CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, August 31, 2004

17 Ogos 2004

Mulai semalam, 16 Ogos 2004, kuliah sarjana kembali berjalan seperti biasa. Aku melangkah kaki pergi dewan kuliah dengan keceriaan dan keazaman yang tinggi, biarpun basah bermandikan hujan yang begitu lebat di pertengahan jalan. Aku ingin memulihkan semangat belajarku kembali. Setelah seminggu tidak melihat muka-muka rakan-rakan sekelas yang kebanyakannya lepasan Timur Tengah, yang berilmu lebih tinggi dari aku, aku ingin mendengar segala pandangan-pandangan mereka, yang bisa membangkitkan semangat aku yang terlena bersama cuti yang sepi.

Hari ini, semangat kembali berkobar. Kata-kata prof. membangkitkan keazaman yang tinggi untuk terus berjuang dengan bidang ilmu yang telah aku pilih ini. Ihdinas siratol mustaqim. Jalan lurus yang bagaimana? Jalan lurus itu adalah yang telah dilalui oleh para rasul, nabi2, muqarrabin, solihin. Nah, mereka ini menempuh pelbagai onak dan duri pada jalan yang lurus tersebut!

Setiap hari, berdoa memohon agar Allah menunjukkan kita ke jalan yang lurus. Tapi, kita sering berputus asa, sering menangguh kerja, sering mengeluh, sering mementingkan diri sendiri untuk menjaga periuk nasi, sedang Islam hanya sekadar nama. Para rasul, nabi2, muqarrabin, solihin sanggup hilang pangkat, harta, dipenjara, disiksa, malah dibunuh demi mempertahankan Islam. Sedang kita begitu takut didatangi ujian sedemikian. Siapa kita yang mengaku sebagi umat Islam ni? Malunya aku…

Dalam dewan peperiksaan, masa menjawab bagi sesuatu ujian telah diperuntukkan dan kita tahu sebanyak mana telah digunakan dan sebanyak mana yang masih berbaki. Tapi, sedarkah kita? Ujian yang sedang kita duduki kini, dalam dewan dunia, tidak kita ketahui masa penamatnya iaitu tatkala ‘Izra’il mencabut nyawa. Kalau gagal UPSR, PMR, SPM, boleh diulang, boleh disemak semula. Tapi, kalau gagal ujian di dunia ini, di akhirat kelak sudah tiada ulangannya. Yang ada hanyalah TAHNIAh atau TAKZIAH.

Beramallah dengan ikhlas, JANGAN TANGGUH lagi. Kerana hari ini belum tentu penamatnya milik kita. Dan esok belum pasti kita masih di alam dunia.

Sunday, August 15, 2004

14 Ogos 2004

Kebiasaan aku ketika keseorangan di rumah ni, masuk je rumah, aku terus melepak kat tingkat atas. Kalau turun bawah pun, sekadar untuk ambil air masak. Dan dalam minggu ni, cuma sekali je aku masak. Tu pun, lauk sardin je. Masak ape yang ada. Malas dah nak keluar, beli lauk. Aku habiskan masa lepak dalam bilik. Membelek buku kuliah, mendengar radio. Alaahh.. berapa lama la sangat aku ade kat rumahnye. Sekadar untuk tidur dan berehat seketika sebelum keluar kembali menjalankan tanggungjawab lain.

Pagi tadi, aku rasa terancam. Terancam dengan keselamatan aku tinggal bersendirian di rumah. Pukul 8.30 pagi, aku turun ke bawah untuk keluar memenuhi tuntutan untuk menghadiri program bawah TASKI. Kat tangga aku dah rasa pelik, kenapa depan pintu rumah cahaya terang? Sampai je bawah. Berderau darah aku. Jantung berdetak hebat. Cemas menguasai perasaan. Pintu rumah terbuka luas!!!

Siapa yang buka? Orang? Angin? (malam tadi hujan) Aku cek tombol pintu. Berkunci. Entah sejak bila pintu rumah tu terbuka. Yang pastinya, pukul 10.30 malam tadi, pintu tu masih tertutup. Pantas aku cek seluruh rumah dalam keadaan berdebar-debar. Manalah tahu, kalau ade orang masuk, menyorok kat mana-mana. Mujur rumah aku ade gril. Gril masih berada dalam keadaan yang baik. Tiada tanda-tanda cuba dicerobohi.

