usaha dalam sesuatu tugasan atau kerja kita.

Tapi bagaimana untuk percaya? Kepercayaan akan timbul bila ilmu tentang perkara tersebut kita pelajari. Kepercayaan kepada Allah umpamanya akan bertambah mendalam bila kita pelajari tentang sifat-sifat Allah, nama-nama Allah, makhluk-makhluk ciptaan Allah.

Begitu juga dengan kerja yang dilakukan seperti perniagaan contohnya. Bila kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang perniagaan yang dilakukan seperti maklumat tentang keperluan pelanggan, kekuatan produk, sistem pengurusan, pastinya kita akan lebih percaya bahawa perniagaan yang kita lakukan boleh mencapai keutungan yang diingini dan dapat berkembang dengan pesat.

Dalam pelajaran juga begitu. Bila tahu tentang subjek yang kita pelajari, bagaimana cara mendapatkan sumber, siapa yang dapat membantu untuk menambahkan pengetahuan dalam subjek tersebut, maka keyakinan kita untuk belajar akan lebih tinggi.

Namun, ilmu dan percaya sahaja tidak memadai tanpa usaha. Kita percaya tentang Allah, tapi tidak berusaha mendekatkan diri kepadanya. Kita percaya perniagaan yang kita lakukan akan mencapai keutungan yang besar, tetapi tidak berusaha menjalankan perniagaan dengan baik. Kita percaya dapat result yang cemerlang dalam sesuatu subjek, tetapi tidak berusaha untuk belajar dengan berstrategi. Maka!!! hasilnya pasti kegagalan dan kekecewaan. Kalau berjaya pun, sekadar kebetulan.

Asas Islam juga menekankan 2 perkara utama iaitu RUKUN IMAN (percaya) dan RUKUN ISLAM (usaha). Ramai orang ditanya tentang rukun iman, mereka akan katakan mereka beriman dengan kesemuanya (di mulut jawab ya, tapi di hati hanya Allah yang tahu). Tetapi bila ditanya tentang rukun Islam, ramai yang jawab tidak lengkap. Jadi, kalau tidak berjaya di akhirat kelak, bukan salah orang lain, tapi salah sendiri kerana tidak menuntut ilmu untuk mengukuhkan kepercayaan (rukun iman) dan berusaha mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya (rukun Islam).

Justeru, sama-samalah kita menambah pengetahuan untuk mengukuhkan kepercayaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian dan matlamat. InsyaAllah berjaya!!!

Wednesday, March 25, 2009

Jangan Bertangguh

Ambil kesempatan 5 perkara sebelum datang 5 perkara :

1) waktu sihat sebelum datang masa sakit

2) waktu lapang sebelum datang masa sempit
3) waktu kaya sebelum datang masa miskin
4) waktu mudah sebelum datang masa tua
5) waktu HIDUP sebelum datang masa MATI

Daripada lbnu 'Umar r.a. beliau berkata : Rasulullah s.a.w telah memegang bahuku seraya bersabda : "Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu." Ibnu 'Umar r.a pernah berkata : "Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang. Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu." (Hadis riwayat Al-Bukhari.)

Daripada Anas r.a. beliau berkata : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : "Allah Ta'ala berfirman : Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi." (Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi).

Monday, March 23, 2009

Kehidupan

Dalam menjalani kehidupan, tak semua perkara akan berlaku seperti yang kita rancangkan dan impikan. Bila melakukan sesuatu perkara, jangan letakkan harapan yang tinggi terhadap perjalanan atau perlaksanaan perkara tersebut.

Untuk aku menyelesaikan tesis master, aku beberapa kali perlu memperbaikinya bersesuaian dengan keperluan dan kehendak penyelia. Rupanya tak semudah yang dibayangkan atau mungkin aku sendiri tidak melakukan yang terbaik agar tiada lagi perkara yang perlu diperbaiki. Tapikan kita ni manusia. Mungkin apa yang ada dalam fikiranku, lain pula dalam fikiran penyelia.

Kita seringkali bengang dengan karenah birokrasi dan karenah orang bila membuat sesuatu urusan dengan mana mana jabatan atau orang lain. Sesuatu perkara yang kita fikirkan mudah dan boleh diselesaikan dalam masa beberapa jam sahaja atau beberapa minit sahaja mungkin memakan masa dua tiga hari.

