CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, October 09, 2014

Kembara Ibadah & Inspirasi 2

Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahuakbar
Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahuakbar
Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahuakbar

Hari 2


Hari kedua kami di Kemboja disambut dengan suara azan berkumandang memecah Subuh hari dari kampung Joro yang bertentangan dengan tempat penginapan kami. Tiada kata dapat menggambarkan betapa syahdu dan terasa izzah Islam di negara bukan Islam ini. Subhanallah! Allahu Akbar! Indah sungguh!



Tepat jam 5.30pg waktu tempatan, kami bertolak ke kampung Beng Thmey di negeri Tboung Khmum. Jarak perjalanan, lebih kurang 50km dari bandar Kampong Champ. Walaupun tiada jalan tanah merah, namun keadaan jalan berlubang-lubang sekali sekala memanjangkan tempoh perjalanan. Bekalan biskut yang kebetulan ada, dijadikan sarapan pengalas perut sementara makan sarapan yang sebenar :)

Aqilah berpisah dari kami. Dia ingin bersama teman barunya di van berasingan. Takpe la. Tempat tuju yang sama. Doa saya, moga Allah pelihara dia :)

Kami sampai di kampung Ustaz Habib, kampung Beng Thmey, lebih kurang jam 7.10pg. Ahli rombongan lelaki bergeas ke masjid. Saya bertanya pada ustaz Ishak, kenapa perempuan tidak pergi menunaikan solat raya? Kata ustaz, masjidnya kecil. Tak muat. Dan nyata memang kecil, tinggi dan usang seperti rumah2 kampung sahaja. Malah suami saya risau masjid runtuh ^_^




Alhamdulillah, masjid baru sedang dalam pembinaan, jauh lebih besar dan selesa, InshaAllah. Menurut suami, apabila sampai di masjid, rombongan kami rupanya sedang ditunggu-tunggu. Dijemput naik ke atas masjid ke arah soff pertama. Sedangkan ramai penduduk tempatan yang hanya mendapat tempat duduk di kawasan masjid. Ustaz Jabbar (Imam Muda musim 2) yang bersama rombongan kami diberi penghormatan menjadi imam solat AidilAdha.

Bandingan masjid lama dan masjid baru :)

Subhanallah... Indahnya ukhuwwah Islam. Meraikan tetamu. Walaupun tak faham percakapan, sepatah haram pun, tetamu tetap dijemput, diraikan dengan wajah yang manis. Sungguh. Sungguh indah akhlak Islam.

Manakala, kami yang perempuan dihidangkan dengan sarapan bubur ayam. Alhamdulillah. Sedap. Tak perlu masuk Maggi Cukup Rasa. Guna bahan2 sekitar rumah sahaja. Namun, sedapnya membolehkan Aqilah yang cerewet itu makan bubur habis semangkuk. Alhamdulillah :)

Terasa bahawa Allah memudahkan perjalanan kami. Sebelum memulakan kembara ke Kemboja ini, saya agak risau dengan kerenah Aqilah. Sukar makan makanan yang tidak biasa dia makan. Walaupun bagi kita sedap, dia tetap mahukan nasi dan kicap sahaja. Saya pula benar2 lupa untuk bawa bekalan kicap. Subhanallah. Aturan Allah indah. Dia yang memberi selera kepada manusia. Dia yang memberi rasa kepada manusia. Dia yang membuatkan Aqilah makan tanpa banyak kerenah. Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah..

Sambil menunggu pria2 selesai menunaikan solat sunat hari raya, kami bermesra dengan penduduk di situ yg kebetulannya ada yg pandai berbahasa Melayu. Rokias adik ipar ustaz Habib, pernah bekerja di Malaysia hampir 10 tahun. Katanya, dia nak pergi bekerja di Malaysia lagi :) Menurut Rokias, orang kampung Beng Thmey mengusahakan tanaman ubi. Kemudian dijual ke kilang2 milik orang Vietnam, berhampiran kampung tersebut. Berdasarkan maklumat dari ustaz Ishak, ubi-ubi tersebut tidak boleh dimakan. Ia memabukkan. Ubi ini adalah untuk diproses menjadi sabun, kanji dsb.

Penduduk di kawasan pedalaman kampung pula mengusahakan tanaman padi. Saya ada bertanya us Ishak, orang di kampung Beng Thmey dan di kampung us Ishak sendiri, di negeri Kampot, mana lebih miskin? Kata ustaz, penduduk kampung Beng Thmey lebih baik sedikit kehidupan mereka berbanding di Kampot, kerana mereka memilik tanah untuk bercucuk tanam. Sedangkan penduduk di Kampot pula, sekiranya memilik tanah, ia adalah di mana rumah merka didirikan. Pekerjaan mereka adalah bekerja dengan nelayan lain, menangkap hasil laut.