Seharian, pelbagai persoalan menerjah benak fikiranku. Sejak bila pintu tu terbuka? Aku tak selak rapat ke, sampai pintu tu boleh terbuka sendiri? Angin kuat ke malam tadi, hingga meniup pintu sampai terbuka luas? Aku tak guna pintu tu. Aku guna sliding door. Bila aku tak tutup pintu tu rapat2? Ke budak-budak yang mengaji kat rumah aku yang main pintu tanpa aku sedari?

Meremang juga bulu roma bila memikirkan keselamatan aku ketika berseorangan. Terbaca pula surat khabar tentang rompakan yang berlaku pada wanita bujang yang kaya. Dahsyat orang-orang sekarang ni. Buat rompakan secara terang terangan.

Moga aku dilindungi dari terjebak dalam perkara yang tidak diingini. Aku berlindung padaMu ya Allah. Sesungguhnya aku hanyalah hambaMu yang lemah.

13 Ogos 2004

21 Ogos 2004 ni, ada Anugerah Pilihan Utama Nasyid anjuran IKIM.FM di Dewan Utama Pusat Islam, Kuala Lumpur. Kalau tak tempah lagi tiket, boleh dapatkan tiket di meja terbuka pada 18 dan 19 Ogos depan, di hadapan pintu masuk Dewan Utama Pusat Islam. Siaran langsung boleh didengar melalui IKIM.FM. Haa… ni promosi percuma untuk IKIM.FM dan kumpulan-kumpulan nasyid tempatan. Aku sendiri tak pergi pun. Entah sempat, entah tidak nak mendengar siaran langsung. Sebab, masa tu, aku ada kat Johor Bahru, mengikuti satu program TASKI.

Kalau sebelum ni, radio Era ada buat Anugerah Era. Sekarang, satu langkah permulaan yang baik dilakukan oleh IKIM.FM untuk mengetengahkan lagi irama nasyid ke dalam masyarakat Malaysia. Bagi aku, usaha ini perlu dilihat secara positif. Irama nasyid yang telah diketengahkan, aku anggap ia sebagai satu hiburan alternatif. Walaupun mungkin ada golongan yang tidak bersetuju. Takpe la… setiap orang ada pandangan masing-masing.

Aku suka lagu yang ada mesej yang berguna, sesuai dengan melodinya dan suara si penyampai. Dalam industri nasyid kontemporari, aku lihat dah terdapat pelbagai jenis melodi yang diketengahkan bersesuaian dengan pelbagai jenis manusia yang mendengarnya. Mesej yang berguna tetap menjadi perkara utama yang dititik beratkan dalam lagu nasyid.

Kalau ada yang mengatakan… “huh… nasyid sekarang ni sama je, tetap melalaikan” Bagi aku, mesej dakwah yang dibawa dalam nasyid telah memberi sumbangan yang banyak dalam Islam. Cuma, manusia tu ada banyak kelemahan. So, apa jua cara yang manusia lakukan pasti ada kelemahan. Yang sempurna hanya ketetapan syariah Allah sahaja. Kerana itu, dalam Islam ada sistem ijtihad, ijma’ ulama’ yang mana memberi kelonggaran kepada umat Islam merubah sesuatu cara mengikut kesesuaian. Islam juga menegaskan perlunya pengawasan terhadap sesuatu perkara agar tidak melanggar syariah Allah.

Urghh… aku ni, melalut entah ke mana. Apapun, setiap usaha untuk memartabatkan Islam perlu dilihat dari sudut positif dan diambil peluang dengan baik oleh setiap umat Islam.

12 Ogos 2004

SELAMAT HARI LAHIR YANG KE – 47

Honey doakan kehidupan mak sentiasa diredhai Allah di dunia mahupun di akhirat. Terima kasih mak, atas segala kepayahan dan penat lelah dalam mendidik honey dan adik-adik. Telah 47 tahun emak dikurniakan usia oleh Allah. Sepanjang hayat mak, pelbagai halangan dan dugaan yang telah emak harungi. Segala suka duka kehidupan telah emak ketahui hitam putihnya.

