CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, April 14, 2009

Hari Ini

Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam
Esok Lebih Baik Dari Hari Ini

Semangat kata-kata di atas perlu sentiasa diletakkan dalam jiwa kita agar kehidupan kita sentiasa berubah ke arah yang lebih baik. Janganlah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang celaka iaitu mereka yang hari ini lebih buruk dari semalam.

Semalam aku pergi ziarah rumah seorang sahabat yang telah kehilangan seorang suami (meninggal dunia) sejak tahun 2007. Kini, dia seorang diri sebagai ibu tunggal membesarkan 6 orang anaknya yang masih belajar dengan usia si bongsu baru 4 tahun. Perit. Ya, perit mata memandang, perit lagi bahu memikul. Sedikit sumbangan kuhulurkan mungkin hanya dapat membeli biskut kering bagi minum petang. Tapi, itu tidak penting. Yang penting usaha untuk ziarah dan tahu keadaan sahabat-sahabat.

Sejak menggiatkan diri dalam masyarakat, aku dapat lihat dengan mata hati betapa pentingnya ukhuwah Islamiyah. Tak penting apa yang orang dapat lakukan pada kita. Yang penting adalah apa yang dapat kita lakukan untuk membantu masyarakat. Di sekeliling kita ramai yang lebih malang nasibnya. Kitalah sebagai orang Islam yang perlu sentiasa memberi bantuan tidak kira dalam apa jua bentuk. Mungkin tak dapat bagi harta, berilah tenaga, atau ilmu, atau kasih sayang.

Sedih mengingatkan hubungan kasih sayang yang semakin pudar dalam masyarakat. "Keluargaku, hanya keluargaku. Keluargamu, adalah keluargamu. Tak perlu peduli tentang orang lain. Kalau kita susah orang lain bukan nak tolong. Kita sekeluarga jugak yang perlu selesaikan."

Ahhh... pemikiran itu bukan pemikiran Islam yang amat menekankan ukhuwah atau persaudaraan. Nilailah pada apa yang diberi kepada orang lain, jangan nilai apa yang orang lain beri pada kita. Seperti motto Saiful Islam : Erti hidup pada memberi.

Moga hari ini aku dapat melakukan perkara yang lebih baik dari semalam. Dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama Islam. InsyaAllah.

0 comments: