CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, October 09, 2014

Kembara Ibadah & Inspirasi 3

Allaahu Akbar Allaahu Akbar Allaahu Akbar
Laailaaha illallaahu wallaahu Akbar
Allaahu Akbar walillahilhamd

Hari 3


Hari akhir kami di Kemboja. Seperti tidak puas menyingkapi kehidupan masyarakat Islam Kemboja, yang hanya 2.9% dari keseluruhan penduduk kemboja yang berjumlah 14juta orang.

Walaupun penat, namun kegembiraan di hati melebihi daripada lawatan ke tempat-tempat bersejarah. Keindahan ukhuwah yg ibarat ayam dan itik ini melekat di lubuk hati. Kerana ia disatukan dengan aqidah Islam.

Jadual pagi ini bermula jam 8.30pg. Agak lewat kerana tidak mahu bersesak dengan masyarakat temnpatan yang bergegas ke tempat kerja. Perut berkeroncong meminta untuk diisi. Saya sarankan suami pergi berjalan kaki di deretan kedai, blok tempat penginapan kami, mencari paket2 biskut halal.

Dia keluar dr bilik penginapan dan mengambil masa yang lama. Hati rasa cuak. Dia hanya ber t-shirt dan kain pelikat, tanpa membawa passport bersama. Namun, saya pujuk dan doa agar Allah pelihara suami saya. Apa2 jua yang berlaku, adalah dalam aturan qada' dan qadar Allah. Pasti yang terbaik buat hambaNya. Saya sudah berkira2, bila masa yg sesuai untuk saya memberitahu ustaz Ishak. Tatkala saya memberi salam pertama solat sunat Dhuha, pintu bilik diketuk dan kedengaran suara suami saya. Alhamdulillah... Leganya terasa. Darah yg tadi rasa bergerak perlahan, menyesakkan, kini terasa laju dan mampu menceriakan wajah :) Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah...

Rupa-rupanya, dia pergi bersama ustaz Hamzah (rakan sekampung ustaz Ishak), menaiki tut tut, pergi membeli nasi goreng di restoran halal yg kami pergi ketika mula-mula sampai di Phnom Penh. Katanya, orang ramai memenuhi kedai tersebut. Sebab tu lambat.

Banyak nasi gorengnya, walaupun bekas polisterinnya kecil sahaja ^_^ Silap buka, memang melimpah tumpah. Bekas makanan di sini memang kecil. Pinggan nasi pun kecil. Sekecil pinggan lauk sahaja. Sebab tu orang-orangnya kecil. Tiada yg berbadan besar. Agaknya lah ^_^

Selepas sarapan, kami dibawa ke Central Market. Di sini banyak dijual cenderahati, baju, permata beg dsb. Tiada makanan basah dijual di sini. Maka, persekitarannya bersih. Kalau ada jual makanan pun, sekadar air minuman dlm tin, buah kelapa, kacang rebus dan ulat goreng ^_^

Abaikan Aqilah yang macam-macam ^_^ Rosak gambar.

Cenderahati yang Aqilah bawa pulang ^_^

Destinasi seterusnya, dan saya kira destinasi wajib untuk para pelancong @ pelawat bandar Phnom Penh, iaitu Tuol Sleng Genocide Museum. Bangunan muzium ini asalnya adalah sebuah sekolah. Apabila Khmer Rouge memerintah, sekolah ini ditukar menjadi penjara yang mengerikan.

Terpenjara. Tak boleh keluar.

Sungguh. Untuk bercerita di ruangan ini, memang tidak tercerita. Namun, sejak awal memasuki bilik pertama soal siasat dijalankan, saya rasa sudah tidak mampu tersenyum ikhlas. Gambar2 kekejaman yg dipamerkan sungguh membuatkan hati cukup meluat. Bagaimana boleh wujud manusia sekejam itu? Malah, saat menulis ayat ini, hati rasa berat. Rasa bengang dengan kekejaman manusia yang tidak layak disebut sebagai manusia.

Antara kekejaman yg dilakukan oleh Khmer Rouge.

2.5 juta rakyat dibunuh. Ada yang didera dengan deraan tidak masuk akal. Disembelih. Tidak kira tua atau muda, Lelaki atau wanita. Bayi dicampak lalu ditembak, ada juga yg dihentam ke batang pokok kelapa hingga mati. Tahanan dicabut kuku, diselam dalam air, digerudi kepala, dipukul hingga berdarah dan disapu air garam pada tempat luka. Masha Allah. Rakyat semua dikerah tenaga. Dari usia 4 tahun kena bekerja. Makanan yang diberi setiap kali waktu makan hanya bubur nasi, yg nasinya hanya 3biji semangkuk. Tak terbayang kekejaman yang berlaku saat itu.

Saya kira, seksaan ini masih wujud pada masa kini. Namun, ia mungkin hanya dilakukan pada pesalah2 atau secara tertutup. Dan mungkin jumlahnya tidaklah mencecah angka ribu. Walau apapun, ia memang sangat bertentangan dengan Islam, agama rahmat untuk seluruh alam. Allah...


Bergambar kenangan bersama mangsa kekejaman yang terselamat. Cenderahati buku itu adalah yang paling berharga untuk dibawa pulang.

Kemboja berada di bawah pemerintahan Pol Pot dan geng2nya selama 3 tahun 8 bulan. 3 tahun 8 bulan itu dirasakan begitu lama oleh penduduk Kemboja. Namun, kesannya hingga ke hari ini. Politik, pentadbiran, kehidupan masyarakat, pembangunan negara, pendidikan dan ekonomi yang baik agak sukar dilihat di Kemboja. Rasuah berleluasa.

Aturan Allah pasti yang terbaik buat hamba-hambaNya. Meskipun ada umat Islam Kemboja yang tergadai aqidah dek kerana peperangan, namun, yang kekal mempertahankan aqidah sungguh hebat. Ibu ustaz Ishak sanggup memilih kehidupan susah, bagi mempertahankan aqidah. Akhirnya, dengan kesabarannya, beliau dapat hidup harmoni dan berada dalam persekitaran ilmu di usia tua.

Dan situasi ini sebenarnya membuka peluang kepada umat Islam membuat amal kebajikan. Menambah harta akhirat. Allahu Akbar! Dia menjaga agama Islam. Islam pasti gemilang.

Kesempatan waktu kami di muzium ini sekejap sahaja. Kami perlu bergegas ke rumah kakak ustaz Ishak di Prek Pra, untuk makan tengahari, seterusnya ke airport untuk urusan penerbangan pulang ke Malaysia. Di tengah perjalanan ke rumah ini, sedikit debaran singgah di hati. Jalan ditutup. Ada demonstrasi supaya kerajaan menghalau rakyat Vietnam yang ramai di Kemboja. Kedengaran suara ustaz Ishak kadang2 cemas ketika bercakap dengan driver van.

Perasaan cemas ini kerana kami terikat dengan jadual penerbangan pulang ke Malaysia. Ketika itu pula, hujan renyai2 membasahi bumi. Ia sesuatu yang merungsingkan. Bandar Phnom Penh akan banjir dan perlu diredah dengan perahu, seandainya hujan lebat dalam masa lebih kurang setengah jam sahaja. Hal ini akan melambatkan perjalanan ke airport. Di airport pula, kami perlu check in semula, walaupun tiket telah di print sejak di Malaysia lagi. Mereka tidak menerima tiket yang telah dicetak atas kertas A4. Tentunya proses2 ini memerlukan kami segera berada di airport.

Alhamdulillah... Walaupun keadaan jalan dan cuaca yang mencemaskan, kami tiba di airport seperti masa yang dijadualkan.

Berbalik pada rumah kakak ustaz Ishak, ia merupakan rumah yang agak selesa berbanding rumah2 yang kami ziarahi sebelum ini. Namun, ia bukan la berada di kawasan taman perumahan, jauh sekali kawasan rumah mewah. Ia asalnya rumah papan tinggi seperti rumah2 kampung lain. Setelah meningkat usia dan ada sedikit duit, tuan rumah membina rumah batu di bawah rumah papan yang tinggi tadi. Dengan kemudahan air paip, masak dengan menggunakan dapur gas, dan kondisi rumah yang ber'tiles', menunjukkan kehidupan dan pendidikan yang lebih baik. Alhamdulillah...

Makan tengahari kami juga dihidangkan dengan sup ikan. Saya tidak pasti, apakah sup ikan satu kemestian dalam hidangan makan tengahari @ malam ^_^ Apapun, sup ikan yang dihidangkan oleh mana2 tuan rumah, pastinya sedap, walau berbeza resipi. Ikan dan supnya tidak hanyir.

Selesai menunaikan jama' taqdim solat Zohor dan Asar, kami bersegera menuju ke airport. Kemesraan tanpa kata warga Kemboja berbekas di hati. Andai mereka pandai berbahasa Melayu, walau sepatah dua kata, mereka berusaha bercakap dengan kami. Senyuman ikhlas menghiasi bibir, mengiringi pengakhiran ziarah kami. Keindahan ukhuwah itu masih terasa ketika nota ini ditulis :)

Dalam perjalanan ke airport, kami melalui sebatang jalan bertol seperti lebuhraya di Malaysia. Sepanjang jalan itu, van kami dipenuhi dengan gelak tawa kerana berasa lucu dengan jalan bertol yang tidak langsung boleh disebut lebuhraya. Di kiri kanan 'lebuhraya' dipenuhi deretan kedai dan penempatan penduduk. Jalannya berlopak, tidak siap dan tidak terurus. Duit dikutip dahulu, kononnya untuk menyiapkan lebuhraya yang tak siap2 walaupun telah melebihi 5tahun tol dikutip. Kasihan rakyat...

Keadaan jalan bertol

Kedai di kiri kanan jalan :)

Kualiti jalan


Moga Kemboja menjadi lebih baik dalam masa 10-20 tahun akan datang. Walaupun akal saya tak dapat bayangkan, bagaimana perubahan itu boleh berlaku dengan rasuah dan korupsi yang berleluasa. Pasti Allah mengaturkan sesuatu yang terbaik buat hamba-hambaNya :)

Sempat Aqilah merasa naik tut tut, pusing sekitar kawasan parking airport ^_^

Lepak2 cari idea ^_^

Pesawat kami tiba di Malaysia, jam 7.50mlm. Alhamdulillah...

Di KLIA2, ahli rombongan yang baru berkenalan, berpisah kerana Allah. Ukhuwah yang baru terjalin didoakan moga berkekalan. Ruangan fb, whatsapp dan pelbagai teknologi terkini membolehkan ukhuwah ini terus terjalin.

Saat masa menginjak ke hari seterusnya, saya rasa bagai masih berada di Kemboja. Saya rasakan pengguna jalanraya di Malaysia sangat sopan. Melalui LPT untuk balik ke Jerteh, membuatkan saya sungguh bersyukur dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia.

Allah ya Rahman ya Rahim... Semua aturan Dia. Maka, nikmat apakah lagi yang saya dustakan? Sungguh saya menzalimi diri sendiri.

Kembara Ibadah & Inspirasi 2

Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahuakbar
Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahuakbar
Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahuakbar

Hari 2


Hari kedua kami di Kemboja disambut dengan suara azan berkumandang memecah Subuh hari dari kampung Joro yang bertentangan dengan tempat penginapan kami. Tiada kata dapat menggambarkan betapa syahdu dan terasa izzah Islam di negara bukan Islam ini. Subhanallah! Allahu Akbar! Indah sungguh!



Tepat jam 5.30pg waktu tempatan, kami bertolak ke kampung Beng Thmey di negeri Tboung Khmum. Jarak perjalanan, lebih kurang 50km dari bandar Kampong Champ. Walaupun tiada jalan tanah merah, namun keadaan jalan berlubang-lubang sekali sekala memanjangkan tempoh perjalanan. Bekalan biskut yang kebetulan ada, dijadikan sarapan pengalas perut sementara makan sarapan yang sebenar :)

Aqilah berpisah dari kami. Dia ingin bersama teman barunya di van berasingan. Takpe la. Tempat tuju yang sama. Doa saya, moga Allah pelihara dia :)

Kami sampai di kampung Ustaz Habib, kampung Beng Thmey, lebih kurang jam 7.10pg. Ahli rombongan lelaki bergeas ke masjid. Saya bertanya pada ustaz Ishak, kenapa perempuan tidak pergi menunaikan solat raya? Kata ustaz, masjidnya kecil. Tak muat. Dan nyata memang kecil, tinggi dan usang seperti rumah2 kampung sahaja. Malah suami saya risau masjid runtuh ^_^




Alhamdulillah, masjid baru sedang dalam pembinaan, jauh lebih besar dan selesa, InshaAllah. Menurut suami, apabila sampai di masjid, rombongan kami rupanya sedang ditunggu-tunggu. Dijemput naik ke atas masjid ke arah soff pertama. Sedangkan ramai penduduk tempatan yang hanya mendapat tempat duduk di kawasan masjid. Ustaz Jabbar (Imam Muda musim 2) yang bersama rombongan kami diberi penghormatan menjadi imam solat AidilAdha.

Bandingan masjid lama dan masjid baru :)

Subhanallah... Indahnya ukhuwwah Islam. Meraikan tetamu. Walaupun tak faham percakapan, sepatah haram pun, tetamu tetap dijemput, diraikan dengan wajah yang manis. Sungguh. Sungguh indah akhlak Islam.

Manakala, kami yang perempuan dihidangkan dengan sarapan bubur ayam. Alhamdulillah. Sedap. Tak perlu masuk Maggi Cukup Rasa. Guna bahan2 sekitar rumah sahaja. Namun, sedapnya membolehkan Aqilah yang cerewet itu makan bubur habis semangkuk. Alhamdulillah :)

Terasa bahawa Allah memudahkan perjalanan kami. Sebelum memulakan kembara ke Kemboja ini, saya agak risau dengan kerenah Aqilah. Sukar makan makanan yang tidak biasa dia makan. Walaupun bagi kita sedap, dia tetap mahukan nasi dan kicap sahaja. Saya pula benar2 lupa untuk bawa bekalan kicap. Subhanallah. Aturan Allah indah. Dia yang memberi selera kepada manusia. Dia yang memberi rasa kepada manusia. Dia yang membuatkan Aqilah makan tanpa banyak kerenah. Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah..

