CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, March 25, 2009

Jangan Bertangguh

Ambil kesempatan 5 perkara sebelum datang 5 perkara :

1) waktu sihat sebelum datang masa sakit

2) waktu lapang sebelum datang masa sempit
3) waktu kaya sebelum datang masa miskin
4) waktu mudah sebelum datang masa tua
5) waktu HIDUP sebelum datang masa MATI

Daripada lbnu 'Umar r.a. beliau berkata : Rasulullah s.a.w telah memegang bahuku seraya bersabda : "Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu." Ibnu 'Umar r.a pernah berkata : "Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang. Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu." (Hadis riwayat Al-Bukhari.)

Daripada Anas r.a. beliau berkata : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : "Allah Ta'ala berfirman : Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi." (Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi).

Monday, March 23, 2009

Kehidupan

Dalam menjalani kehidupan, tak semua perkara akan berlaku seperti yang kita rancangkan dan impikan. Bila melakukan sesuatu perkara, jangan letakkan harapan yang tinggi terhadap perjalanan atau perlaksanaan perkara tersebut.

Untuk aku menyelesaikan tesis master, aku beberapa kali perlu memperbaikinya bersesuaian dengan keperluan dan kehendak penyelia. Rupanya tak semudah yang dibayangkan atau mungkin aku sendiri tidak melakukan yang terbaik agar tiada lagi perkara yang perlu diperbaiki. Tapikan kita ni manusia. Mungkin apa yang ada dalam fikiranku, lain pula dalam fikiran penyelia.

Kita seringkali bengang dengan karenah birokrasi dan karenah orang bila membuat sesuatu urusan dengan mana mana jabatan atau orang lain. Sesuatu perkara yang kita fikirkan mudah dan boleh diselesaikan dalam masa beberapa jam sahaja atau beberapa minit sahaja mungkin memakan masa dua tiga hari.

Pergi kaunter A, disuruhnya kita pergi kaunter B. Di kaunter B pulak disuruhnya kita ke tingkat 3. Di tingkat 3, tunggu hampir 1 jam, baru dimaklumkan pegawai berkenaan cuti sekerat hari. Aaarrrggghhh... tak ke tensyen namanya tu. Tapi itulah realiti yang berlaku kerana orang di kaunter A dan B tidak mengetahui tentang semua perkara yang berlaku di bangunan yang mereka bekerja apatah lagi di bangunan lain walaupun dalam kawasan yang sama.

Justeru, inilah pentingnya doa dan perngharapan yang tinggi kepada Allah agar Dia memudahkan segala urusan kita. Lihatlah! Allah bukan sahaja untuk disembah semata-mata ketika solat, tetapi Allah berada dalam segala urusan kita. Dialah yang menentukan segala urusan kita berjalan lancar dan dapat diselesaikan. Dialah juga yang menguji kita dengan pelbagai rintangan hatta dalam sekecil-kecil perkara.

Maka :
1) Berdoalah agar Allah memudahkan urusan kita di dunia dan di akhirat
2) Jangan meletakkan pengharapan yang amat tinggi kerana kita akan kecewa
3) Jangan kecewa apatah lagi putus asa dalam segala hal kerana yang baik dan buruk itu datangnya dari Allah untuk menguji kita.

Monday, March 16, 2009

23 Rabiul Awal 1430 H

Salam buat semua. Moga sentiasa berada dalam limpahan redha dan rahmat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dapatkah kita memperolehi redha Allah dengan segala amal kita sepanjang kehidupan ini? Oh, alangkah ruginya aku yang sering kali lalai, leka dan kurang amal soleh. Cukupkah segala amal soleh yang kita kerjakan untuk mengharapkan syurga tanpa syafaat dari Rasulullah s.a.w?

Allahumma Solli 'Ala Muhammad...

Tiap kali mulut ini mengungkap selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, sayu terasa di hati.

Alangkah indah hidup di zaman baginda.
Alangkah indah hidup bersama baginda.
Alangkah indah menjadi ahli keluarga baginda.
Alangkah indah menjadi sahabat baginda.
Alangkah indah mendapat bimbingan dan didikan terus daripada baginda.
Alhamdulillah... aku sebahagian daripada umat Muhammad s.a.w.

Bukankah kita semua memang mendapat bimbingan langsung daripada baginda? Al-Qur'an dan sunnah baginda s.a.w sememangnya terbentang luas untuk kita amalkan. Cuma kita yang gagal untuk mengamalkan sebahagian besar sunnah baginda s.a.w.

Bila tiba musim maulid nabi, masing-masing melaungkan selawat (tu kira bagus la daripada takde kesedaran langsung tentang maulid nabi). Namun hingga hari ini setelah 11 hari berlangsungnya sambutan maulidur rasul, berapa orang daripada kita yang bibirnya masih basah dengan selawat? Berapa orang daripada kita yang hatinya masih terikat dengan selawat?

Yaaa... begitulah kita, manusia yang sering lalai dan leka. Beribadah mengikut musim. Ketika tiba Ramadhan, pandai pula kita menjaga diri daripada mengumpat, berbohong. Bila pergi haji, pandai pula kita menutup aurat. Masa menyambut maulidurrasul, pandai pula kita berselawat. Namun selepas selesai waktu-waktu tersebut, semuanya tercicir di belakang.