Kesabaran mak, kegigihan mak, ketabahan mak, kekuatan mak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan honey. Honey, anak mak yang terlalu banyak kekurangan ini, amat berbangga memiliki seorang ibu seperti mak. Keupayaan mak mengharungi 47 tahun kehidupan, menjadi pendorong, sumber inspirasi honey.

Doa honey, kebahagian melingkari kehidupan mak, semalam, hari ini, dan selamanya. Ketahuilah mak, anak mak ini terlalu muda untuk mengerti liku kehidupan ini. Usia yang telah honey lalui dan akan lalui tak pernah terjangkau oleh fikiran. Usahlah mak simpan segala kesakitan yang pernah honey bawa ke dalam hati mak. Maafkan honey yang telah membawa suka duka dalam kehidupan mak. Usah mak putus menasihati, membimbing, menegur honey, kerana diri masih terlalu mentah. Dan setiap saat kehidupan honey amat memerlukan bimbingan dan didikan.

SELAMAT HARI LAHIR YANG KE – 47, MAK. MOGA HIDUPMU SENTIASA DILIMPAHI RAHMAT DAN REDHA ALLAH.

11 Ogos 2004

Sepi… sunyi… kosong… bisa membunuh. Erk… kenapa sampai macam tu? Minggu ni, adik aku yang tinggal bersama aku di Shah Alam ni, bercuti di kampung sempena cuti pertengahan semester. Tinggallah aku keseorangan di rumah teres dua tingkat ni. Balik mengajar keseorangan, malam juga keseorangan. Hanya bunyian dari radio menjadi peneman tanpa rakan serumah, tanpa mak dan ayah, tanpa keriuhan adik-adik.

Kesunyian ini membunuh semangatku untuk menyiapkan assignment, membunuh selera aku untuk bersantap memenuhkan perutku yang semakin diisi angin, membunuh kerajinan aku untuk memasak, membunuh keceriaan hidup seharianku. Yang tinggal adalah perasaan kosong, tanpa semangat, tanpa kekuatan. Kekalutan ini menyebabkan aku lebih banyak menghabiskan masa dengan membuta. Sedang tugas yang menanti menuntut aku mengorbankan segala tekanan.

Arghh… aku tak boleh terus begini. Semangat mak dan ayah patut bersamaku sentiasa. Kecerian adik-adik mesti terus terngiang di benakku. Jadikan potret bagi mengembalikan kekuatan. Yaaa… aku tak boleh selemah ini, menyerah pada kekalutan jiwa. Ingatkan harapan mak dan ayah. Kenangkan kehidupan adik-adik. Huh… takkan aku mengorbankan segala harapan keluarga. Tidak sekali-kali, tidak.

Di sebalik hidupku, di situ keluarga menjadi pemangkin. Di sebalik keteguhan seorang ibu, ada anak-anak menjadi kekuatan. Di sebalik kejayaan anak-anak, ada ibubapa sebagai pendorong. Di sebalik kehidupan seorang suami @ isteri, ada isteri @ suami menjadi tunjang kekuatan. Di sebalik kehidupan kita semua, ada insan yang menjadi sumber inspirasi. Siapa kata manusia boleh hidup berseorangan. Malah, kerana keseorangan, manusia menjadi hilang akal, hilang pertimbangan.

10 Ogos 2004

Ape ada pada sebuah perkahwinan? Huh… Soalan ape tu? Pastinya perkahwinan merupakan satu perubahan peringkat kehidupan yang begitu besar bagi setiap orang yang menempuhinya. Perkahwinan merupakan proses keserasian dua pihak yang mempunyai perbezaan yang begitu ketara.