Pergi kaunter A, disuruhnya kita pergi kaunter B. Di kaunter B pulak disuruhnya kita ke tingkat 3. Di tingkat 3, tunggu hampir 1 jam, baru dimaklumkan pegawai berkenaan cuti sekerat hari. Aaarrrggghhh... tak ke tensyen namanya tu. Tapi itulah realiti yang berlaku kerana orang di kaunter A dan B tidak mengetahui tentang semua perkara yang berlaku di bangunan yang mereka bekerja apatah lagi di bangunan lain walaupun dalam kawasan yang sama.

Justeru, inilah pentingnya doa dan perngharapan yang tinggi kepada Allah agar Dia memudahkan segala urusan kita. Lihatlah! Allah bukan sahaja untuk disembah semata-mata ketika solat, tetapi Allah berada dalam segala urusan kita. Dialah yang menentukan segala urusan kita berjalan lancar dan dapat diselesaikan. Dialah juga yang menguji kita dengan pelbagai rintangan hatta dalam sekecil-kecil perkara.

Maka :
1) Berdoalah agar Allah memudahkan urusan kita di dunia dan di akhirat
2) Jangan meletakkan pengharapan yang amat tinggi kerana kita akan kecewa
3) Jangan kecewa apatah lagi putus asa dalam segala hal kerana yang baik dan buruk itu datangnya dari Allah untuk menguji kita.

Monday, March 16, 2009

23 Rabiul Awal 1430 H

Salam buat semua. Moga sentiasa berada dalam limpahan redha dan rahmat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dapatkah kita memperolehi redha Allah dengan segala amal kita sepanjang kehidupan ini? Oh, alangkah ruginya aku yang sering kali lalai, leka dan kurang amal soleh. Cukupkah segala amal soleh yang kita kerjakan untuk mengharapkan syurga tanpa syafaat dari Rasulullah s.a.w?

Allahumma Solli 'Ala Muhammad...

Tiap kali mulut ini mengungkap selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, sayu terasa di hati.

Alangkah indah hidup di zaman baginda.
Alangkah indah hidup bersama baginda.
Alangkah indah menjadi ahli keluarga baginda.
Alangkah indah menjadi sahabat baginda.
Alangkah indah mendapat bimbingan dan didikan terus daripada baginda.
Alhamdulillah... aku sebahagian daripada umat Muhammad s.a.w.

Bukankah kita semua memang mendapat bimbingan langsung daripada baginda? Al-Qur'an dan sunnah baginda s.a.w sememangnya terbentang luas untuk kita amalkan. Cuma kita yang gagal untuk mengamalkan sebahagian besar sunnah baginda s.a.w.

Bila tiba musim maulid nabi, masing-masing melaungkan selawat (tu kira bagus la daripada takde kesedaran langsung tentang maulid nabi). Namun hingga hari ini setelah 11 hari berlangsungnya sambutan maulidur rasul, berapa orang daripada kita yang bibirnya masih basah dengan selawat? Berapa orang daripada kita yang hatinya masih terikat dengan selawat?

Yaaa... begitulah kita, manusia yang sering lalai dan leka. Beribadah mengikut musim. Ketika tiba Ramadhan, pandai pula kita menjaga diri daripada mengumpat, berbohong. Bila pergi haji, pandai pula kita menutup aurat. Masa menyambut maulidurrasul, pandai pula kita berselawat. Namun selepas selesai waktu-waktu tersebut, semuanya tercicir di belakang.

Kerana itu kita semua sentiasa perlukan peringatan.

Bacalah...
Dengarlah...
Lihatlah...