Kerana itu kita semua sentiasa perlukan peringatan.

Bacalah...
Dengarlah...
Lihatlah...

Perkara-perkara yang boleh mengingatkan kita agar sentiasa beramal soleh. Marilah kita sama-sama mengamalkan sunnah baginda s.a.w sebagaimana di bawah:

Diriwayatkan dari Al-Aswad bin Yazid ia berkata: "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah r.a : 'Apakah yang biasa dilakukan Rasulullah s.a.w di rumah?' 'Aisyah r.a menjawab: "Baginda biasa membantu keluarga, apabila mendengar seruan azan, baginda segera keluar (untuk menunaikan shalat)."
(HR. Muslim)

Wednesday, March 04, 2009

Perpisahan

Bukan mudah untuk berpisah antara suami dan isteri. Apatah lagi ada anak kecil. Cuba tanyakan kepada suami dan isteri yang duduk berasingan. Terutamanya yang berada di tempat orang (tiada keluarga terdekat yang duduk berhampiran). Tentu semuanya mengatakan perpisahan itu PERIT.

Aku telah melaluinya selama 6 bulan pada tahun 2008. Dan kalau aku boleh menjangka dan meminta untuk kehidupan yang seterusnya di dunia ini, aku tidak ingin lagi berpisah. Untuk seketika kalau ada sebarang kursus atau mesyuarat, tidak mengapa. Tapi bukan untuk masa yang lama.

Perit. Bila berjauhan, bukan rindu dan resah sahaja yang bersarang di jiwa. Bahkan sering diusik dengan salah sangka hingga membuahkan pertelingkahan kecil. Kalau ada di depan mata, sekali sekala terasa hati, tak sampai sehari dah terubat. Tapi bila berjauhan suasana semakin keruh dan kadang kala sukar dikawal. Mengambil masa yang lama untuk pulih (tekde lah sampai seminggu, tapi lebih dari 1 hari)

Dan aku tak mahu ia berulang lagi. Justeru itu aku tidak melapor diri apabila ditempatkan kali pertama untuk mengajar di Pasir Gudang, Johor. Jauh tu dari Triang. Kami ada beberapa perancangan untuk kewangan masa depan. Sekiranya seorang di Johor, seorang di Triang. Tak jadi kerja lah jawabnya bila hujung minggu dihabiskan di atas jalan raya. Sedangkan masa hujung minggu boleh digunakan untuk melaksanakan projek kami.

Kenangan DPLI

Aku antara yang lebih berusia daripada pelajar-pelajar lain,berumah tangga dan yang telah memiliki anak. Justeru, kelebihan ini membolehkan aku lebih dihormati dan menjadi perantara antara beberapa pihak. Kadang kala aku rasa mereka hormat aku secara berlebih-lebihan, sedangkan aku bukan sesiapa melainkan manusia biasa yang mempunyai pelbagai kekurangan dan kelebihan.

Bersama-sama rakan DPLI UIAM, aku berasa seronok untuk terus belajar. Aku tidak aktif menjadi ahlijawatankuasa dalam aktiviti PPU sebab jadual hujung minggu aku berada jauh dari UIAM. Di hari-hari biasa aku manfaatkan sebaik-baiknya untuk belajar dan membuat assignment. Walaupun sukar, aku usahakan juga. Hingga Marina (rakan sekelas aku kata) "Dah lah tu akak. Takut tengok akak ni. Pagi pagi dah bukak laptop". Bukan apa dik, komitmenku lebih banyak dari dirimu. Justeru, setiap masa mesti dimanfaatkan dengan lebih baik.

Kini, bersendirian di rumah, terkenangkan rakan-rakan sekelas yang telah 2 bulan mengajar. Ada yang telah dapat gaji pertama. Ada yang masih belum dapat. Dan aku... masih menunggu penempatan kali kedua.

Sejarah ~ Diari Kehidupan

Coretan-coretan lama, ku belek kembali. Ingin mencari sesuatu yang mungkin boleh dikongsi kembali. Aku lihat :

~ Dah lama rupanya aku ada blog. 5 tahun dah
~ Sejarah hidupku
~ Perasaan-perasaanku suatu ketika dulu
~ Gaya penulisanku yang berbeza dulu dan kini
~ Blogku pernah dikunjungi orang ternama seperti Sri Diah (masa tu tak ramai lagi blogger macam sekarang).

Hidup ini pernuh warna warni... Indahnya, Subhanallah.

Tuesday, March 03, 2009

PPSMI


Bahasa kalut, politik kalut, ekonomi kalut. Apa nak jadi dengan Malaysia ni? Pemimpinnya yang tidak bertanggungjawab atau rakyatnya yang tiada kesedaran? Atau kedua-duanya yang rapuh akhlak?

Ahhh... mungkin ada yang bertanggungjab, yang sedar, dan yang berakhlak mulia. Tapi yang negatif itu mungkin lebih banyak. Ni yang nak kena diubah.