Sambil menunggu pria2 selesai menunaikan solat sunat hari raya, kami bermesra dengan penduduk di situ yg kebetulannya ada yg pandai berbahasa Melayu. Rokias adik ipar ustaz Habib, pernah bekerja di Malaysia hampir 10 tahun. Katanya, dia nak pergi bekerja di Malaysia lagi :) Menurut Rokias, orang kampung Beng Thmey mengusahakan tanaman ubi. Kemudian dijual ke kilang2 milik orang Vietnam, berhampiran kampung tersebut. Berdasarkan maklumat dari ustaz Ishak, ubi-ubi tersebut tidak boleh dimakan. Ia memabukkan. Ubi ini adalah untuk diproses menjadi sabun, kanji dsb.

Penduduk di kawasan pedalaman kampung pula mengusahakan tanaman padi. Saya ada bertanya us Ishak, orang di kampung Beng Thmey dan di kampung us Ishak sendiri, di negeri Kampot, mana lebih miskin? Kata ustaz, penduduk kampung Beng Thmey lebih baik sedikit kehidupan mereka berbanding di Kampot, kerana mereka memilik tanah untuk bercucuk tanam. Sedangkan penduduk di Kampot pula, sekiranya memilik tanah, ia adalah di mana rumah merka didirikan. Pekerjaan mereka adalah bekerja dengan nelayan lain, menangkap hasil laut.

Bagi mereka yang biasa menjelajah, berjalan mempelajari peradaban manusia di Kemboja ini, pasti melihat kemiskinan dan kesusahan yang berbeza di pelbagai tempat di Kemboja.

Sementara jejaka2 dalam rombongan kami makan sarapan, kanak2 kecil dan yg meningkat remaja, berbaju cantik di pagi raya, memenuhi ruangan depan rumah yg kami singgah. Dalam hati kecil saya tertanya-tanya kenapa mereka berkumpul di sini? Adakah untuk melihat dan mendengar kami berbicara sesama ahli rombongan yang juga baru saling kenal mengenali antara satu sama lain. untuk bertanya kepada mereka, tentu sahaja seperti ayam bercakap dengan itik ^_^ Pertanyaan akan dijawab dengan sepi @ senyuman :)

Rupa2nya, setelah ustaz Ishak selesai makan, dia mengeluarkan segugus wang untuk diberikan kepada kanak2 ini sebagi duit raya. Laaa... Patut la mereka berkumpul di sini ^_^ Mungkin mereka sudah biasa menerima kehadiran orang luar pada musim AidilAdha.

Anak-anak ini pandai bergaya. Siap ber makeup ^_^

Anak2 ini lebih berdisiplin, sabar dan jujur berbanding anak2 di kampung Joro, Kampong Champ, semalam. Mereka sabar menanti diberikan duit raya. Walaupun duit kehabisan di tangan kami, mereka sabar menunggu. Tidak gelojoh berebut-rebut, dan tidak pula menyorok wang yang diberikan untuk mendapatkan wang lain. Seronok melayani mereka, meminta mereka mengucapkan terima kasih, thank you, syukran. Ada yg ikut, ada yg tersengih malu, dan ada juga yg hanya berdiam diri ^_^

Selesai wang raya dibahagikan, segera pula mereka pergi membeli aiskrim ^_^ Pandai pula motor2 aiskrim ni berhenti di tempat orang bagi duit raya. Maka, habislah duit, tak sampai 15 minit :) Itulah dunia. Tiada apa yg tinggal untuk diri sendiri. Melainkan wang yg diinfakkan ke jalan Allah dengan hati yang ikhlas, kekal menjadi miliknya hingga akhirat.


Di sebelah kanan gambar, ada 2 lagi motor aiskrim ^_^

Itulah sekadarnya aiskrim yang dijual di sni. Tiada Paddle Pop, Walls dll.

Beberapa ekor kambing ditumbangkan sebagai korban dan aqiqah yang diwakilkan kepada kami. Lembu pula berjumlah 38 ekor kesemuanya. Yang diwakilkan kepada kami sebagi wakil Generasi Dynamic (gD) adalah 16 ekor. Jelas lihat kemeriahan ibadah korban di sini. Kanak2, remaja, dewasa, warga tua bekerjasama melaksanakan ibadah korban. Kalau di Malaysia, untuk jatuhkan lembu mengambil masa setengah jam atau lebih. Di sini, 5 minit sahaja, lembu tersebut selamat diikat kakinya. Jejaka di sini berani orangnya ^_^

Proses korban ini dilaksanakan berhampiran dengan kawasan madrasah yang sedang dibina. Sekiranya tiada madrasah ini, anak-anak Islam Kemboja hanya menerima pendidikan awam dan belajar agama secara tidak formal dari keluarga. Itupun, sekiranya mereka mampu untuk pergi ke sekolah. Gaji2 guru agama di Kemboja hanya RM100 sebulan. Dan ia adalah belas ihsan dari masyarakat Islam antarabangsa seperti Malaysia. Begitu juga dengan madrasah dan masjid yang sedang dibina, ia adalah dari sumbangan umat Islam Malaysia. Subhanallah... Indahnya Islam, memelihara umatnya di seluruh dunia. Yang lebih membantu yang kurang. Dengan membantu, malah membuatkan hamba Allah itu bertambah melimpah ruah rezekinya. Allahu...

Di belakang sana kelihatan madrasah @ sekolah agama yang dalam pembinaan.

Pandangan dekat sekolah agama


Bismillah
Allahu Akbar

Mereka beramai-ramai, dengan tenaga remaja dan dewasa, memegang lembu dari kepala hingga ekor. dalam tempoh 2 jam sahaja, 38 ekor lembu selesai disembelih. Saya bertindak sebagai juru ambil gambar, merasai sungguh terharu, syahdu, lega, sebak bercampur gaur, sebaik sahaja 16 lembu yang diwakilkan kepada kami selesai di sembelih.

Setiap kali darah memancut, saya doakan agar mereka yang melaksanakan ibadah korban ini diampuni dosa, dilimpahi rahmat, taufiq dan hidayah. Moga segala amalan kita diberkati dan diterima oleh Allah. Sungguh. Sungguh terasa keagungan dan kebesaran Allah tatkala takbir dialunkan mengiringi setiap sembelihan. Ibadah korban ini adalah persembahan hanya kepadaNya. Bukan untuk manusia bermegah-megah. Bukan untuk bersuka ria semata-mata. Dia berhak menerima yang mana satu yg dikehendaki dan menolak yang lainnya. Syaratnya hanyalah ikhlas kerana Dia. Allah...

Menurut ustaz Ishak, 38 ekor lembu ini bukanlah untuk kampung Beng Thmey sahaja. Beliau yang mengarahkan agar dikumpulkan lembu2 ini, dengan mengamanahkan ustaz Habib sebagai pembeli lembu. Ia bertujuan agar tidak berlaku kesilapan membeli lembu yang tidak memenuhi syarat untuk dijadikan korban. Lembu2 ini diagihkan ke kampung2 lain. Malah ada yg sejauh 60km dari kampung ini, datang mengambil lembu. Ada juga yg dapat mengambil lembu dengan menggunakan kuda :)

Antara pemandangan menarik :)
Daging-daging yang siap disiang terus dimasak atau disimpan seketika (mungkin sehari sahaja) dalam ice box. Ini kerana mereka tiada peti ais. Kalaupun mampu berkongsi wang membeli peti ais, elektrik di sini sangat mahal. Maka, penggunaan elektrik adalah sangat minima. Saya kira, hanya untuk lampu di waktu malam. Kipas yang ada berbilah kecil2, hanya digunakan sekali sekala.

Sementara menunggu makanan tengahari, kami dihidangkan dengan air kelapa, buah mata kucing, pisang dan buah rambutan. Tiada kerepek2 atau jajan2 di sini. Snek pagi @ petang adalah buah-buahan tempatan.

Dapur yang mereka gunakan adalah dapur arang. Ruangan dapur di luar rumah. Tiada pintu. Hanya ada dinding dan atap sebagai pelindung dr hujan dan panas.

Kata Rokias, di sini tiada rempah kari. Gulai ayam, daging dimasak dengan rempah yang dibuat sendiri. Untuk buat rempah sahaja, memakan masa setengah hari ^_^ Rokias ada membawa balik rempah dari Malaysia. Namun, tiada siapa pandai menggunakannya. Akhirnya rempah itu tamat tempoh.

Kami dihidangkan dengan gulai lembu, gulai kambing, ikan sungai goreng, sup ikan, daging bakar, ulam-ulaman dan pencicah yang enak. Gulai kali ini beza sedikit rasanya dari gulai semalam. Namun tetap enak rasanya . Saya makan daging bakar yang lembut dan basah, dicicah dengan pencicah buatan dapur rumah tanpa rasa mahu berhenti ^_^ Sedapnya. Subhanallah...

Terliur pula nak makan daging bakar, tiba2 ^_^

Kampung Beng Thmey ini tiada bekalan air. Mereka bernasib baik kerana ada warga Malaysia yang baik hati menghadiahkan telaga. Ada 2 jenis telaga. Satu jenis pam tekan atas bawah. Periginya tidak terlalu dalam dan airnya keruh. Satu lagi jenis pam pusing. Telaga ini dalam, airnya sangat jernih dan boleh diminum begitu sahaja. Untuk menggunakan tandas, air perlu ditadah daripada telaga terlebih dahulu :) Ia tidak menjadi halangan kepada ahli rombongan kami untuk beratur bergilir menggunakan tandas, sebelum pulang ke Phnom Penh ^_^

Telaga ini harganya lebih kurang RM1200

Telaga ini pula harganya $980usd @ lebih kurang RM3100. Ada atap yg dibina dan tirai yang diletakkan disekelilingnya. Tempat ini juga mereka gunakan sebagi bilik mandi.

Setelah selesai urusan korban dan penyerahan barangan bantuan hasil dari sumbangan rakyat Malaysia dan Singapura yang prihatin, perjalanan kami diteruskan pulang ke Phnom Penh. Rombongan kami berpecah. Van yang membawa rombongan dari Singapura pergi ke tempat penginapan yang berbeza. Manakala kami di bawa ke rumah sepupu ustaz Ishak di Kilo 9, Phnom Penh. Ada misi ziarah untuk kami. Dengan perpisahan ini, Aqilah kembali bersendirian tanpa teman seusia :)




Kali ini, yang kedengaran hampir sepanjang perjalanan lebih kurang 3 jam, adalah dengkuran ahli rombongan ^_^ Masing2 keletihan.

Dalam perjalanan ke Kilo 9, kami melalui sebuah kawasan tasik yang ditambak untuk dibuat jalan penghubung dengan kawasan seberang. Kawasan yang ditambak ini juga akan didirikan bandar baru di sebelah kiri kanan jalan. Saya tidak pasti berapa luas kawasan yang ditambak ini. Namun, ketika melalui jalan di kawasan ini, tiada sedikit pun kelihatan air di kiri kanannya. Justeru, saya kira, kawasan yang ditambak itu sangat luas. Tidak dapat dibayangkan, berapa banyak tanah yang digunakan untuk menambak kawasan ini.

Usai solat jama' ta'khir di rumah sepupu ustaz, di pinggir sungai Tonle Sap, kami menaiki perahu, tanpa life jacket ^_^ ke kampung seberang. Kampung Prek Riang. Perahu ini dilengkapi enjin untuk mempercepatkan perjalanan. Dipinggir sungai, kelihatan juga sampan2 yang dijadikan penginapan.



Yang seronoknya, setibanya saya di kampung Prek Riang yang aman ini, saya di sapa oleh seorang wanita berpurdah dengan bahasa Melayu ^_^ Ramai yang boleh berbahasa Melayu walaupun tidak pernah ke Malaysia. Ini kerana ramai warga tua di kampung ini yang belajar di Tanah Melayu dulunya. Ada juga yang pandai baca kitab jawi. Walaupun tidak fasih, mereka boleh memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu, Di sini juga ramai saudara mara ustaz Ishak.

Kami menghulurkan sedikit duit raya dan gula-gula kepada kanak-kanak. Kami juga dijamu dengan air tea tanpa gula dan kuih bahulu :) Rasa kuih bahulu ini sama seperti di Malaysia. Tea yg dihidangkan seperti tea cina. Enak walaupun tanpa gula.


Seronok melihat kanak-kanak gembira diberikan gula-gula dan 2 keping wang 500real. Ia tidak seberapa. Sekadar menggembirakan hati mereka. Moga ia dikira sebagai amal kebajikan dan dikurniakan pahala buat kami :)

Tidak berlamaan di sini kerana hari semakin senja dan kelihatan awan hitam berarak menghampiri tempat kami. Kembali ke rumah sepupu ustaz Ishak, kami dihidangkan dengan sup ikan toman, ikan patin pekasam goreng tanpa minyak, gulai daging dan ulam. Alhamdulillah... Komennya hanyalah -pengi- bahasa Champa yg bermaksud, sedap :)

Hari ini diakhiri dengan perjalanan ke tempat penginapan yang agak lambat kerana melalui kawasan pasar malam. Di suatu ketika, kenderaan kami terhenti buat beberapa lama kerana kesesakan lalu lintas. Di kesempatan ini, ustaz Ishak berkongsi sedikit sebanyak berkenaan kehidupan orang Kemboja. Yang kaya menindas yang miskin. Korupsi berleluasa. Sekiranya ditahan polis, polis tidak akan saman atau bawa ke balai. Mereka terus minta secara direct, wang pelepasan. Ini kerana, gaji mereka sangat kecil, sekitar RM150 sahaja, sebulan.

Bila membaca tentang Kemboja, memang negara ini berada di antara negara yg tertinggi korupsinya. Pastinya untuk memperbaiki masyarakat, memerlukan pemimpin yang betul. Saya hanya menggeleng kepala dan sedih di dalam hati memikirkan nasib anggota masyarakat yang tertindas. Moga mereka berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan mengubah nasib sendiri, keluarga dan masyarakat sekitar. Dan moga kita juga tidak putus2 menyalurkan bantuan kemanusiaan mahupun pendidikan.

Ya Allah, limpahkanlah rahmat, taufiq dan hidayahMu pada umat Islam di seluruh dunia...

Wednesday, October 08, 2014

Kembara Ibadah & Inspirasi 1

Bismillahirrahmanirrahim

Allah aturkan. Dia mengizinkan kami (Ahmad Fadzli, Hanifah & Hannan Aqilah), melalui sebuah perjalanan amanah sebagai wakil Generasi Dynamic (gD) melaksanakan ibadah korban yg penuh manfaat dan mencetus inspirasi kehidupan.

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar


Hari 1


Seawal jam 3.30pg kami bangun. Walau kelihatan masih kantuk dan moody, anak dara kami Hannan Aqilah terpaksa juga bangun bersiap. Seperti yg dijangka, 4.45pg kami bertemu dengan ketua rombongan, Ustaz Ishak di KLIA2. Beliau kelahiran Kemboja. Kerap berulang alik ke Kemboja. Justeru, kami rasa lega dan menaruh kepercayaan kepadanya.

Wang pemberian saudara mara dan rakan2 yang diamanahkan pada kami, segera kami sampaikan kepada Ustaz Ishak. Ia berjumlah RM1000. Kata ustaz, wang tersebut akan digunakan untuk membeli 1000 naskhah Iqra' yang akan diagih2kan ke sekolah2 agama di Kemboja. Ustaz Ishak sedang mengatur daurah (kursus) untuk ustaz2 tempatan (di Kemboja) cara pengajaran menggunakan buku Iqra'. Daurah tersebut dijadualkan pada bulan Disember ini.



(Doakan moga usaha ustaz Ishak dipermudahkan Allah dan dilimpahi dengan ganjaran yg berlimpah ruah. Target 1000 naskhah Iqra' masih belum tercapai. Sesiapa yg nak menderma, boleh hubungi saya di talian (019-9829744). Saya akan sampaikan sumbangan atau sebarang feedback dari tuan/puan kepada Us Ishak)

Mengapa ustaz Ishak nak gunakan Iqra' di sekolah2 agama di Kemboja? Menurut ustaz, setelah dibuat pemerhatian, dalam 1 tahun, dengan menggunakan kaedah Iqra', peningkatan pelajar yg boleh membaca AlQur'an lebih banyak. Contohnya, dalam setahun, 50 orang pelajar boleh membaca AlQuran bila guna kaedah Iqra', berbanding hanya 30 orang ketika menggunakan kaedah tradisional.

Alhamdulillah... Perjalanan kami ke Kemboja menaiki pesawat AK536 berjalan lancar :) Kami selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh jam 7.15pg (waktu Kemboja). Airportnya besar sikit dr airport Kota Bharu.

Di Phnom Penh, kami bergabung dengan rombongan ustaz Jabbar seramai 5 orang dan rombongan dari Singapura, 4 orang termasuk anak kecil seusia Aqilah. Yea! Aqilah dapat kawan! ^_^ Menjadikan rombongan kami berjumlah 13 orang.

Kejutan pertama yang saya terima setiba di airport adalah, tandasnya tiada paip air! Serius. Saya tidak bersedia. Ini adalah kali ke2 ke luar negara. Sebelum ini ketika menunaikan umrah pada tahun 2012. Tiada masalah berkenaan tandas tiada paip air. Saya mula berasa tidak selesa hanya menggunakan tisu. Saya mendoakan boleh membersihkan diri dan bertukar pakaian sebelum solat Zohor.

Alhamdulillah. Allah mendengar rintihan hati kecil saya. Selepas sarapan di sebuah restoran halal, kami terus menuju ke hotel penginapan kami untuk malam nanti di negeri Kampong Champ. Pemilik (mungkin) restoran di mana kami bersarapan boleh berbahasa Melayu sedikit sebanyak :) ~Pada hari ke 3, baru saya dapat tahu bahawa di Phnom Penh hanya ada 2 restoran halal. Sebuah restoran lagi, adalah restoran mamak.~

Ketika melalui kastam di airport Phnom Penh, saya ditahan kerana menolak troli barang yang ada beberapa kotak Al-Quran yang dibawa oleh ustaz Ishak. Ketika itu, ustaz Ishak telah pun mendahului kami tanpa disekat. Saya terpaksa melaung kepada ustaz Ishak, bila si kastam bertanya isi kotak tersebut. Ustaz Ishak suruh nyatakan kotak itu mengandungi buku pelajaran. Dalam hati sedikit geram, sebab ustaz tidak berpatah semula kepada kami untuk membantu (hehehe... maaf ye ustaz).

Airport Phnom Penh

Sebelum balik ke Malaysia, baru saya tahu, sekiranya ustaz yang membawa kotak2 itu, sudah pasti si kastam meminta wang rasuah agar kotak2 itu boleh dibawa masuk ke Kemboja. Disebabkan kami warga Malaysia, si kastam tidak berani meminta wang. Mengapa pula dijawab buku pelajaran? Ia kerana sekiranya si kastam tahu ia adalah Al-Quran, ia lebih sukar untuk dibawa masuk. Mungkin langsung tidak dibenarkan.

Melihat suasana di Phnom Penh, hati kecil bertasbih Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah... Syukur yang amat saya dilahirkan, dibesarkan di Malaysia. Pengangkutan utama di Kemboja adalah motorsikal. Uniknya, hanya pemandu motorsikal yang perlu memakai topi keledar ^_^ Sebuah motor boleh dinaiki oleh 4-5 orang. Undang-undang jalanraya di sini amat longgar. Walaupun ada traffic light, seringkali ia hanya sekadar hiasan. Merah tanda berhenti tidak diguna pakai di Kemboja :) Motor bersimpang siur melalui jalan bertentangan. Hon berbunyi di sini sana tanpa ada yg peduli.

Motorsikal pengangkut barang

Yang hebatnya, tiada keluh kesah, maki memaki, isyarat mencarut oleh pemandu kenderaan! Malah sepanjang saya di sana, tidak bertemu dengan sebarang eksiden, walaupun masing2 bawa kenderaan dengan jarak yg sangat dekat.

Pada awalnya saya pelik. Kenapa bandar ini berdebu? Tepi jalan dilitupi tanah merah. Rupa-rupanya di sini tiada sistem perparitan. Apabila hujan turun dengan lebat, dalam masa setengah sahaja sudah menyebabkan berlakunya banjir. Selut yang dibawa arus ketika banjir tidak dapat mengalir keluar dari jalan raya. Apabila perkara ini berulang kali berlaku, maka tanah merah kekal di tepi2 jalan. Cuaca panas dan kering menyebabkan ia naik menjadi debu yang bertebaran. Sebab itu ramai penunggang motorsikal memakai topeng.

Motorsikal digunakan sebagai alat pengangkutan penduduk dan barangan. Satu tempat khas untuk meletak barang @ dinaiki penduduk tempatan, dibuat dan disambung dengan motor sebagai penarik (macam kereta kuda. Tapi yg ni ditukar kuda pada motor).

Perjalanan ke Kampong Champ, yang pada mulanya saya ingatkan sebuah kampung, kemudiannya saya baru tahu ia adalah nama sebuah negeri, yang jauhnya lebih kurang 140km dr Phnom Penh, memakan masa lebih 3 jam. Di tengah2 highway, jalan yang lebar memuatkan 3 lane kenderaan hanya diturap tanah merah + batu bata. Baru saya faham kenapa kenderaan di sini banyak menggunakan 4wd. Sukar bertemu dengan kenderaan jenis sedan.

Luas, tapi tanpa tar :)

Sebelum perjalanan diteruskan, ice box di dalam van dipenuhkan dengan air minuman dan air tenaga. Di Kemboja, air minuman biasanya dibeli kerana tiada bekalan air bersih. Air yang digunakan untuk keperluan harian seperti mandi, membasuh di ambil dari perigi, sungai yang keruh dan air hujan yang tidak sesuai dijadikan air minuman.

Ustaz Ishak mengajar kami makan jagung rebus Kemboja. Rasanya berbeza! Jagungnya tidak manis seperti jagung di Malaysia. Ia rasa lemak seperti kita makan pulut. Warnanya juga tidak sekuning jagung di Malaysia. Kami juga diajar makan biji teratai. Macam makan kacang ^_^ Dihujung lidah terasa sedikit kelat. Pokok teratai di sini digunakan sepenuhnya. Pucuk teratai dimasukkan dalam sup. Batangnya dibuat ulam. Rangup dan enak dicicah dengan sambal @ pencicah khas buatan tempatan.



Sebelum ni, saya tidak pernah melihat biji Teratai :)

Penginapan kami di Kampong Champ betul2 di tebing Sungai Mekong. Selesai solat jamak dan pengurusan diri di bilik penginapan, jam 4ptg, ustaz Ishak bawa kami menziarahi kampung Joro di tebing sungai Mekong, seberang penginapan kami. Tapi tak perlu naik perahu ^_^ Jambatan dekat je. Dalam perjalan menaiki van, kami dapat kenal pasti perbezaan antara kampung muslim dan non-muslim. Tentu sahaja dari sudut pakaian! Nyata perbezaan adalah tudung yang dipakai oleh wanita Islam. Subhanallah! Syariat Allah sangat indah. Mudahnya membeza muslim dan non-muslim hanya dengan pakaian :)

Di kampung Joro, ada masjid yang juga sebagai pusat pendidikan Islam. Sejuk hati melihat kaum lelaki berjubah putih dan berserban, wanitanya pula bertudung, walaupun ada yg tidak menutup aurat sepenuhnya. Allahu Akbar! Terasa izzah Islam walaupun berada di negara bukan Islam.

Keadaan di sini seperti juga kampung2 di pedalaman Malaysia, saya kira. Atau mungkin lebih dhaif kerana tiada bekalan air. Ada tempayan2 besar yang digunakan untuk menadah air hujan. Rumah2nya tinggi dari daratan. Mungkin sebab selalu berlaku banjir. Tapi, saya suka tengok tangganya. Ada rumah2 tertentu, tangganya dibina dr simen dan dibentuk dengan corak tertentu, walaupun rumah itu hanya dibina dr kayu dan kelihatan buruk! Saya kira, ia melambangkan budaya. Ia unik.

Kelihatan tempayan besar untuk tadah air hujan. Ada saluran khas dibuat untuk menyalurkan air hujan ke dalam tempayan.
Perlu menaiki titi untuk ke tepi sungai.

Tumpuan ziarah kami adalah di tebing sungai. Di mana terdapat penempatan perahu. Beberapa keluarga hanya tinggal di dalam perahu. Mereka makan, tidur, memasak di atas perahu. Perahu yang kecil, ada pengayuh tangan, bukannya rakit yg besar! Pelindung dr panas dan hujan hanyalah kanvas yang dibuat atap di tengah perahu. Sungguh dhaif.

Anak-anak berbaju dengan palitan selut kuning. Ada yang berkaki ayam. Saya kira tiada istilah lampin. Sebab tak nampak bayi yang pakai lampin.

Abaikan pemandangan yang tidak indah.

Sebahagian anak2 yang dibesarkan di pinggir sungai. Mungkin ada di kalangan mereka penghuni rumah2 kampung di sini.

Kami mengambil kesempatan ini menghulur sedikit bantuan wang kepada setiap sampan. Kami hulurkan juga sekeping 500real pada kanak-kanak. Namun, saya sedih. Kerana kemiskinan dan tiada pendidikan membentuk sifat tamak pada anak-anak ini. Di akhir pembahagian wang tersebut, mereka berebut dan merampas wang di tangan saya. Terpana dan takut saya seketika, melihat tindakan itu. Saya juga lihat, ada yg menggumpal wang di tangan, kemudian hulurkan semula tangan untuk mendapatkan lagi wang lain. Kasihan mereka. Mereka kurang pendidikan.

Sungguh. Sungguh. Sungguh. Pendidikan itu sangat penting untuk membentuk manusia beriman dan berakhlak mulia. Sedangkan yang berpendidikan pun ada yg tidak berakhlak. Inikan pula mereka yang tidak mendapat pendidikan. Saya kasihan. Kasihan pada anak-anak kecil ini. Mereka mangsa keadaan. Sesuatu perlu dilakukan.

Maaf anak-anak, andai ada yang tidak dapat walau sekeping wang, sekadar untuk menggembirakan kalian. Moga kalian mendapat perkara yang jauh lebih baik dan bermanfaat berbanding sekeping kertas bertulis 500real.

Anak2 ini anak yang baik. Anak2 yang cekal. Mereka bakal menjadi pejuang Islam yang kukuh hatiNya berjuang menegakkan syariat Islam dan kalimah tauhid di bumi Kemboja ini.

Pendidikan di Kemboja ini percuma. Namun ia dijual oleh para guru. Sesiapa yang mahukan kerja sekolah dan mahu menduduki peperiksaan perlu membayar sejumlah wang kepada guru. Bagi yang beri wang, mereka akan diberitahu halaman tertentu dalam buku yang terkandung jawapan bagi soalan2 peperiksaan. Sekiranya tidak memberi wang pada cikgu, walaupun murid tersebut pandai macam mana sekali pun, dan boleh menjawab peperiksaan tanpa melihat buku, dia tetap tidak lulus.

Mengapa ini berlaku? Mungkin kerana gaji guru yang sangat sedikit. Sekitar RM150 - RM200 sahaja.

Manakala di peringkat pengajian tinggi, anak bangsawan sewenang-wenangnya mengupah orang lain untuk belajar dan mengambil peperiksaan untuknya. Sijil pengajian tertera nama si anak bangsawan. Maka lahirlah masyarakat yang tidak berilmu dan pincang kehidupannya. Saya tidak terbayang jalan penyelesaian bagaimana masyarakat Kemboja ini berubah pada masa akan datang. Cycle kehidupan yang memeningkan.
Gambar sekolah yg sempat saya snap semasa dalam perjalanan.



Aktiviti seharian kami akhiri dengan makan malam yang enak. Memang enak. Rasanya lain dari masakan Malaysia. Tapi keenakannya membuatkan saya bertambah nasi. Makan malam disediakan oleh saudara ustaz Ishak. Gulai ayam (ada kacang di dalamnya dan tiada santan), sup ikan toman, ikan toman bakar, ulam ulaman dan pencicah special yang enak. Alhamdulillah... Si kecil 8 tahun yang susah makan pun, habis sepinggan nasi ^_^

Alhamdulillah... :)

Subhanallah

Subhanallah walhamdulillah wala Ilaha illallah wallahu Akbar
Subhanallah walhamdulillah wala Ilaha illallah wallahu Akbar
Subhanallah walhamdulillah wala Ilaha illallah wallahu Akbar

Sekian lama blog ini tak dijenguk. Hajat hati, nak pendamkan sahaja. Namun hari ini Allah gerakkan hatiku untuk mencatit kembali. Catitan perjalanan. Sebuah kembara yg penuh insprasi. Moga dari kembara ini  Allah berikan limpahan rahmat, taufik dan hidayah, keberkatan dan pahala yang berterusan.

Hanya padaMu ya Allah, kami bergantung.

Wednesday, September 28, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah : 5 Tahun Dulu


Alhamdulillah aku dah selamat melahirkan baby girl. Selama ni aku amat takut menghadapi hari-hari terakhir baby di dalam kandungan, akhirnya aku dapati ia merupakan pengalaman yang gerun tetapi amat menarik dan berharga. Setelah melalui segala pengalaman melahirkan, no wonder aku nak lagi mengalaminya pada masa akan datang.

Lepas keluar air pagi Khamis lalu, aku ikut mak hantar adik-adik dan melepak kat ofis mak sementara tunggu rasa sakit. Mak takut nak tinggal aku sorang kat rumah dan aku sendiri pun takut gak duduk sorang-sorang sebab aku tak tahu macam mana rasa nak bersalin. Mak keep asking sama ada aku rasa sakit atau tak. Aku kata takde. Dalam pukul sepuluh pagi aku terasa cam sakit waktu period. Sakit sikit je. Alaaahh… aku rasa takleh dikatakan sakit pun. Cuma rasa semacam kat perut dalam lima minit sekali. Aku cakap kat mak. Tapi mak pun confuse tengok aku. ‘Betul ke tidak anak aku ni?’

Mak ade kelas pukul 11.30 hingga 1.30. Kalau tunggu sampai 1.30, aku rasa macam lambat sangat. Nanti tetiba aku sakit kuat, aku nak buat camne. Lastly, we all decide pergi HUSM pukul 11.00. Sampai HUSM terus daftar masuk labor room. Kata kerani pendaftaran, kalau belum masa aku bersalin, aku akan dimasukkan ke wad dulu. Tak boleh balik rumah. Aku yang pegi daftar sendiri. Kerani tu confuse tengok aku yang relax je. Dia tanya betul ke aku nak bersalin ni. Macam tak sakit pun? Aku kata sakit sikit je.

Kat labor room CTG scan dijalankan ke atas aku. Nampaknya contraction aku tak kuat mana. So, diorang decide masukkan aku ke wad. Jalan baru terbuka 3 cm. Darah aku diambil, baby di scan, sebelum aku dibawa masuk ke wad. Masa tengah buat checking ni, abang sampai dari Triang. Abang bertolak lepas solat Subuh, jam 1 petang abang sampai KB. Boleh tahan laju jugak abang bawak kereta. Kesian abang. Hari Selasa balik Triang, Rabu mengajar, Khamis dah balik KB semula.

Abang iring aku masuk wad. Tapi lepas tu abang balik rumah sebab tak boleh ade orang tunggu masa dok dalam wad. Masa tu aku dah mula rasa sakit. Ooohh, gini rupanya rasa sakit nak bersalin. Aku boleh berbaring. Nak tidur, tapi dah tak boleh lena. Kengkadang aku jalan, duduk, duduk melutut sambil goyang punggung (sebagaimana petua Kak Dillah – bila abang datang petang baru abang tolong urut belakang). Nak makan dah tak lalu. Nasi tengahari aku makan tak sampai 10 suap. Aku dok minum air ‘khas’ yang ayah bagi sambil doa Nabi Yunus dalam perut ikan yu tak lepas dari mulut aku. Kalau pagi tadi, masa keluar air, aku memang berdebar gila, kini, aku pasrah menghadapi apa jua situasi yang akan tempuhi. Lepas Asar abang dan ma sampai, temankan aku. Masa tu contraction yang aku rasa ade ketikanya 5 minit sekali, ade masanya 3 minit sekali. Rasa sakitnya ada ketikanya aku dapat tahan dan relax, ade masanya membuatkan aku menggeletar tahan sakit. Ma kata tu sakit main-main.

Menjelang pukul 7 malam, ma dan abang kena keluar dari wad. Waktu melawat dah habis. Waktu orang dok berbuka puasa aku mula merasakan kesakitan yang tak dapat aku tanggung sendiri. I want something untuk meredakan rasa sakit ni. Aku dah tak mampu tersenyum. Aku pergi kat kaunter. Misi tengah makan berbuka. Sementara tunggu diorang makan, aku ke tandas. Lepas tu baru le misi cek bukaan jalan aku. Maybe sebab ganggu diorang dok sedap makan, misi jadi bekeng. Suara melengking. Masa cek jalan tu, mungkin dia tengok muka kesian aku yang dok control kesakitan yang amat, baru le slow sikit suaranya. Jalan dah terbuka 5 cm. Misi kata lepas dia solat Maghrib dia hantar aku ke labor room.

Dok menghitung masa aku tunggu misi siap solat. Akhirnya, dalam menahan kesakitan, aku dibawa ke labor room (jalan kaki je) jam 8.40 malam. Kat labor room, CTG scan dilakukan. Kalau kat dalam wad, nak mengurangkan sakit, aku berdiri, berjalan, gerak sana sini. Kat labor room aku takleh buat ape-ape. Aku mintak sebarang ubat yang boleh meredakan kesakitan yang aku rasa. Doctor kata nak bagi suntikan. Tapi memandangkan degupan jantung bayi kelihatan tidak stabil, doctor tangguhkan dulu suntikan.

Ya Allah… Tubuh aku dah menggeletar tahan sakit. Kaki aku tak dapat duduk diam. Tangan aku berpaut kuat kat tepi katil. Aku tak boleh mengiring ke kanan atau ke kiri untuk mengurangkan kesakitan sebab ia akan mempengaruhi bacaan CTG. Aku diberi oksigen. Bukan untuk aku, tapi untuk bekalan baby dalam kandungan. Aku nak something. Aku nampak balang gas kat tepi katil, teringat kat entonoks. Aku minta kat misi untuk kurangkan kesakitan dengan guna gas. Barulah misi bagi.

Lepas tu baru aku nampak abang masuk. Abang senyum kat aku. Muka abang tenang dan penuh semangat untuk memberi aku kekuatan. Tapi, aku dah tak mampu nak senyum. Aku hanya mampu genggam tangan abang sekuat mungkin bila contraction datang. Aku dengar abang dok bisikkan kat aku doa Nabi Yunus. Aku ingat, aku bisikkan di hati. Tapi mulut aku dah tak boleh nak berkata-kata. Perkataan yang mampu keluar hanyalah Allah.

Pukul 9.50 malam aku rasa macam nak teran. Sakit contaction tadi dah tak rasa. Yang ade cuma rasa nak teran yang teramat sangat. Tapi takde sesiapa kat dalam bilik tu masa tu kecuali aku dan abang. Dalam dok teran tertahan, aku dapat rasa ada cairan yang mengalir. Aku tak tahu sama ada aku terkencing, atau air ketuban yang mengalir. Kebetulan sorang misi masuk masa aku rasa nak teran kali ke 4, terus aku beritahu misi. Misi cek, jalan dah terbuka 9 cm dan terus suruh aku meneran.

Proses kelahiran pun bermula. Aku tak rasa sakit. Yang aku rasa adalah macam sedang membuang air besar tapi sembelit yang amat sangat. Aku tak tahu ade berapa orang kat sekeliling aku dok beri semangat. Yang aku tahu cuma meneran yang membuatkan aku kehabisan nafas. Aku curi udara. Aku teran lagi. Bila penat aku berhenti sekejap. Dan terus berusaha lagi. Abang di sisi sentiasa bagi aku semangat. Abang tampung belakang aku. Dalam hati aku sentiasa berdoa dipermudahkan usaha aku.

Keluar je kepala baby, segalanya lega. Rasa satu kelegaan yang begitu nikmat. Rasa pulih kembali tenaga aku yang hilang waktu meneran. Leganya... Tengok wajah baby, aku nak dakap dia. Tapi kenapa dia tak bersuara? Aku nampak ade tangan-tangan yang memegang wayar menyedut sesuatu dari hidung dan mulut baby. Doctor suruh aku confirmkan jantina baby. Girl! Baby diletakkan di atas dada aku untuk beberapa saat. Aku sentuh pipi baby seketika. Kemudian tangan-tangan yang pegang baby bawa baby pergi dari aku. Baby tak menangis. Baby kurang oksigen. Kesian baby. Aku tengok jam. 10.40 malam.

Alhamdulillah… aku dah selamat melahirkan baby girl. Aku dah jadi bonda. Tenaga aku yang tadi kurasakan begitu semput, kini kurasa kembali menguasai diriku. Aku rasa kembali kuat. Dalam keadaan berbaring rehat, aku sempat bersembang dengan doctor, misi dan attendant yang bertugas di bilik bersalin tu.

What a wonderful moment!!! Alhamdulillah Allah mempermudahkan proses kelahiran baby. Allahumma yassir wa la tu‘assir, Allahumma tammim bilkhayr. Baby ditahan wad sehari semalam. Aku dibenarkan balik rumah tengahari Jumaat, baby pulak boleh balik malamnya. Alhamdulillah.

Kata medical student yang ade sekali masa aku bersalin tu, “You are very lucky. Saya suka tengok suami akak. Very supporting. Bagus betul dia bagi semangat kat akak.” Kembang hati aku. Bangga dapat suami yang amat baik. Terima kasih abang. Abang memang teramat baik buat honey. Sentiasa menyokong honey tidak kira apa situasi pun. Kebahagiaan dan keindahan yang kita kecapi ini tidak ternilai dan tidak dapat ditukar ganti dengan apa pun. Moga ia berkekalan. Honey sayang abang. I LOVE U SO MUCH. Terima kasih sayang...

Athma


Hari ini Aqilah terpaksa menggunakan nebulizer 2 kali berturut. Pagi tadi athma nya tidak kelihatan begitu membimbangkan. Namun menjelang petang, dadanya berombak kuat dan dia mula termengah-mengah apabila bertutur.


Sadis hati melihat anak comel ini sakit. Namun hati bonda ini perlu kuat untuk memujuk anak kecil bertenang ketika athma. Haduh... Lincah Aqilah mesti disekat seketika.


...

Punya lama tak buka blog. Sampai tak ingat password. Try punye try, lepas 5 kali baru berjaya (^_^)

Monday, January 24, 2011

Kemakmuranku aturanMU

Dengan sifatMu Yang Maha Penyayang, pagi ini Engkau telah kurniakan aku dengan pelbagai nikmatMu yang tidak terhitung. Pagi ini saya bersyukur padaMu ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang :


1) Alhamdulillah. Saya bangun tidur dengan nikmat IMAN dan ISLAM. Nikmat terbesar kurniaanMu ya Allah.
2) Alhamdulillah. Saya sihat walafiat.
3) Alhamdulillah. Dengan tubuh badan yang sihat ini saya dapat berusaha untuk menjadi JUTAWAN BERTAQWA.
4) Alhamdulillah. Suami saya sihat walafiat.
5) Alhamdulillah. Anak saya merengek-rengek bermimpi di malam hari, membuktikan si kecil ini sihat dan normal.
6) Alhamdulillah. Saya dapat membuat latihan yang diperolehi dari SULB.
7) Alhamdulillah. Jiwa saya bersemangat dan sarat dengan perasaan kasih sayang terhadap mereka yang berada di sekeliling saya.
8) Alhamdulillah. Saya laptop saya dalam keadaan yang baik dan saya dapat menggunakannya sebagai alat beribadah kepadaMu.

Sunday, January 10, 2010

Kematian

Siapa antara kita yang tidak pernah melihat kematian? Apakah perasaan kita bila berhadapan dengan mereka yang telah tiba ajalnya?

Berbaur... ya. Berbaur perasaan. Antara sedih, tertanya tanya dan takut. Sedih bila orang tersayang meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Tertanya tanya bagaimanakah keadaan si mati ketika menghadapi ajalnya, ketika dimandikan, ketika mula mengharungi alam barzakh.

Takut memikirkan saat malaikat maut menjemput kita. Adakah amal yang aku lakukan dapat menampung dosaku yang sekian banyak? Adakah aku mati dalam keadaan mendapat redha emak, suami, dan yang paling utama keredhaan Allah? Ya. TAKUT. Amat takut dengan kematian.

Bukan takut untuk putus dari nikmat dunia, mahupun takut untuk meninggalkan orang yang tersayang. Tetapi, takut memikirkan nasib yang bakal diterima di alam barzakh. Hati ini sering tertanya dan terfikir, andai mereka yang telah mati dapat menceritakan keadaan mereka ~ dukakah atau sukakah ~......

Namun, bila difikirkan semula, bukankah Allah telah mengkhabarkan sedikit sebanyak tentang alam barzakh dan akhirat kelak buat pedoman hidup manusia? Arrgghhh... tapi diri ini, diri yang bernama manusia ini sering leka, lupa, alpa. Sering hanyut dalam perkara yang lagha.

Hatiku... perasaanku... bercampur baur.

al-Fatihah buat nenda abang, Aminah binti Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah pada 6.15 pagi Jumaat lalu, 8 Januari 2010, setelah diserang strok selama 6 hari. Walau kenangan bersamamu tidak lama, namun raut wajah dan watakmu sentiasa terngiang diingatan ini.

Sunday, December 20, 2009

Lama

Lama tak menjengah ke blog sendiri.
Lama tak update blog.
Lama tak exercise.
Lama tak kerja.
Lama lama jadi malas.
Bila start semula, cepat letih.

Waarrgghhh...
Ke mana hilang semangatku.
Ke mana hilang staminaku.

Cari... cari...
Sepat cari semula.

Sunday, November 29, 2009

Perasaan

Sedih. Hu hu hu...

Salah ke sedih? Tak kan? Sedihkan perasaan yang Allah kurniakan. Biarlah air mata mengalir, biarlah hati sebak. Tapi jangan sedih hingga terbit benci dan dendam. Sedih biar berpada. Ya, hati ini perlu dipujuk. Siapa nak pujuk? Siapa lagi. Diri sendiri lah. Dan keletah si kecil tentunya sedikit sebanyak menghilangkan gundah di jiwa.