Bagi yang dapat menyesuaikan diri, perkahwinan merupakan satu rahmat. Ia memberi ketenangan jiwa, kestabilan emosi dan spiritual. Malah, ia boleh meningkatkan keimanan seseorang. Lebih besar lagi mendekatkan diri dengan ganjaran syurga dari Allah. Sepertimana yang Allah janjikan kepada setiap perempuan yang mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dan suami redha kepadanya. Haa… kan mudah tu. Tapi, mudah dikatakan, tak semestinya mudah dilaksanakan kalau si suami pun tak menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh Allah.

Tak kurang juga mereka yang merasakan perkahwinan itu menyusahkan. Membanyakkan kerja. Memeningkan kepala. Memberatkan tanggungjawab. Dan lebih teruk perkahwinan menjadi punca permusuhan manusia. Kenapa ini berlaku? Haa… tu kena tanya diri orang yang melalui keadaan sedemikian. Adakah mereka mengikut atau melalui jalan-jalan yang baik dalam menempuhi gerbang perkahwinan atau sebaliknya? Jawapannya pasti ada kena mengena dengan kehidupan yang ditempuhi.

Hmm… aku sekadar mengulas apa yang aku nampak dengan kaca mata aku. Bukan yang aku tempuhi. Maklum le, orang bujang tak boleh le nak cakap banyak-banyak pasal bab kahwin ni. Kenapa tetiba aku sentuh bab kahwin ni? Dah nak kahwin sangat ke aku ni? Erk… calon pun takde lagi, jangan nak berangan panjang-panjang.

Sebenarnya, pada hari konvokesyen yang lepas, aku jumpa ramai kawan-kawan yang telah melangsungkan perkahwinan dan akan melangsungkan perkahwinan. Tak dinafikan juga masih ramai yang single seperti aku. Aku tumpang gembira dengan kebahagian mereka. Itu jalan hidup yang mereka pilih. Jodoh mereka telah tiba.

Sekurang-kurangnya dengan perkahwinan, mereka telah menambahkan pahala kerana mengikuti sunnah Rasulullah. Juga menghubungkan tali silaturrahim dua pihak yang sebelum ini tidak pernah kenal mengenali antara satu sama lain. Wahh… besar pahalanya tu. Tu bukan kurang dah tu. Dah banyak yang mereka perolehi.

Aku? Erk… ada juga ke soalan tu? Entah le. Soalan yang paling biasa didengari bila berpapasan dengan kawan-kawan ialah, “eh, honey dah kahwin kan?” “bila nak bagi kad jemputan?” “bila nak kahwin?”. Erk… bila masa pulak aku kahwin? Buat masa sekarang, aku tak nampak langsung sinar-sinar perkahwinan di depan aku. Aku tak cari calon ke? Entah la… Aku takut, aku khuatir, aku gentar untuk menaruh perasaan dan harapan pada sesiapa. Aku takut kalau aku berkenan kat seseorang, tetiba mak dan ayah tak suka. Aku khuatir kalau aku menaruh harapan, aku kelak dikecewakan. Aku gentar kerana aku sedar diri aku terlalu banyak kekurangan.

Biarlah… biarlah masa yang menentukan. Aku telah ada perancangan hidupku buat masa ini. Dan aku akan terus berusaha merealisasikan segala perancangan ini. Cabaran di hadapan belum aku ketahui sebesar mana. Kekuatan yang aku ada kini, belum tentu mampu kupertahankan. Justeru, biar aku terus mencari dan menggapai kekuatan untuk diri sendiri sebelum aku berkongsi kekuatan ini dengan insan lain…

Buat teman-teman yang telah dan akan melangsungkan perkahwinan. Setinggi-tinggi tahniah aku ucapkan. Moga kalian berbahagia hingga ke akhir hayat dan dikurniakan zuriat yang comel dan diredhai Allah. Jalankanlah tanggungjawab berlandaskan syari’at Allah, InsyaAllah kebahagian menjadi milik kalian.

Sunday, August 08, 2004

Soalan...

Mak pernah tanya aku satu soalan. Macam mane kehidupan sekarang di rumah Shah Alam, berbanding masa belajar first degree dulu, duduk kat hostel?

Aku tak boleh nak jawab. Sebab aku rasa memang amat berbeza. Kehidupan aku dahulu dan kini adalah sesuatu yang amat berbeza. Dulu aku belajar dan sibuk memikirkan aktiviti di kampus tanpa mempedulikan tanggungjawab lain. Hidup aku hanya berkitar di dalam kampus. Tak memikirkan soal duit. Kegembiraan terasa bila join project. Berkawan dengan ramai orang. Pergi kuliah. Takde duit minta kat mak. Masa tu, tak fikir sangat mak dengan ayah ade duit ke tak.

Sekarang. Aku tak peduli langsung dengan projek-projek kat universiti. Yang aku tahu, pergi kerja, balik, pergi kuliah, study, cari peluang tambah pendapatan. Bukan nak kaya, tapi untuk sara hidup. Pergaulan semakin luas dengan orang-orang yang sudah berumah tangga. Masalah mereka dapat didengar dan diambil pengajaran. Tapi, aku tak le sibuk sibuk tolong diorang selesaikan masalah. Tak pasal2 kang aku pulak yang bermasalah dengan diorang.

Aku dapat rasakan perubahan kehidupan. Dari satu peringkat ke peringkat yang lain. Mak pun, seakan mendidik aku agar tidak bergantung pada mak. Duit gaji aku tak masuk lagi, nak pinjam duit mak. Mak tegur, katanya jangan buat macam tu, nanti terbiasa. Maknanya, aku tak boleh melakukan sesuatu selagi belum ada dalam kemampuanku. Walaupun, mungkin benda kecil, dan nak pinjam cuma 20, 30 ringgit, impaknya akan jadi besar kalau terdidik asyik nak meminjam aje. Hiduplah secara sederhana.

Di sebalik kejayaanku


mak dan ayah yang tidak jemu-jemu mencurah keringat demi kejayaanku... Posted by Hello


Siapa? Siapa? Siapa yang berada di belakang kejayaan seorang anak kalau tidak kedua ibubapa mereka? Yang memarahi aku, yang menghalang aku, yang mempertikaikan keputusan aku, yang mendorong aku, yang tidak pernah mengeluh dengan segala permintaanku, siapa mereka? Tak akan aku lupakan segala pengorbanan kedua ibubapaku. Dorongan juga larangan mereka untuk kejayaanku dunia dan akhirat. Tentangan dan semangat yang mereka berikan untuk menyelamatkan aku dari kelalaian dunia. Siapapun mereka, aku tetap berbangga memperolehi mak dan ayah seperti keduanya.

Saturday, August 07, 2004

Apesal?

Kenapa dengan entry aku yg sebelum ni? Apesal tulisannya jadi kecik semacam jer? Aku sendiri naik pening kepala membacanya. Nak mengogeh sana sini, kepala aku yang semakin memberat ni tak mengizinkan aku meneruskan percubaan untuk membaikinya. Biarkan je la...

Adik Abrar tanya, sama ada aku suka kanak-kanak atau tak? Jawapannya, kalau tak suka, takleh ler akak kerja sebagai guru tadika, dik oi. Tapi, bagus Abrar. Tak ramai yang pandai bergaul dengan kanak-kanak yang special. Akak sendiri pun tak pandai. Kalau adik Abrar suka melayan kanak-kanak tersebut, memang Abrar memiliki sifat penyayang dan penyabar. Akak sendiri tak sesabar mana. Tapi, takler sampai menelan bebudak tadika tu.

Aku suka cubit pipi budak-budak tu kalau diorang tak dengar cakap. Geram... Geram sangat. Masa kita mengajar, dia melopong, fikiran entah ke mana. Bila disoal, tak tahu apa-apa. Memang aku kena belajar banyak teknik untuk menjadikan budak-budak suka belajar. Masa ajar matematik, aku suka tinggikan suara. Kengkadang bukan marah. Saje, suka menengok tangan budak-budak tu menggigil sambil mengira. Ade yang dah sampai bergenang air mata. Tapi control, takut lagi kena jerkah. Heeee... ;-D garang jugak aku ni. Garang-garang aku pun, ade tempatnya.

Di samping mengajar kat TASKI pada waktu pagi, aku pun mengajar mengaji kat rumah dan kat TASKI pada waktu malam, di samping ajar tution kat rumah orang. Nak makan, kena la pandai cari sumber.

