CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, April 21, 2009

Dedikasi buat TGNA

Pertama kali aku melihat wajahnya secara live ketika di tingkatan 5. Ketika itu beliau hadir ke sekolah untuk membuat pelancaran... (tak ingat ape dia). Saat itu kekaguman terhadap beliau telah terbit di sudut hati. Namun ia tidak sehebat Ahad lalu tika sekali lagi aku berpeluang melihat beliau dengan lebih dekat.

Melihat ulama' yang berjiwa besar, melihat pejuang Islam yang siang harinya bak singa lapar sedang malam hari bak pengemis merintih sayu pada Yang Maha Esa, melihat pendakwah yang berusaha menyebarkan Islam sebagai cara hidup - hati rasa sayu, hati rasa jatuh cinta padanya.

Aku percaya, setiap orang yang melihat beliau, tidak kira orang muda atau tua, bangsa apa sekalipun, berbeza pandangan politik, berbeza fikrah, setidak-tidaknya pasti akan timbul rasa hormat tatkala melihat wajahnya yang berseri dengan cahaya iman itu.

Melihat wajahnya yang berseri, tenang dan tiada garis 'wajah masam mencuka' sahaja sudah timbul ketenangan dijiwa. Mendengar tutur katanya yang bersahaja lembut, tetapi tegas dalam melaksanakan Islam sebagai cara hidup pasti membangkitkan rasa kagum terhadap beliau. Ya... tampil beliau di pentas tidak akan bercakap soal dunia tanpa diselitkan mesej Islam. Itu sudah pasti kerana kehidupan dunia tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Bukankah Islam is the way of life?

Dalam genangan air mata hati berdetik "Alangkah indahnya menjadi sebahagian dari keluarganya. Subhanallah. Kiranya ini yang aku rasa tatkala melihat seorang ulama' pewaris nabi, alangkah indah kiranya aku berkesempatan melihat dan merasai kehadiran Rasulullah s.a.w secara live. Pasti aku akan menangis teresak-esak dan akan membuak rindu di dada".

Namun, aku sedar. Walau berjauhan dari Rasulullah, ia tidak bermakna aku tidak boleh mencintainya. Cintaku kepada Rasulullah s.a.w mesti ditafsirkan dan dipraktikkan dengan mengamalkan al-Qur'an dan sunnah baginda s.a.w dalam kehidupan seharian.

Balik dari PBAKL setelah berkesempatan melihat TGNA secara live, aku baca buku 'Bidadari Dari Timur' dan 'Catatan Hati Nik Nur Madihah'. Ya... aku kagum, aku terpesona dengan peribadi mereka yang rajin bertahajud dan dekat hatinya dengan Allah. Aku ingin sekali mencontohi mereka.

Ya Allah, kuatkanlah diri ini untuk memperbaiki diri menjadi hamba yang dekat hatinya dengan Engkau Yang Maha Esa...

Tuesday, April 14, 2009

Hari Ini

Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam
Esok Lebih Baik Dari Hari Ini

Semangat kata-kata di atas perlu sentiasa diletakkan dalam jiwa kita agar kehidupan kita sentiasa berubah ke arah yang lebih baik. Janganlah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang celaka iaitu mereka yang hari ini lebih buruk dari semalam.

Semalam aku pergi ziarah rumah seorang sahabat yang telah kehilangan seorang suami (meninggal dunia) sejak tahun 2007. Kini, dia seorang diri sebagai ibu tunggal membesarkan 6 orang anaknya yang masih belajar dengan usia si bongsu baru 4 tahun. Perit. Ya, perit mata memandang, perit lagi bahu memikul. Sedikit sumbangan kuhulurkan mungkin hanya dapat membeli biskut kering bagi minum petang. Tapi, itu tidak penting. Yang penting usaha untuk ziarah dan tahu keadaan sahabat-sahabat.

Sejak menggiatkan diri dalam masyarakat, aku dapat lihat dengan mata hati betapa pentingnya ukhuwah Islamiyah. Tak penting apa yang orang dapat lakukan pada kita. Yang penting adalah apa yang dapat kita lakukan untuk membantu masyarakat. Di sekeliling kita ramai yang lebih malang nasibnya. Kitalah sebagai orang Islam yang perlu sentiasa memberi bantuan tidak kira dalam apa jua bentuk. Mungkin tak dapat bagi harta, berilah tenaga, atau ilmu, atau kasih sayang.

Sedih mengingatkan hubungan kasih sayang yang semakin pudar dalam masyarakat. "Keluargaku, hanya keluargaku. Keluargamu, adalah keluargamu. Tak perlu peduli tentang orang lain. Kalau kita susah orang lain bukan nak tolong. Kita sekeluarga jugak yang perlu selesaikan."

Ahhh... pemikiran itu bukan pemikiran Islam yang amat menekankan ukhuwah atau persaudaraan. Nilailah pada apa yang diberi kepada orang lain, jangan nilai apa yang orang lain beri pada kita. Seperti motto Saiful Islam : Erti hidup pada memberi.

Moga hari ini aku dapat melakukan perkara yang lebih baik dari semalam. Dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama Islam. InsyaAllah.

Sunday, April 05, 2009

Percaya & Usaha

Dengan percaya dan usaha, yang lain akan datang sendiri selepas itu.


Dengan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah s.w.t dalam segala hal dan setiap detik kehidupan, dan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan usaha yang sesungguh-sungguhnya, maka perkara-perkara lain seperti kecintaan kepada Allah, kerinduan untuk bertemu Allah, keindahan bermunajat kepada Allah, kepuasan berkorban demi agama, suruhan dan larangan Allah, pasti akan muncul.

Dengan percaya terhadap kerja yang kita lakukan, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kerja tersebut, maka InsyaAllah kita berjaya melaksanakan kerja tersebut dengan hasil yang baik. Rasa suka, enjoy, terus berusaha dengan lebih gigih, memperbaiki kesilapan, positif dengan matlamat yang ingin dicapai, akan hadir secara automatik bila kita percaya dan usaha dalam sesuatu tugasan atau kerja kita.

Tapi bagaimana untuk percaya? Kepercayaan akan timbul bila ilmu tentang perkara tersebut kita pelajari. Kepercayaan kepada Allah umpamanya akan bertambah mendalam bila kita pelajari tentang sifat-sifat Allah, nama-nama Allah, makhluk-makhluk ciptaan Allah.

Begitu juga dengan kerja yang dilakukan seperti perniagaan contohnya. Bila kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang perniagaan yang dilakukan seperti maklumat tentang keperluan pelanggan, kekuatan produk, sistem pengurusan, pastinya kita akan lebih percaya bahawa perniagaan yang kita lakukan boleh mencapai keutungan yang diingini dan dapat berkembang dengan pesat.

Dalam pelajaran juga begitu. Bila tahu tentang subjek yang kita pelajari, bagaimana cara mendapatkan sumber, siapa yang dapat membantu untuk menambahkan pengetahuan dalam subjek tersebut, maka keyakinan kita untuk belajar akan lebih tinggi.

Namun, ilmu dan percaya sahaja tidak memadai tanpa usaha. Kita percaya tentang Allah, tapi tidak berusaha mendekatkan diri kepadanya. Kita percaya perniagaan yang kita lakukan akan mencapai keutungan yang besar, tetapi tidak berusaha menjalankan perniagaan dengan baik. Kita percaya dapat result yang cemerlang dalam sesuatu subjek, tetapi tidak berusaha untuk belajar dengan berstrategi. Maka!!! hasilnya pasti kegagalan dan kekecewaan. Kalau berjaya pun, sekadar kebetulan.

Asas Islam juga menekankan 2 perkara utama iaitu RUKUN IMAN (percaya) dan RUKUN ISLAM (usaha). Ramai orang ditanya tentang rukun iman, mereka akan katakan mereka beriman dengan kesemuanya (di mulut jawab ya, tapi di hati hanya Allah yang tahu). Tetapi bila ditanya tentang rukun Islam, ramai yang jawab tidak lengkap. Jadi, kalau tidak berjaya di akhirat kelak, bukan salah orang lain, tapi salah sendiri kerana tidak menuntut ilmu untuk mengukuhkan kepercayaan (rukun iman) dan berusaha mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya (rukun Islam).

Justeru, sama-samalah kita menambah pengetahuan untuk mengukuhkan kepercayaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian dan matlamat. InsyaAllah berjaya!!!