CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, October 31, 2005

Bersyukurlah

Bersyukurlah orang-orang yang memperolehi nikmat kesihatan berpanjangan dalam apa jua keadaan.

Dua hari ni, aku dirundung selesema @ berair hidung. Puncanya habuk yang berterbangan di dalam rumah. Tengok je habuk yang banyak sudah cukup membuatkan aku bersin. Apatah lagi bila seharian menyapu, mengemop dan mengalihkan barang-barang yang sudah 6 tahun tak berusik.

Aku buat segalanya dengan rela hati, enjoy. 5 minit buat kerja, 10 minit berhenti rehat. Ha ha ha (^_^) Aku terpaksa mengerah keringat aku sorang-sorang bila adik-adik taknak bagi kerjasama. Takpe la. Aku rela. Aku yang nak bernikah, majlis untuk aku, apa salahnya aku bertungkus-lumus lebih dari biasa. Penat tu toksah kira lah. Tapi takpe. Bukan selalu pun.

Saturday, October 29, 2005

Bercuti

Alhamdulillah... Hari ni aku dah berada di kampung halamanku yang amat dirindui, Kota Bharu.

Semalam, aku masih bekerja. Bertemu dengan para pelajar yang mengucapkan seamat hari raya, yang membimbit beg besar menuju ke kampung halaman, yang memohon kemaafan, membuatkan jiwa aku meronta-ronta untuk pulang ke kampung berkumpul bersama adik-beradik. Seronok tidak terkira rasanya bila bersama keluarga. Tiada yang dapat menggantikan keseronokan dan kegembiraan bersama keluarga. Tidak rakan-rakan dan tidak juga kerja yang berpanjangan.

Hari ini, aku dah mula bertekak dengan adik-adik, dah mula bergurau senda dengan keluarga. Waarrrgghhh... seronoknya! Gembira sangat! Gembira tak terkira. Rindu yang bertamu di hati pada keluarga semakin membara. Rasa taknak lagi berjauhan dengan keluarga.

Misi utama balik bercuti di rumah pada kali ini : "Mengemas, beraya, dan bernikah" (^_^)

Sunday, October 23, 2005

22 Oktober 1979

SELAMAT HARI LAHIR buat tunang tersayang. Walaupun entry ni lambat sehari kerana tak berkesempatan nak update blog semalam, rasanya belum terlewat untuk ku ucapkan ucapan selamat buat tunangku melalui blog ini sempena hari lahirnya ke 26.

Moga dengan meningkatnye usia kehidupan mencecah tahun ke 26, akan merubah kehidupan abang menjadi lebih baik dari sebelumnya. honey doakan moga kehidupan yang abang lalui setiap hari di dunia ini mendapat keredhaan dan dihisab kelak sebagai amalan-amalan yang membawa ke syurgaNya.

Ma, terima kasih kerana melahirkan, membesarkan, mendidik abang hingga menjadi insan yang berhati mulia dan terima kasih kerana merestui hubungan kami.

Friday, October 21, 2005

Sedia...

Takutnya aku. Takut untuk melangkah ke gerbang perkahwinan. Takut untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Mampukah aku? Layakkah aku? Dapatkah aku memberi ketenangan dan kebahagian kepada suamiku kelak?

Insya Allah aku akan diijabkabulkan pada 4 November ini. Majlis kesyukuran sempena perkahwinan aku pula akan diadakan pada 3 Disember.

Ade sape2 dapat bagi tips mendirikan perkahwinan bahagia?

Pengalaman

Aku suka mengajar di KPM. Ia adalah pengalaman berharga dalam hidupku. Mengenal masyarakat. Melihat manusia di luar kelompok aku sendiri. Berinteraksi dengan mereka. Mengajak mereka melakukan kebaikan.