Ade ketikanya, aku rasa keletihan menguasai diri. Terutama kalau hujung minggu aku penuh dengan bengkel @ seminar. Terutama kalau aku tak dapat buat presentation untuk kelas master dengan baik. Kali kedua aku buat presentation 4 Ogos yang lepas. Frust betul aku, bila hasil kerja aku tak dapat dibuat dengan baik. Banyak kekurangannya.

Kebetulan Sabtu dan Ahad lepas aku ade bengkel Aritmetik anjuran TASKI. So, masa untuk aku study di hujung minggu takde. Aku hanya dapat gunakan waktu malam aku yang dah kurang kualitinya untuk study. Alamatnya, persediaan memang kurang. Aku sendiri rasa tak bersedia untuk buat pembentangan. Tapi, aku fikir. Kalau ditangguhkan, ade tiga kerja kerja lagi kena bentang. Lagi le akan menyesakkan kehidupan aku. Takpe la... Kalau kena komen, untuk the real kertas kerja, buat le yang terbaik. Ambil perhatian terhadap segala komentar.

Akhirnya, segala kepahitan terpaksa aku telan. Dan akan aku usahakan yang lebih baik pada masa akan datang. Ini semua pengajaran buat aku.

Terima kasih buat Pak Wattan dengan kata-kata semangat :

"A'kum, buat honey, jangan patah semangat. saya percaya awak boleh buat... insaallah. saya doakan awak berjaya di dunia dan di akhirat. jangan buat kerja separuh jalan teruskan perjuangan mencari ilmu... "

aik...??? sape yang grade ni? Posted by Hello

Balik kampung...
Tahniah buat diri sendiri... Posted by Hello



Gembira... gembira yang tidak terhingga. Setelah lebih sebulan aku diperantauan, merindui suka duka di rumah Kota Bharu, akhirnya, hari ini dapat aku melepak kat KB. Mendengar celoteh si adik kecil. Menadah telinga mendengar kutukan dan pujian adik-adik. Seperti membangkitkan semula keceriaan diri ini. Keriuhan kembali menjadi halwa telinga aku, biarpun sekadar dua hari cuma. Jauh dari memikirkan soal kerja, soal belajar yang menuntut bukan sedikit penggorbanan. Aku ingin berehat seketika. Seketika cuma untuk fresh kan kembali semangat dan kekuatan aku.

Alhamdulillah, aku dah selamat naik pentas terima skrol yang berisi kosong. Tak cukup pipi aku nak melebarkan senyuman. Rasa tak puas jalan naik pentas yang tak sampai pun seminit berbanding berjam-jam menanti nama diumumkan. Lenguh segala bahu, tengkuk dok control supaya jubah dan topi berada dalam keadaan baik. Takpe, aku doakan dan aku akan terus berusaha untuk naik lagi pentas di DTC tu 2 tahun lagi. InsyaAllah. Doakan aku.

Tengok le gambar aku kat atas tu. Kosong je tangan. Takde yang bagi barang sekuntum bunga kat aku. Yang janji nak bagi pun tak nampak muka pada hari berkenaan. Takpe la. Balasan untuk aku, sebab meminta. Heeee... yang tak minta, tu le yang dapat :-D Ape pun, aku amat terharu, dan amat gembira dengan kehadiran mak. Aku tahu, mak serba salah. Mak terikat dengan kerja. Tapi, mak berusaha juga untuk menggembirakan hati aku. Adakah aku anak yang pentingkan diri sendiri? Mak dalam sakit2 pun, berusaha datang. Terima kasih mak. Kehadiran mak begitu dan amat bermakna buat honey.

Moga, ape yang telah aku lalui dan aku terima dapat memberi pengajaran dan contoh buat adik-adik. Adik-adik, tiada sesuatu yang dapat kita perolehi di dunia ini, mahupun di akhirat kelak tanpa usaha. Sesukar manapun liku yang ditempuhi, pasti akan membuahkan hasil yang tak kita jangka, dengan syarat, letakkan Allah dalam dirimu, dik.