Perkara-perkara yang boleh mengingatkan kita agar sentiasa beramal soleh. Marilah kita sama-sama mengamalkan sunnah baginda s.a.w sebagaimana di bawah:

Diriwayatkan dari Al-Aswad bin Yazid ia berkata: "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah r.a : 'Apakah yang biasa dilakukan Rasulullah s.a.w di rumah?' 'Aisyah r.a menjawab: "Baginda biasa membantu keluarga, apabila mendengar seruan azan, baginda segera keluar (untuk menunaikan shalat)."
(HR. Muslim)

Wednesday, March 04, 2009

Perpisahan

Bukan mudah untuk berpisah antara suami dan isteri. Apatah lagi ada anak kecil. Cuba tanyakan kepada suami dan isteri yang duduk berasingan. Terutamanya yang berada di tempat orang (tiada keluarga terdekat yang duduk berhampiran). Tentu semuanya mengatakan perpisahan itu PERIT.

Aku telah melaluinya selama 6 bulan pada tahun 2008. Dan kalau aku boleh menjangka dan meminta untuk kehidupan yang seterusnya di dunia ini, aku tidak ingin lagi berpisah. Untuk seketika kalau ada sebarang kursus atau mesyuarat, tidak mengapa. Tapi bukan untuk masa yang lama.

Perit. Bila berjauhan, bukan rindu dan resah sahaja yang bersarang di jiwa. Bahkan sering diusik dengan salah sangka hingga membuahkan pertelingkahan kecil. Kalau ada di depan mata, sekali sekala terasa hati, tak sampai sehari dah terubat. Tapi bila berjauhan suasana semakin keruh dan kadang kala sukar dikawal. Mengambil masa yang lama untuk pulih (tekde lah sampai seminggu, tapi lebih dari 1 hari)

Dan aku tak mahu ia berulang lagi. Justeru itu aku tidak melapor diri apabila ditempatkan kali pertama untuk mengajar di Pasir Gudang, Johor. Jauh tu dari Triang. Kami ada beberapa perancangan untuk kewangan masa depan. Sekiranya seorang di Johor, seorang di Triang. Tak jadi kerja lah jawabnya bila hujung minggu dihabiskan di atas jalan raya. Sedangkan masa hujung minggu boleh digunakan untuk melaksanakan projek kami.

Kenangan DPLI

Aku antara yang lebih berusia daripada pelajar-pelajar lain,berumah tangga dan yang telah memiliki anak. Justeru, kelebihan ini membolehkan aku lebih dihormati dan menjadi perantara antara beberapa pihak. Kadang kala aku rasa mereka hormat aku secara berlebih-lebihan, sedangkan aku bukan sesiapa melainkan manusia biasa yang mempunyai pelbagai kekurangan dan kelebihan.

Bersama-sama rakan DPLI UIAM, aku berasa seronok untuk terus belajar. Aku tidak aktif menjadi ahlijawatankuasa dalam aktiviti PPU sebab jadual hujung minggu aku berada jauh dari UIAM. Di hari-hari biasa aku manfaatkan sebaik-baiknya untuk belajar dan membuat assignment. Walaupun sukar, aku usahakan juga. Hingga Marina (rakan sekelas aku kata) "Dah lah tu akak. Takut tengok akak ni. Pagi pagi dah bukak laptop". Bukan apa dik, komitmenku lebih banyak dari dirimu. Justeru, setiap masa mesti dimanfaatkan dengan lebih baik.

Kini, bersendirian di rumah, terkenangkan rakan-rakan sekelas yang telah 2 bulan mengajar. Ada yang telah dapat gaji pertama. Ada yang masih belum dapat. Dan aku... masih menunggu penempatan kali kedua.

Sejarah ~ Diari Kehidupan

Coretan-coretan lama, ku belek kembali. Ingin mencari sesuatu yang mungkin boleh dikongsi kembali. Aku lihat :

~ Dah lama rupanya aku ada blog. 5 tahun dah
~ Sejarah hidupku
~ Perasaan-perasaanku suatu ketika dulu
~ Gaya penulisanku yang berbeza dulu dan kini
~ Blogku pernah dikunjungi orang ternama seperti Sri Diah (masa tu tak ramai lagi blogger macam sekarang).

Hidup ini pernuh warna warni... Indahnya, Subhanallah.

Tuesday, March 03, 2009

PPSMI


Bahasa kalut, politik kalut, ekonomi kalut. Apa nak jadi dengan Malaysia ni? Pemimpinnya yang tidak bertanggungjawab atau rakyatnya yang tiada kesedaran? Atau kedua-duanya yang rapuh akhlak?

Ahhh... mungkin ada yang bertanggungjab, yang sedar, dan yang berakhlak mulia. Tapi yang negatif itu mungkin lebih banyak. Ni yang nak kena diubah.

Saturday, February 28, 2009

Ikhlas Membuah Bahagia

Hati yang ikhlas akan membuah bahagia. Tak percaya?

Okey, cuba buat sesuatu perkara yang selama ini mungkin membuat hati kita memberontak. Contohnya, kerja kerja di pejabar yang bertimbun, kerja rumah yang tidak akan berhenti selagi hidup, melayani kerenah anak dan suami dalam keletihan.

Kali ni, tarik nafas, tenangkan diri, ikhlaskan hati melakukan kerja tersebut bagi mendapatkan redha Allah. Allah suka pada orang yang melaksanakan tanggungjawabnya. Allah suka pada isteri yang menjaga harta suaminya dan menggembirakan suaminya. Allah suka pada ibu yang sayang kepada anak-anaknya dan mendidik mereka menjadi anak yang soleh.

Bila kita ingat bahawa segala yang kita lakukan Allah suka, dan kita ikhlas untuk mendapatkan redhaNya, maka kita akan lakukan perkara tersebut dengan gembira tanpa ada rasa sakit hati dan tertekan.

Mungkin usaha kali pertama menjadi, tapi tidak berterusan. Cuba lagi untuk ikhlas dalam segala perbuatan. InsyaAllah, dengan usaha yang berterusan, kita dapat menjadi seorang hamba yang ikhlas melakukan sesuatu perkara hanya kerana Allah.

Inilah yang berlaku pada para ulama' silam seperti Sayyid Qutb, Hassan al-Banna, Imam al-Syafi'e, Ibn Taimiyah. Walaupun mereka disiksa, dipenjara, disekat, tetapi mereka tetap teguh menjalankan dakwah Islam. Kenapa? Kerana mereka bahagia melaksanakan dakwah Islam demi mendapat redha Allah, walaupun ada manusia yang membencinya.

Friday, February 27, 2009

Layanan

Melayan suami bukan bermaksud si suami mengada-ngada atau melayan kehendak seksual suami semata-mata. Layanan itu luas maksudnya. Ia merangkumi pelbagai perkara termasuk :-

1. Memasak untuk suami
2. Menemani suami makan
3. Mendengar keluahan, cerita suami
4. Berkongsi cerita dengan suami
5. Berhias diri untuk suami
6. Mengawal kemarahan atau rasa sakit hati terhadap suami
7. Memaafkan suami
8. Menemani suami membuat kerja, menonton tv, membaca
9. Menjaga harta suami
10. Melakukan perkara yang menyenangkan hati suami (termasuk tidak banyak membebel, meninggikan suara dan bercakap kasar)

Banyakkan kena buat? Tu belum termasuk dengan anak-anak. Mana nak layan anak-anak yang bermacam-macam kerenah. Tapi, kerana tugas yang besar dan berat itulah membuatkan seorang isteri mudah untuk masuk syurga dari mana mana pintu, dengan syarat ikhlas, beriman dan mematuhi syariah Islam.

Habis tu, tak perlu menguruskan hal rumah tangga seperti mengemas, membasuh pakaian dsb? Perlu, jawapannya. Kerana ia merupakan antara cara bagi menjaga harta suami dan menyenangkan hati suami. Tapi tanggungjawab tersebut boleh dikongsi bersama anak-anak, suami dan orang lain.

Sedarlah, kita adalah manusia yang lemah. So, tak salah meminta tolong dari sesiapa sahaja sekiranya kita tidak mampu melakukan sesuatu perkara.

"Abang, tolong honey angkat pinggan mangkuk ke dalam sink ye, terima kasih"
"Abang, tolong honey lapkan meja ye lepas ni, terima kasih"
"Abang, abang baik kan? Tolong honey jemur kain ye, terima kasih"

Tapi, tengoklah situasi. Kalau suami pun sibuk tak menentu dan kita mampu buat sendiri. Buatlah sendiri. Kalau tak mampu juga, boleh ditangguhkan perkara yang kurang penting.

Thursday, February 26, 2009

Hidup

Dua tiga hari ni urusan rumah tangga agak tunggang langgang. Membantu suami menyiapkan bukunya yang menghampiri dateline menjadi keutamaan. Baju 2 bakul tak terlipat. Time nak lipat baju, ada si kecil datang menempek. Kesian pulak kalau tak dilayan. Ye lah, hidup kita ni tak tahu bila akan tamat.

Kalau membelakangkan layanan terhadap anak dan suami, takut nanti dah tak berkesempatan buat demikian, rasa menyesal akan menyesak di dada. Jadi, selagi ada peluang hidup, layanilah dan penuhilah permintaan anak dan suami. Dapat pahala yang besar. Yang penting mesti ikhlas bagi memenuhi tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada diriku sebagai seorang isteri.

Aku ingat masa buat DPLI kat UIAM. Abang selalu merajuk kat aku kerana hujung minggu aku habiskan masa dengan mengemas rumah. Bagi aku, sebelum aku ke UIAM, aku nak pastikan rumah clear. Pinggan mangkuk semua bersih, lantai bermop, baju berlipat, baju abang siap gosok. 2 hari di hujung minggu tu perlu siapkan semuanya.

Sedangkan bagi abang, aku hanya perlu gosok baju dia sahaja. Masa selebihnya, gunakan untuk bermesra dengan suami dan anak.

Oh, barulah aku dapat pengajaran. Tugas utama isteri ialah berkongsi kasih sayang dengan ahli keluarga dan melayan kehendak suami. Bukan menjadi kuli yang terbongkok-bongkok mengemas rumah tanpa sempat melayan suami dan anak. Kalau tak mampu, mintalah bantuan.

Almaklumlah... kitakan manusia yang serba kekurangan.

Jawatan Kosong

Assalamualaikum.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Dimaklumkan sekarang ada jawatan kosong di PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. (PTS Pro) sebagaimana di bawah:
1. Editor Pengurusan (Bisnes & Pengurusan)
2. Editor Perolehan (Pendidikan)
3. Editor Pengurusan Kontrak (Pendidikan)
Sehubungan dengan itu, PTS Pro sekarang mempelawa mana-mana individu yang berminat mengisi jawatan itu dengan menghantar borang permohonan, cover letter dan resume terus ke Jabatan Sumber Manusia PTS (shazarina@pts.com.my) ataupun saya sendiri (nazruls@pts.com.my)
Maklumat lanjut jawatan yang dipohon, syarat-syarat, borang permohonan dan cara-cara memohon jawatan kosong yang diiklankan, sila klik: http://pts.com.my/index.php/karier/
Sehubungan dengan itu, saya mohon kepada tuan-tuan dan puan-puan supaya menghebahkan perkara ini kepada rakan-rakan serta saudara mara.
Terima kasih.

NAZRUL SAMSUDIN
Manager
PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

9-1 & 11-1, Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
H/P: +6 016 6611 491
Tel: +6 03 4142 7413/16
Fax: +6 03 4142 7415
E-mail: nazruls@pts.com.my
Website: www.pts.com.my
Personal website: www.terbitsendiri.com


Nurulhilyati Abdul Halim
Editor PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
9-1 & 11-1 Jalan Wangsa Setia 3,
Wangsa Melawati,
53300 Kuala Lumpur.

Tel: 03-41427413/16
Faks: 03-41427415
www.pts.com.my

Saturday, February 21, 2009

Disiplin


Disiplin. Satu perkataan yang mudah disebut, namun amat payah untuk dipatuhi apatah lagi dihayati. Disiplin amat berkait rapat dengan masa. Tidak berdisiplin bermakna telah membuang masa.

Seorang pelajar tidak berdisiplin dalam mengikuti pengajaran guru-gurunya. Ini menyebabkan dia telah mensia-siakan masanya untuk belajar, mensia-siakan masa guru yang mengajarnya. Padahal, kalau dia berdisiplin, mungkin dia mudah faham tentang pelajaran, lebih banyak masa untuk membaca perkara-perkara lain atau melakukan perkara-perkara yang positif. Maka dia menjadi lebih produktif dan berguna.

Sedangkan gurunya pula tidak perlu mengambil masa yang lebih untuk membuat kelas tambahan, memberi extra penerangan. Maka si guru boleh melakukan kerja-kerja lain yang meningkatkan produktiviti dirinya.

Islam amat menekankan disiplin. Kerana itu, sebuah surah yang dikhaskan bagi mengingatkan manusia tentang masa. Tanpa disiplin dengan masa, maka rugilah kehidupan kita.


Maksud Surah al-'Asr : "Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran"

Kenapa orang beriman tidak rugi? Kerana orang yang benar-benar beriman tidak akan melengahkan tanggungjawabnya. Solat ditunaikan sebaik sahaja masuk waktu. Tanggungjawab dan tugasan lain dilaksanakan sesegera mungkin, menepati masa.

Kerana orang-orang yang beriman amat berhati-hati dengan penggunaan masa. Masa bagi mereka biarlah bermanfaat untuk Islam. Mensia-siakan masa merupakan satu dosa bagi mereka kerana ia akan disoal di akhirat kelak.

Kenapa orang yang beramal soleh tidak rugi? Kerana hanya amal soleh yang memberi kesan yang baik di akhirat kelak. Bagaimana amal soleh itu? Segala amalan yang wajib, sunat mahupun harus, yang menepati syariat dan dilakukan semata-mata kerana Allah. Tidak kiralah kerana takutkanNya, untuk mendapat keredhaanNya, untuk meletakkan pengharapan kepadaNya... apa sahaja. Asalkan semata-mata kerana Allah

Kerana disiplin jugalah aku mengambil masa yang lama untuk menyiapkan disertasi master. Disiplin diri yang rendah menghasilkan aku yang pada hari ini masih tidak memberi sumbangan apa-apa kepada kemajuan Islam, masyarakat mahupun negara. Jadi, aku ni belum benar benar beriman lah??? Waduh... gimana nih.

Kehidupan lalu bukan untuk dikesali. Mesti teruskan dengan perubahan diri. Singkirkan rasa malas yang menjadi musuh kepada disiplin. Ayuh honey... BERUBAHLAH!!!

Thursday, February 19, 2009

Di 'Tag' oleh Kak Mae

Aku telah di tag oleh Kak Mae sebulan lalu. Namun baru hari ini aku berkesempatan melaksanakan 5 permintaan setelah di tag.

Rule nya

(Kenapa ntah tak boleh letak badge tu kat sini. Tapi boleh lihat di sini)

1. Copy badge "2008 Cute's 3logger Award" di atas untuk diletakkan di blog anda

Inilah dia rupa award yang perlu di copy, asalnya gambar seksi, tapi telah touch up untuk auratnya.

2. Link/ceritakan kembali siapa yang memberikan award ini kepada anda

Pemberi award ni : Kak Mae, rakan saya ketika di Universiti Malaya. Orangnya kreatif, lembut, suka tersenyum dan mudah didekati. Pandai buat orang lain tersenyum dan tertawa.

3. [Papar Semua] Setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta/hobi diri sendiri sebelum memilih penerima award seterusnya (anda di-tag).

1) Saya suka membaca. Lebih-lebih lagi baca novel. Satu malam pun boleh habis. Novel apa yang paling best? Jangan ditanya. Sebab bila dah baca banyak banyak. Tak tahu la yang mana paling best. Tapi setakat ni saya suka tulisan Faisal Tehrani. Bila baca, seolah-olah berada dalam watak.

2) Majalah kegemaran saya ialah Pa&Ma, Majalah I. Sebelum kahwin dulu saya beli Mingguan Wanita. Tapi sekarang dah tak beli. Bajet kena jaga. Beli yang penting dan mampu dibaca sahaja.

3) Suka melayari internet. Tetapi kekangan waktu tidak mengizinkan untuk melayari internet dengan sewenang-wenangnya. Kalau duduk depan komputer dan melayari internet, lupa makan dan minum. Lepas tu baru le rasa sakit kepala sebab angin dah naik ke kepala. Padan muka!