Bagi mereka yang biasa menjelajah, berjalan mempelajari peradaban manusia di Kemboja ini, pasti melihat kemiskinan dan kesusahan yang berbeza di pelbagai tempat di Kemboja.

Sementara jejaka2 dalam rombongan kami makan sarapan, kanak2 kecil dan yg meningkat remaja, berbaju cantik di pagi raya, memenuhi ruangan depan rumah yg kami singgah. Dalam hati kecil saya tertanya-tanya kenapa mereka berkumpul di sini? Adakah untuk melihat dan mendengar kami berbicara sesama ahli rombongan yang juga baru saling kenal mengenali antara satu sama lain. untuk bertanya kepada mereka, tentu sahaja seperti ayam bercakap dengan itik ^_^ Pertanyaan akan dijawab dengan sepi @ senyuman :)

Rupa2nya, setelah ustaz Ishak selesai makan, dia mengeluarkan segugus wang untuk diberikan kepada kanak2 ini sebagi duit raya. Laaa... Patut la mereka berkumpul di sini ^_^ Mungkin mereka sudah biasa menerima kehadiran orang luar pada musim AidilAdha.

Anak-anak ini pandai bergaya. Siap ber makeup ^_^

Anak2 ini lebih berdisiplin, sabar dan jujur berbanding anak2 di kampung Joro, Kampong Champ, semalam. Mereka sabar menanti diberikan duit raya. Walaupun duit kehabisan di tangan kami, mereka sabar menunggu. Tidak gelojoh berebut-rebut, dan tidak pula menyorok wang yang diberikan untuk mendapatkan wang lain. Seronok melayani mereka, meminta mereka mengucapkan terima kasih, thank you, syukran. Ada yg ikut, ada yg tersengih malu, dan ada juga yg hanya berdiam diri ^_^

Selesai wang raya dibahagikan, segera pula mereka pergi membeli aiskrim ^_^ Pandai pula motor2 aiskrim ni berhenti di tempat orang bagi duit raya. Maka, habislah duit, tak sampai 15 minit :) Itulah dunia. Tiada apa yg tinggal untuk diri sendiri. Melainkan wang yg diinfakkan ke jalan Allah dengan hati yang ikhlas, kekal menjadi miliknya hingga akhirat.


Di sebelah kanan gambar, ada 2 lagi motor aiskrim ^_^

Itulah sekadarnya aiskrim yang dijual di sni. Tiada Paddle Pop, Walls dll.

Beberapa ekor kambing ditumbangkan sebagai korban dan aqiqah yang diwakilkan kepada kami. Lembu pula berjumlah 38 ekor kesemuanya. Yang diwakilkan kepada kami sebagi wakil Generasi Dynamic (gD) adalah 16 ekor. Jelas lihat kemeriahan ibadah korban di sini. Kanak2, remaja, dewasa, warga tua bekerjasama melaksanakan ibadah korban. Kalau di Malaysia, untuk jatuhkan lembu mengambil masa setengah jam atau lebih. Di sini, 5 minit sahaja, lembu tersebut selamat diikat kakinya. Jejaka di sini berani orangnya ^_^

Proses korban ini dilaksanakan berhampiran dengan kawasan madrasah yang sedang dibina. Sekiranya tiada madrasah ini, anak-anak Islam Kemboja hanya menerima pendidikan awam dan belajar agama secara tidak formal dari keluarga. Itupun, sekiranya mereka mampu untuk pergi ke sekolah. Gaji2 guru agama di Kemboja hanya RM100 sebulan. Dan ia adalah belas ihsan dari masyarakat Islam antarabangsa seperti Malaysia. Begitu juga dengan madrasah dan masjid yang sedang dibina, ia adalah dari sumbangan umat Islam Malaysia. Subhanallah... Indahnya Islam, memelihara umatnya di seluruh dunia. Yang lebih membantu yang kurang. Dengan membantu, malah membuatkan hamba Allah itu bertambah melimpah ruah rezekinya. Allahu...

Di belakang sana kelihatan madrasah @ sekolah agama yang dalam pembinaan.

Pandangan dekat sekolah agama


Bismillah
Allahu Akbar

Mereka beramai-ramai, dengan tenaga remaja dan dewasa, memegang lembu dari kepala hingga ekor. dalam tempoh 2 jam sahaja, 38 ekor lembu selesai disembelih. Saya bertindak sebagai juru ambil gambar, merasai sungguh terharu, syahdu, lega, sebak bercampur gaur, sebaik sahaja 16 lembu yang diwakilkan kepada kami selesai di sembelih.

Setiap kali darah memancut, saya doakan agar mereka yang melaksanakan ibadah korban ini diampuni dosa, dilimpahi rahmat, taufiq dan hidayah. Moga segala amalan kita diberkati dan diterima oleh Allah. Sungguh. Sungguh terasa keagungan dan kebesaran Allah tatkala takbir dialunkan mengiringi setiap sembelihan. Ibadah korban ini adalah persembahan hanya kepadaNya. Bukan untuk manusia bermegah-megah. Bukan untuk bersuka ria semata-mata. Dia berhak menerima yang mana satu yg dikehendaki dan menolak yang lainnya. Syaratnya hanyalah ikhlas kerana Dia. Allah...

Menurut ustaz Ishak, 38 ekor lembu ini bukanlah untuk kampung Beng Thmey sahaja. Beliau yang mengarahkan agar dikumpulkan lembu2 ini, dengan mengamanahkan ustaz Habib sebagai pembeli lembu. Ia bertujuan agar tidak berlaku kesilapan membeli lembu yang tidak memenuhi syarat untuk dijadikan korban. Lembu2 ini diagihkan ke kampung2 lain. Malah ada yg sejauh 60km dari kampung ini, datang mengambil lembu. Ada juga yg dapat mengambil lembu dengan menggunakan kuda :)

Antara pemandangan menarik :)
Daging-daging yang siap disiang terus dimasak atau disimpan seketika (mungkin sehari sahaja) dalam ice box. Ini kerana mereka tiada peti ais. Kalaupun mampu berkongsi wang membeli peti ais, elektrik di sini sangat mahal. Maka, penggunaan elektrik adalah sangat minima. Saya kira, hanya untuk lampu di waktu malam. Kipas yang ada berbilah kecil2, hanya digunakan sekali sekala.

Sementara menunggu makanan tengahari, kami dihidangkan dengan air kelapa, buah mata kucing, pisang dan buah rambutan. Tiada kerepek2 atau jajan2 di sini. Snek pagi @ petang adalah buah-buahan tempatan.

Dapur yang mereka gunakan adalah dapur arang. Ruangan dapur di luar rumah. Tiada pintu. Hanya ada dinding dan atap sebagai pelindung dr hujan dan panas.

Kata Rokias, di sini tiada rempah kari. Gulai ayam, daging dimasak dengan rempah yang dibuat sendiri. Untuk buat rempah sahaja, memakan masa setengah hari ^_^ Rokias ada membawa balik rempah dari Malaysia. Namun, tiada siapa pandai menggunakannya. Akhirnya rempah itu tamat tempoh.

Kami dihidangkan dengan gulai lembu, gulai kambing, ikan sungai goreng, sup ikan, daging bakar, ulam-ulaman dan pencicah yang enak. Gulai kali ini beza sedikit rasanya dari gulai semalam. Namun tetap enak rasanya . Saya makan daging bakar yang lembut dan basah, dicicah dengan pencicah buatan dapur rumah tanpa rasa mahu berhenti ^_^ Sedapnya. Subhanallah...

Terliur pula nak makan daging bakar, tiba2 ^_^

Kampung Beng Thmey ini tiada bekalan air. Mereka bernasib baik kerana ada warga Malaysia yang baik hati menghadiahkan telaga. Ada 2 jenis telaga. Satu jenis pam tekan atas bawah. Periginya tidak terlalu dalam dan airnya keruh. Satu lagi jenis pam pusing. Telaga ini dalam, airnya sangat jernih dan boleh diminum begitu sahaja. Untuk menggunakan tandas, air perlu ditadah daripada telaga terlebih dahulu :) Ia tidak menjadi halangan kepada ahli rombongan kami untuk beratur bergilir menggunakan tandas, sebelum pulang ke Phnom Penh ^_^

Telaga ini harganya lebih kurang RM1200

Telaga ini pula harganya $980usd @ lebih kurang RM3100. Ada atap yg dibina dan tirai yang diletakkan disekelilingnya. Tempat ini juga mereka gunakan sebagi bilik mandi.