Dan aku dapat rasakan, anak-anak muda di peringkat kolej ini amat memerlukan seseorang yang dapat sentiasa mengingatkan mereka tentang kehidupan dunia dan akhirat. Membimbing mereka ke arah kebenaran. Menggertak mereka tentang noda yang mereka palit pada diri sendiri. Mereka mengharap ade pembimbing yang memahami mereka. Yang dapat menjadi role model buat mereka. Yang mahu berinteraksi mesra dengan mereka.

Mereka bukan sekadar mahukan guru yang hanya mengajar di dalam kelas. Yang sekadar menghabiskan silibus, mendesak supaya mereka belajar bersungguh-sungguh. Mereka mahukan lebih dari itu.

Namun, pelajar-pelajar ini tidak tahu di mana harus mereka cari insan yang boleh membimbing mereka. Mereka tidak tahu pada siapa boleh mereka gantung pengharapan untuk mencari sinar kesedaran yang dapan membantu mereka berubah dari baik menjadi lebih baik. Daripada tiada matlamat kehidupan, ke arah yang lebih terurus. Silap langkah, malah menjerumuskan mereka ke jalan yang lebih berliku dan beranjau yang melukakan diri mereka. Adakala, mereka sendiri tidak sedar keadaan itu.

Kerana itu, perlunya seseorang. Seseorang yang pergi menawarkan diri. Yang sukarela meletakkan diri di kalangan mereka. Menyelami kehendak dan keadaan mereka.

Aku ingin, ingin menjadi seorang sukarelawati. Namun, masaku di KPM terhad. Masa yang yang ada cuma berbaki 10 hari. Ape yang mampu aku lakukan? Apakah sumbangan aku selama ini memadai buat mereka? Ataukah tiada kesan langsung?

Aku cuma aku, seorang hamba Allah yang berusaha membantu masyarakat mencari kebenaran...

Friday, October 14, 2005

Buat Pelajar-pelajar Perempuan KPM...

Saudariku.....
Sesungguhnya kejadianmu terlalu unik,
tercipta dari tulang rusuk Adam yang bengkok
menghiasai taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang.
Kau umpama sekuntum bunga,
harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu;

namun......
tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang
lantaran duri yang memagari dirinya umpama mawar,
dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya
serta kilauan warnanya yang memancar indah
mengundang kekaguman terhadap sang kumbang.......

tapi awas!
duri yang melingkari
bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya......

Saudariku.....
Aku suka sekiranya kau seperti mawar
aspirasi setiap mujahidah.
Bentengilah dirimu dengan perasaan malu
yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah...
Hiasilah wajah mu dengan titisan wudhuk.....
ingatlah bahawa
ciri-ciri seorang wanita solehah
ialah ia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya.
Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga
jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah......
umpama sebutir permata
yang didedahkan buat perhatian umum
dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup.....
sudah pastinya
keinginan untuk melihat permata yang tersembunyi itu
melebihi daripada yang terdedah

wanita solehah yang taat dan patuh pada Al Khaliq
dalam melayari liku-liku kehidupannya
adalah harapan setiap insan yang bernama Adam......
Namun.............
ianya memerlukan pengorbanan
dan mujahadah yang tinggi
kerana ianya bercanggah dengan nafsu serakah
yang bersarang dalam dirimu
lebih-lebih lagi title gadis yang kau miliki
sudah pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada...

sesiapa yang inginkan kebaikan
maka Allah akan memudahkan baginya jalan-jalan kearah itu,
yang penting saudariku
engkau mesti punyai azam,
usaha dan istiqomah..........

Saudariku.....
Akuilah hakikat dirimu
menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki...
Seandainya pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu
maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentengimu...
Sesungguhnya nabi ada mengatakan tentang bahaya dirimu,
"Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita".

Oleh itu saudariku
setiap langkah dan tindakanmu
hendaklah berpaksikan kepada Al Quran dan As Sunnah,
jangan biarkan orang lain mengeksploitasikan dirimu
untuk kepentingan tertentu.....
Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu
sebaris dengan kaum Adam.
Kau harapan ummah
dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah
yang bisa menggoncangkan dunia
dengan sentuhan lembut tangan mu.....

Saudariku...
Dalam hidupmu
pastinya ingin disayangi dan menyayangi,
itulah fitrah semulajadi setiap insani
namun
ramai di antara kamu
yang tewas kerana cinta...
Bercinta itu tidak salah
tapi memuja cinta itu yang salah,
kerana cinta
manusia sanggup menjual agama
dan kerana cinta
maruah tergadai.
Gejala murtad
serta keruntuhan moral muda mudi
sebahagian besarnya kerana sebuah cinta...

Benarlah kata-kata
"Sesungguhnya cinta itu buta"
cinta itu mampu
membutakan mata dan hatimu
dalam membezakan perkara yang hak dan yang batil
apabila kau meletakkan cinta itu
atas dasar nafsu
dan tidak kerana Allah SWT...
Sebelum kau mendekati cinta,
Cintailah dirimu terlebih dahulu,
mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik,
yang berasal daripada setitis air yang tak berharga
lalu mengalami proses pembentukan
yang direncanakan oleh Allah..
Semoga di sana mampu melahirkan rasa keagungan
dan kehebatan terhadapNya
dan timbul rasa cinta dan kasih pada penciptamu............

Saudariku...
Mencintai Allah dan rasul
melebihi cinta terhadap makhluk
adalah cinta yang hakiki dan abadi
kerana hati yang pecah dan retak
apabila diberikan kepada makhluk
pastinya akan bertambah retak dan terburai
tapi apabila hatimu
diserah kepada Allah
sudah pasti ia akan bertaut kembali..

Dalam seusia mu
sibukkan lah dirimu dengan ilmu
yang mampu mempertajamkan akal
dan mampu membina syakhsiah muslimahmu.....
Sesungguhnya ilmu itu cahaya
dan ilmu tidak mampu bertapak dalam hati
orang yang melakukan maksiat.

Buat akhirnya terimalah kata-kata seorang ahli sufi iaitu Rabiatul Adawiah sebagai renungan bersama :

"Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kebahagian yang abadi untuk seseorang insan , kerana ia tidak kekal, cintakan manusia seringkali membuatkan seorang itu gagal, kecewa, menderita dan terseksa, oleh itu tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia itu sendiri."

ANTARA TANDA KEBERKATAN SESEORANG WANITA ITU IALAH, CEPAT PERKAHWINANNYA,CEPAT PULA KEHAMILANNYA DAN RINGAN MAHARNYA......"

Tuesday, October 11, 2005

Nikmat Sihat

Alhamdulillah aku sihat hari ni.

SELAMAT BERPUASA untuk semua umat Islam. Moga Ramadhan kali ini memberi kita limpahan keampunan, kerahmatan dan keredhaan Allah. Yang penting kita berusaha mendapatkannya. Bukan hanya mendengar nasihat, membaca ungkapan, berebut membeli belah. Kalau takde amalan, jangan harapdapat manfaat.

Aku bersyukur sangat hari ini. Aku dapat rasakan betapa besar nikmat yang Allah berikan kepadaku. Hari ini aku menggunakan tenaga dan masa yang aku ada dengan semaksima mungkin. Walaaupun keletihan. Aku tetap rasa berpuas hati. Hari ini aku mengaji al-Qur'an, aku mengajar, aku belajar, aku menunggang motorsikal, aku mengisi borang permohonan perkahwinan, aku iftar bersama mak, aku menghantar mak pulang ke Kota Bharu. Aku puas, gembira kerana tidak mensia-siakan nikmat masa dan kesihatan yang Allah kurniakan padaku.

Ya Allah, sesungguhnya hambaMu yang lemah ini amat bersyukur dengan segala kurniaan nikmatMu yang tidak terkira banyaknya. Namun, hambaMu ini amat lemah dan hina, sering lalai dan alpa dari mengingatiMu. Kau ampunilah daku, wahai Tuhan Yang Maha Mengampuni.

Saturday, October 01, 2005

27 Sept 2005

Banyak yang aku ingin ceritakan. Tapi, aku memang tak berpeluang meng'update' blog dari ofis.

Kisah 1 :

Petang tadi aku ade kelas untuk master. Tapi, masuk lambat 1 setengah jam (^_^) sampai kena perli dek lecturer. Ape boleh buat. Ade hal penting yang nak diselesaikan. Ape laa yang penting sangat tu?

Aku kena curi-curi masa sikit untuk buat banyak perkara. Petang tadi aku ambil masa 2 jam untuk pergi tempah kad jemputan jamuan kesyukuran untuk perkahwinanku nanti. Nak pergi hari lain, waktu lain, jangan harap. Aku sibuk dengan tugasku, tunangku sibuk dengan tugasnya. So, petang tadi, kesempatan yang pendek kami (beserta sorang bodyguard) gunakan untuk selesaikan tentang tempahan kad jemputan. Adakah aku melakukan perkara remeh?

Bagi aku, tak. Aku sebenarnya tergolong dalam orang-orang yang tak kisah. Kalau orang lain pilih, orang lain belikan barang untuk aku, aku pakai, aku gunakan sehingga tak boleh guna dah. Aku tak memilih sangat. Tapi, bila aku ade sekali, aku juga agak memilih, sehingga aku pasti sesuatu yang aku pilih bersesuaian dengan jiwa aku. Nak kata cerewet sangat tu, tak le. Tapi, still buat pilihan.

So, masa nak pilih kad, aku pilih hingga aku benar-benar puas hati. Tu yang makan masa lebih satu jam. Tu pun, aku rasa kat kedai tu tak banyak kad yang cantik tapi murah. Kalau banyak, tentu aku lagi rambang mata. Alhamdulillah... Tunang aku pun puas hati.

Dari perkara kecil memilih kad ini, aku dapat lihat satu perkara penting dalam kehidupan rumah tangga yang bakal aku tempuh kelak. 2 jiwa yang berbeza kegemaran, cara hidup, pendidikan akan bersatu di bawah satu payung rumah tangga. Aku baru nampak sedikit asas sebuah perkahwinan antara aku dan dia. Aku baru lihat cuma secebis perbincangan yang amat penting dalam kehidupan suami isteri.


Kisah 2 :

Selepas habis kelas MA, aku pergi rumah Adilah. Aku berniat untuk mengajar tusyen selama satu jam. Kebetulan ketika Adilah mandi dan solat Maghrib, ibunya datang menghampiriku dan mengisi perut yang kelaparan. Sambil makan, si ibu bercerita.

Kata si ibu, dia dan suaminya sering memuji kelakuan anak yang meninggal dunia tersebut. Mereka berdua amat berbesar hati mendapat anak yang baik budi bahasa, solat lima waktu, tidak membantah kata-kata mereka, pandai mengaji. Dia menceritakan bahawa, setiap kali bercakap dengan anak-anak, dia akan menghadap muka si anak. Namun, sehari sebelum kembalinya arwah ke Rahmatullah, dia tidak berkesempatan menatap wajah arwah secara berdepan.

Di hari pemergian arwah, si ibu mendengar pula pengakuan dari kawan-kawan arwah tentang kebaikan arwah terhadap rakan-rakannya dan juga peribadi arwah yang ditonjolkan di luar rumah.

Aku terharu. Terharu dengan pengakuan seorang ibu yang tidak putus memuji kebaikan anaknya. Alangkah bertuahnya si anak. Apa lagi yang diharapkan oleh seorang anak melainkan keredhaan ibubapa. Redha Allah terletak di atas keredhaan ibu. Aku menilai diriku sendiri. Apakah aku sudah cukup baik untuk mendapat keredhaan mak dan ayah, seterusnya keredhaan Allah? Aku tidak mahu menjadi anak yang derhaka.

Doa aku, moga Allah mencucuri rahmatNya dan keredhaanNya ke atas arwah dan menempatkannya di tempat orang-orang soleh.