4) Mengambil masa yang maksimum - 10 semester untuk menyiapkan master. Tu pun kena edit lagi sikit. Aduhai... lamanya. Tu lah, siapa suruh diri sendiri kurang berdisiplin!

5) Hampir setiap hari sebelum tidur, berazam untuk bersenam @ jogging @ aerobik pada esok hari bagi menjaga kesihatan. Tapi sampai hari ni tak jadi jugak lagi. Apa macam ni...

6) Mempunyai seorang permata hati yang comel, nakal dan baik hati - berusia 2 tahun 4 bulan 3 minggu 1 hari pada hari ini (19 Feb 2009). Kesian, dia tengah sakit.

7) Sejak kecil ayah tidak membenarkan saya menyertai acara lasak seperti camping dan junggle tracking. Tapi saya sangat suka untuk menyertai acara lasak. Teringin nak panjat Gunung Kinabalu. Jungle Tracking saya yang pertama ialah ketika usia 20 tahun.

8) Suka mendengar lagu-lagu nasyid berbanding lagu-lagu lain. Bila mendengar lagu cintan cintun lain, terasa hati jadi tertutup, gelap. Lagha...

9) Suka tengok baju yang cantik-cantik. Tak kiralah baju kanak-kanak ke atau orang dewasa. Tapi tak teringin nak beli kecuali yang betul betul berkenan. Tapi kekadang tak beli pun sebab duit kurang. Kadang-kadang tu terbeli baju yang tak cantik pun sebab dah rambang mata. Hu... hu... hu...

10) Mak kata saya seorang yang keras hati. Betul ke? Entahlah. Saya rasa mungkin kot. Saya tersentuh hati kalau dimarahi, ditinggalkan, melihat kesulitan orang lain, tapi saya berusaha mengawal perasaan hingga mungkin memperlihatkan saya seorang yang keras hati.

Saya amat mudah menangis bila saya dalam keadaan tersentuh tetapi tidak dapat meluahkan apa yang terbuku dihati. Contohnya, bila dimarahi saya ingin membela diri, tapi saya tak dapat luahkan apa yang tersirat di hati. Maka air mata saya akan mengalir.

4. Anda perlu memilih 10 penerima award seterusnya dan menyatakan nama mereka di blog anda.

My Love
Samhani
Umie J
Najibah
Hairin
Ummu Syifa'
Baby Nadhrah

5. Jangan lupa untuk melawat blog mereka dan meninggalkan komen yang menyatakan "anda telah di tag - sila layari blog pentaskehidupan untuk mendapatkan award anda"


Sekian, terima kasih

Gingivitis

Setelah memiliki seorang anak, barulah aku tahu betapa pentingnya mengetahui, mencari dan mendapatkan maklumat tentang kesihatan. Sebagai bonda, aku kena bersedia untuk mengahadapi pelbagai masalah kesihatan anak-anak lebih dari sekadar demam, selesema dan batuk sahaja.

Semasa kecil, 'Aqilah menhadapi masalah pada kulit mukanya. Pipinya merah dan merekah. Sedih melihat dia menggaru dan tidak selesa. Kata orang, terkenan kenan susu. Dan macam-macam lagi yang orang cakap. Ubatnya tradisional. Manalah aku nak cari. Dan aku sendiri tak gemar sangat nak mencari daun-daun ubatan tradisional yang aku memang tak kenal.

Bila pergi klinik untuk cek kesihatan 'Aqilah, misi kata biasalah tu. Lama-lama nanti hilanglah. Alhamdulillah... bila pakai satu krim yang disyorkan oleh jiran kami, merah dipipi semakin hilang. Usia 'Aqilah 2 tahun lebih ni, nampaknya dah tak naik merah di pipi walaupun dah lama berhenti pakai krim tu.

Dan bila 'Aqilah hampir 2 tahun barulah aku tahu bahawa 'Aqilah ada Ekzema Otopik. Kulitnya sensitif, ada alahan dan mungkin akan dapat athma. Rupa-rupanya merah di pipi 'Aqilah masa kecil adalah kerana Ekzema. Jahilnya aku. Selama ni memang tak tahu langsung tentang Ekzema. Sekarang barulah tahu sikit-sikit.

Dan semalam, aku tahu satu lagi penyakit iaitu Gingivitis. 'Aqilah demam sejak hari Jumaat lalu (13 Feb). Dalam masa yang sama, dalam mulut dia tumbuh banyak ulser, termasuk kat dalam tekak. So, dia tak telah air liur, minum air dan hisap susu kena paksa. Taknak makan sampai hari ni.

Semalam (Rabu), dia dah tak demam dan aku tengok ulser kat mulut dia dah beransur pulih. Tapi dia still kemam mulut, taknak makan. Masa aku berus gigi dia, gusinya berdarah. Aku tengok gusinya bengkak. Confiuse jugak. Nak bawa gi klinik ke takyah? Akhirnya kami bawa 'Aqilah pergi klinik.

Hasilnya doktor kata : 'Aqilah kena Gingivitis. Disebabkan kurang vitamin C dan mungkin giginya nak membesar. Doktor bagi ubat sapu pada gusi dan vitamin C. Kesian 'Aqilah. Gusinya sangat sensitif. Tengah tido pun boleh berdarah. Masa aku sapu ubat kat gusi dia (setelah berhempas pulas membuka mulutnya) gusinya berdarah jugak.

Hope dan doa bonda agar 'Aqilah kembali sihat dan ceria sokmo.

Wednesday, January 14, 2009

Di Sebalik Isu Palestin


Pernah tengok tak cerita di atas? Kalau belum, cubalah tengok dan hayati maksud yang tersirat di sebalik cerita tersebut. Ia bukan sekadar cerita aksi. Tetapi memaparkan juga 'sesuatu' di sebalik realiti kehidupan dunia yang kacau bilau. Dan mungkin banyak lagi cerita yang seumpamuanya. Cuma aku kebetulan tengok cerita ni je.

Apa kaitannya dengan Palestin???

Dalam cerita James Bond di atas, terdapat orang jahat yang mendalangi keputusan sesebuah negara atau seseorang pemimpin. Pemimpin tertinggi negara tersebut sebenarnya tunduk kepada kuasa si penjahat ini semata-mata untuk mempertahankan kuasanya, hartanya, dan nafsu serakahnya. Semuanya kerana pentingkan diri sendiri.

Bila dah ada kerjasama dengan si penjahat (yang dilihat oleh dunia sebagai penyelamat @ wira), maka berlakulah peras ugut. "Kalau hang tak bagi apa yang aku nak, aku akan dedahkan keburukan hang. Aku akan buat rakyat hang menderita. Ha ha ha... segala tindak tanduk hang semuanya dalam tangan dan kuasa aku".

Begitulah Zionis di sebalik Amerika dan sekutu-kutunya. Dan lebih malang sekiranya negara Islam sendiri terlibat dengan si penjahat ini. Para penguasa dan pemerintah yang mempunyai kuasa terkunci kejap kerana kuasa mereka di dalangi oleh para zionis dan bukannya ditegakkan bagi menegakkan kalimah Allah dimuka bumi.

Maka terjadilah realiti sekarang. Tiada pemerintah negara Islam yang dapat bangkit berjihad menentang Israel. Tiada pemerintah Amerika dan sekutunya yang berani menghentikan tindakan Israel. Semuanya terikat dengan perjanjian, terikat dengan hubungan, terikat, terikat, terikat dengan penjahat Israel sendiri. Tiada lagi kekuatan ikatan aqidah. Semuanya musnah kerana mengikut hawa nafsu yang inginkan kuasa dan kekayaan sehingga sanggup menindas orang lain.

Yang tinggal hanya kita. Hanya rakyat biasa yang setiap hari melaungkan agar kekejaman Israel segera dihentikan. Yang sentiasa berdoa agar Allah memusnahkan Israel dan sekutunya. Takpe, takpe. Jangan dipandang enteng usaha ini. Teruskan.

Teruskan dengan memBOIKOT BARANGAN Amerika dan sekutunya. Dan BANGUNKAN PRODUK ISLAM!!!

(Beza antara cerita James Bond dengan realiti ialah penjahat dalam James Bond akhirnya mati, tetapi penjahat Israel tak mati-mati lagi. Liat sungguh nyawa diorang tu)