Setelah selesai urusan korban dan penyerahan barangan bantuan hasil dari sumbangan rakyat Malaysia dan Singapura yang prihatin, perjalanan kami diteruskan pulang ke Phnom Penh. Rombongan kami berpecah. Van yang membawa rombongan dari Singapura pergi ke tempat penginapan yang berbeza. Manakala kami di bawa ke rumah sepupu ustaz Ishak di Kilo 9, Phnom Penh. Ada misi ziarah untuk kami. Dengan perpisahan ini, Aqilah kembali bersendirian tanpa teman seusia :)




Kali ini, yang kedengaran hampir sepanjang perjalanan lebih kurang 3 jam, adalah dengkuran ahli rombongan ^_^ Masing2 keletihan.

Dalam perjalanan ke Kilo 9, kami melalui sebuah kawasan tasik yang ditambak untuk dibuat jalan penghubung dengan kawasan seberang. Kawasan yang ditambak ini juga akan didirikan bandar baru di sebelah kiri kanan jalan. Saya tidak pasti berapa luas kawasan yang ditambak ini. Namun, ketika melalui jalan di kawasan ini, tiada sedikit pun kelihatan air di kiri kanannya. Justeru, saya kira, kawasan yang ditambak itu sangat luas. Tidak dapat dibayangkan, berapa banyak tanah yang digunakan untuk menambak kawasan ini.

Usai solat jama' ta'khir di rumah sepupu ustaz, di pinggir sungai Tonle Sap, kami menaiki perahu, tanpa life jacket ^_^ ke kampung seberang. Kampung Prek Riang. Perahu ini dilengkapi enjin untuk mempercepatkan perjalanan. Dipinggir sungai, kelihatan juga sampan2 yang dijadikan penginapan.



Yang seronoknya, setibanya saya di kampung Prek Riang yang aman ini, saya di sapa oleh seorang wanita berpurdah dengan bahasa Melayu ^_^ Ramai yang boleh berbahasa Melayu walaupun tidak pernah ke Malaysia. Ini kerana ramai warga tua di kampung ini yang belajar di Tanah Melayu dulunya. Ada juga yang pandai baca kitab jawi. Walaupun tidak fasih, mereka boleh memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu, Di sini juga ramai saudara mara ustaz Ishak.

Kami menghulurkan sedikit duit raya dan gula-gula kepada kanak-kanak. Kami juga dijamu dengan air tea tanpa gula dan kuih bahulu :) Rasa kuih bahulu ini sama seperti di Malaysia. Tea yg dihidangkan seperti tea cina. Enak walaupun tanpa gula.


Seronok melihat kanak-kanak gembira diberikan gula-gula dan 2 keping wang 500real. Ia tidak seberapa. Sekadar menggembirakan hati mereka. Moga ia dikira sebagai amal kebajikan dan dikurniakan pahala buat kami :)

Tidak berlamaan di sini kerana hari semakin senja dan kelihatan awan hitam berarak menghampiri tempat kami. Kembali ke rumah sepupu ustaz Ishak, kami dihidangkan dengan sup ikan toman, ikan patin pekasam goreng tanpa minyak, gulai daging dan ulam. Alhamdulillah... Komennya hanyalah -pengi- bahasa Champa yg bermaksud, sedap :)

Hari ini diakhiri dengan perjalanan ke tempat penginapan yang agak lambat kerana melalui kawasan pasar malam. Di suatu ketika, kenderaan kami terhenti buat beberapa lama kerana kesesakan lalu lintas. Di kesempatan ini, ustaz Ishak berkongsi sedikit sebanyak berkenaan kehidupan orang Kemboja. Yang kaya menindas yang miskin. Korupsi berleluasa. Sekiranya ditahan polis, polis tidak akan saman atau bawa ke balai. Mereka terus minta secara direct, wang pelepasan. Ini kerana, gaji mereka sangat kecil, sekitar RM150 sahaja, sebulan.

Bila membaca tentang Kemboja, memang negara ini berada di antara negara yg tertinggi korupsinya. Pastinya untuk memperbaiki masyarakat, memerlukan pemimpin yang betul. Saya hanya menggeleng kepala dan sedih di dalam hati memikirkan nasib anggota masyarakat yang tertindas. Moga mereka berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan mengubah nasib sendiri, keluarga dan masyarakat sekitar. Dan moga kita juga tidak putus2 menyalurkan bantuan kemanusiaan mahupun pendidikan.

Ya Allah, limpahkanlah rahmat, taufiq dan hidayahMu pada umat Islam di seluruh dunia...

0 comments: