CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, December 29, 2007

Inilah Adanya

Alhamdulillah. Dah berjaya menukar wajah blog ni. Walaupun tak berapa puas hati sebab tulisannya kecil sangat. Nak edit font takleh pulak. Boleh sebenarnya, tapi cara yang mudah tak boleh. Kena guna cara susah. Aku ni bukan reti sangat. Takpe la. Setakat ni, ini je lah yang mampu buat. Ada masa terluang lagi, aku boleh mengedit lagi. (Bila lah tu...)

Pening... pening...

Aku cuba nak edit template blog ni supaya dapat wajah baru yang lebih segar. Dah boring dah ngan template ni. Tapi, ia memeningkan. Camne ni.

Thursday, December 27, 2007

Banjir Oh Banjir

Alhamdulillah sejak lima hari kebelakangan ni cuaca cerah sepanjang hari. Kalau hujan turun pun, hanya buat seketika. Sekadar membasahi bumi, memberi bekalan air kepada tumbuhan. Ops... sepatutnya, apa jua keadaan, sama ada kita rasa baik atau buruk untuk kita, kita mesti memanjatkan syukur ke hadrat yang Esa kerana pastinya terselit hikmah yang tidak mampu kita nilai dari pandangan kita sebagai makhluk yang serba lemah ini. Mungkin ketika banjir besar melanda beberapa negeri baru-baru ini, ada insan yang menginsafi kejadian Allah, lalu kembali meletakkan Dia di tempat yang teratas di dalam diri. Justeru, bukankah kita mesti mengucapkan syukur kerana bertambah ramai manusia yang sedar tentang kebesaran Allah? Kita yang terselamat ni, lagilah mesti meningkatkan kesyukuran kepadaNya. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Dua hari lepas, Selasa dan Rabu, aku, abang dan Cumax ke Triang. Pagi Selasa bertolak ke Triang, petang Rabu bertolak dari Triang ke KB. Sampai pukul 12 tengah malam tadi. Kata abang, Triang KB tu, untuk kami macam main-main je. Boleh berulang alik dalam dua hari walaupun mengambil masa 7 hingga 9 jam nak boleh ke sampai. Sepanjang perjalanan antara Temerloh ke Triang, kami dapat lihat kesan banjir yang begitu menginsafkan. Begitu hebat kejadian Allah. Tak terkata kami melihatnya. Melihat kebesaran Allah. Air yang biasanya kita gunakan untuk minum, mandi, basuh. Sungai yang tenang, tasik yang damai, laut yang indah, yang memberikan ketenangan. Dalam masa yang singkat bisa merubah segalanya menjadi padang jarak, padang tekukur. Hebat sungguh keesaan Allah. Subhanallah.

SMK Mengkarak dan SK Durian Tunggal bagai tongkang pecah. Banyak peralatan yang musnah. Menurut cerita kawan-kawan (orang Triang), memang banjir kali ni begitu hebat. Ada kawasan yang terputus bekalan makanan, ada yang mendapat bekalan makanan yang amat sedikit, yang rumahnya tenggelam, dan pelbagai fenomena lagi. Alhamdulillah, kawasan rumah aku kat Taman Mawar Indah, tak dinaiki air walaupun pada suatu ketika jalan nak masuk taman perumahan dah ditenggelami air, tak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Aku balik Triang untuk dapatkan surat UIA & abang pula untuk attend meeting kat sekolah. Dua hari aku tinggalkan 'Aqilah kat KB. Dalam kereta nak ke Triang, terngiang-ngiang suara dan gaya 'Aqilah. Kalau ada iklan Oligi Coco, secara automatik badan aku pun bergerak macam badan 'Aqilah berjoget waktu dengar iklan tu. Gelagatnya bagai tak lepas dari mataku.

Malamnya, aku tersendu. Entah kenapa pilu menggigit hati. Tetiba aku rasakan aku kehilangan keistimewaan seorang bonda. Aku dah tak dapat bagi susu badan pada 'Aqilah. Semua orang boleh bagi perhatian kepadanya. Malah, mungkin ada yang beri perhatian kepada 'Aqilah lebih dari yang aku lakukan. Tapi, yang bagi susu badan, cuma aku. Bila aku dah tak boleh bagi, aku rasakan seolah-olah tali pengikat antara aku dan 'Aqilah semakin longgar. Bermula tahun depan, bagaimana pula keadaannya? Jarang berjumpa, hanya di hujung minggu. Tentu dia tak berapa rapat denganku. Pedihnya rasa bila mengenangkan keadaan itu bakal ku tempuh.

Waaaaa... Sedihnya.

Friday, December 21, 2007

Tinggalkan...

"Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan"

Sebenarnya, frasa di atas takde kena mengena pun dengan aku. Yang betulnya, aku akan meninggalkan 'Aqilah. Ma dan Mak telah menghulurkan cadangan untuk membantu jaga 'Aqilah. Tapi aku rasa tak mampu berjauhan dengan 'Aqilah terlalu lama. Kalau 'Aqilah duduk kat KB atau Jerteh, aku tak boleh jumpa dia tiap-tiap minggu. Paling kerap pun 2 minggu sekali. Nak balik jauh pulak tu. Dah le aku ni jenis tak suka naik bas lama-lama. Letih. Kengkadang muntah. Tak laratnye nak berulang jauh-jauh.

So, aku dan abang bercadang 'Aqilah duduk ngan abang. Boleh le aku balik setiap hujung minggu. UIA ngan Triang taklah jauh sangat. 2 jam je lebih kurang. Jimat masa perjalanan, boleh berlamaan dengan 'Aqilah. Pagi, masa abang gi sekolah, 'Aqilah duduk ngan Umi Piah. Petang, abang buat buku. Nak gi Solat Asar, abang ambil le 'Aqilah.

'Aqilah pun dah boleh jalan setelah berusia 1 tahun 2 bulan 2 minggu. Sekarang ni, aku tengah train 'Aqilah hisap susu botol. Walaupun pada awalnya 'Aqilah nampak tertekan hingga 2 kali demam, tapi sekarang dia dah boleh terima susu botol. Kesian jugak aku kat dia. Tapi lagi kesian kalau aku terus bagi susu badan, 'Aqilah akan lebih merana bila aku tinggalkan dia nanti. Lebih baiklah aku lepaskan susu badan peringkat demi peringkat.

Tak susah jaga 'Aqilah. Dia kenyang, ada yang layan dia main. Mood dia akan baik. Mudahlah tido dan dijaga.

Bonda sayang 'Aqilah. Saaaaayang sangat. Peluk cium dari bonda untuk 'Aqilah.

Thursday, December 20, 2007

BBQ

Malam ni buat BBQ kat KB. Ayam dan daging je. Makanan laut takde sebab laut bergelora. Kurang bekalan. Mahal. Takpelah. Apa yang ada ni amat memadai. Yang penting berkumpul bersama-sama adik beradik. Bukan selalu dapat berkumpul macam ni.

Macam-macam makanan ade hari ni. Alhamdulillah. Bersyukur yang amat ke hadrat Allah s.w.t. Besar sungguh kurniaanNya. Walaupun kadang kala aku rasa tertekan bila kekurangan cash, tapi kami tak pernah tak makan. Betapa besarnya kurniaan Allah kepada kami. Rasa malu padaNya sering menguasai diriku. Teringat pesan seorang ustaz. Sehebat manapun ujian dan dugaan di dunia ini, kita pasti boleh menghadapinya. Bila kita kenangkan kembali kesusahan lampau, pasti kita rasa, 'Oh, takdelah teruk sangat kehidupan aku, aku masih boleh melaluinya'.

Tapi, adakah kita mampu menghadapi kehebatan hari akhirat kelak? Ia kekal tanpa penghujung. Kalau kita rasa, lebih baik mati dari menghadapi kesusuhan di dunia. Adakah kita mampu menghadapi apa yang bakal menimpa kita di alam kubur dan di akhirat kelak?

Salam Aidil Adha

Alhamdulillah, Ayah dan Ma di tanah Makkah kini dalam keadaan sihat walafiat dan sedang mengerjakan ibadah haji. Malam raya semalam, ayah telefon dari Mina. Kata ayah, sebelum ni ayah tak sihat. Demam. Alhamdulillah bila tiba saat wukuf di 'Arafah, ayah dikurniakan kesihatan dan dapat mula mengerjakan amalan wajib dengan baik.

Masa ayah telefon, aku angkat. Aku dengar suara ayah ceria. Minggu lepas, kami adik beradik buat solat hajat di suarau agar Ma dan Ayah dikurniakan kesihatan berpanjangan, dipermudahkan urusan mereka dan mendapat haji mabrur.

Saturday, December 08, 2007

Antara Dunia dan Akhirat

Sejak dari bangku sekolah aku bercita-cita menjadi seorang pensyarah, mengikut jejak langkah mak. Bila semakin meningkat dewasa, keinginan menjadi seorang pendidik bagai sebati dalam jiwaku. Pekerjaan sebagai pensyarah masih lagi mendapat tempat yang pertama dalam hatiku.

Usia meningkat. Masa belajar di universiti pun hampir tamat. Aku mula memikirkan, apakah pekerjaan yang sesuai yang membolehkan anak-anak aku nanti membesar di depan mataku. Aku boleh menjaga dan mengelek mereka ke mana sahaja aku pergi. Kalau tinggalkan mereka pun, untuk masa yang singkat sahaja. Fikir-punya fikir, aku dapat satu idea. Buka taska dan tadika sendiri.

Bermula dari saat itu, aku menanamkan semangat untuk membuka tadika sendiri. Bila aku kerja di TASKI ABIM sambil ambil MA kat UM, semangat aku semakin berkobar-kobar. Aku bukanlah orang yang begitu sukan dan baik melayan kanak-kanak. Tapi aku juga bukan insan yang mengabaikan kanak-kanak. Aku masih boleh melayan mereka dengan baik. Dah kahwin, menetap di Triang, boring, aku kerja di TASKA Ummi. Kali ini untuk mengumpul pengalaman.

Di pertengahan tahun 2007, dapat partner untuk buka TASKA. Kebetulan SSSM datang kat Bera, aku ambil peluang ni untuk daftar syarikat dulu. al-Haziq Childcare Centre. Best tak nama tu? Tapi tak boleh buka lagi, sebab aku still kerja. Dan yang paling utama aku nak siapkan MA dulu. Kalau buka dulu, alamatnya MA tu jadi pekasam je lah.

Namun, aku dilanda dilema. Persoalan nak kepuasan dunia atau keredhaan untuk akhirat timbul dalam diri aku. Ma tegah dan melarang sama sekali aku buka TASKA. Ma suruh aku minta jadi cikgu seperti abang, ma dan ayah. Awal-awal tahun 2007 memang ma dah galak aku jadi cikgu. Bila dengar aku nak buka TASKA sendiri, ma tak bagi. Tapi, masa tu aku dan abang tak ambil pusing kata-kata ma. Lama-lama nanti ma senyaplah, walaupun setiap kali balik kampung, memang itulah antara topik utama yang ma cakap. Hari-hari pulak tu.


Suatu hari, ma datang Triang. Masa tu syarikat dah ada. Tempat nak buka pun dah ada. So, bawalah ma jalan-jalan dan tunjuk tempat nak buka TASKA. Ma senyap je. Tapi bila balik Jerteh, ma telefon, ma marah, tak bagi buka TASKA. Ma kata susah. Jadi cikgu lagi mudah. Tak payah fikir bagaimana nak memuaskan hati pelanggan. Balik rumah tengahari boleh siapkan hal rumahtangga. Mula dari hari tu, setiap kali ma telefon, atau abang telefon ma, topik hangat ni tak pernah lepas dari perbualan. Masa balik kampung, ma bertegas tak bagi buka TASKA. Ma tunjuk iklan DPLI. Ma suruh minta.

At that time, aku dan abang dah berbelah bagi nak buka TASKA tu. Yang mana lebih penting. Kepuasan diri sendiri untuk dunia, atau keredhaan ma untuk akhirat. Kalau orang lain yang larang mungkin tak tinggal kesan pun, tapi, ni ma yang larang. Ma tu jadi orang nombor satu yang mesti dipatuhi selepas Allah dan Rasulullah. Serba salah dibuatnya.

Setelah berfikir dengan mendalam, aku dahulukan ma. Mungkin dengan mematuhi cakap ma, perjalanan hidup kami sekeluarga lebih diberkati Allah dan dipermudahkan segala urusan. Alhamdulillah, sejak apply hingga dapat keputusan kemasukan untuk DPLI, segalanya berjalan lancar. Mungkin dengan menjadi guru, suatu hati nanti aku boleh menjadi pensyarah, seperti Pak Su.



Namun, keinginan untuk buka TASKA dan TADIKA sendiri masih terpendam di sudut hatiku.

Thursday, November 15, 2007

Haji Mabrur...

Alhamdulillah, ma dan ayah telah selamat berlepas dengan penerbangan jam 1.30 petang tadi ke Madinah bagi memulakan perjalanan menunaikan rukun Islam kelima. Aku masih ingat ketika ayah sakit kuat dan terlantar di HUSM hingga terpaksa amputasi dilakukan ke atas kaki kirinya. ketika itu, ayah amat berharap dapat pergi menunaikan haji. Alhamdulillah, kini ayah dalam perjalanan dan semakin menghampiri saat yang dinantikan dan diharapkan.

Yang tinggal di sini, anak-anak, kaum keluarga, sahabat-handai, semuanya mendoakan agar kedua-duanya khasnya dan seluruh umat Islam yang bakal menunaikan haji bersama-sama amnya, dipermudahkan oleh Allah dalam usaha menunaikan ibadah haji.

Ketika menghantar ma dan ayah di lapangan terbang Pengkalan Chepa 6.30 pagi tadi, suasana pilu menguasai keadaan. Aku lihat saudara mara yang ada merah mata mereka. Abang juga turut mengalirkan air mata. Aku kawal perasaan. Walaupun aku baru dua tahun berada dalam keluarga ini, namun sebak melanda diriku tatkala bersalaman dan berpelukan dengan ayah dan ma. Ma minta aku jaga rumah baik-baik. Ayah tak cakap apa-apa. Tapi, ayah dah bercakap panjang dengan abang malam semalam. Ayah dan ma kelihatan tenang.

Ya Allah selamatkanlah perjalanan pergi dan pulang Siti Haja bt. Said dan Fauzi b. Ag. Hamat ke tanah haram Mu, dalam usaha menunaikan perintahMu dan beribadah kepadaMu. Permudahkanlah urusan haji mereka, dan kurniakanlah mereka haji yang mabrur. Sesungguhnya tiada sesuatu pun yang terlepas dari pandanganMu, segala-galanya atas ketentuanMu, dan hanya kepadaMu lah kami berserah. Ya Allah yang maha mengetahui lagi maha pengasih dan penyayang. Perkenankanlah doa kami.

Wednesday, October 17, 2007

Bahagia...






1 Syawal 1428 H

Aku sembahyang sunat hari raya di Masjid al-Husna. Tak bawa Aqilah sebab dia kurang sihat. Hujung lidah dia ada ulser. Dia takleh nak makan. Bila makan je, nangis. Sakit. Jadi, perut lapar, sakit, maka mood pun tak molek. Tapi Alhamdulillah dia masih mampu tersenyum comel dengan berbaju kurung dan bertudung di pagi hari raya. Tudung tu kejap je. Tak sempat habis sesi bergambar, dah dok tarik tudung.

Dalam pukul 11.30 pg, kami bertiga ke HUSM melawat tok saudara yang sedang sakit tenat. Jumpa dengan keluarga abang di sana, terus beraya dengan mereka di hospital. Destinasi seterusnya ialah Bukit Abal, rumah saudara mara di sebelah ayah aku. Alhamdulillah dapat bertemu dengan saudara mara terdekat. Gembira rasa hati walaupun pertemuan hanya seketika. Adik beradik ayah aku ada 21 orang. Tapi taklah dapat berjumpa dengan semua. Jumpa dengan ayah Pa, ayah Lek, che Mah, che Nie, che Su, che Nik dan keluarga masing-masing, itupun dah cukup berbaloi. Lepas Asar, terus balik Jerteh. Aqilah dah muntah dan merengek-rengek. Kesian kat dia.


2 Syawal 1428 H

Lan (adik abang) nikah di Kampung Kerawang, Pulai Condong. Rombongan lelaki berpakaian bertema warna hijau. Aqilah pun tak ketinggalan dengan gaun kain net dan berbunga-bunga. Bila dia merangkak je, gaun pun koyak. heee... (^_^) Apa boleh buat, gaun murah je.

Balik dari 'bek woh' kat Pulai Condong tu, semuanya lembek, degum, jatuhkan kepala atas bantal, terus tido. Esoknya (3 Syawal), 'bek woh' kat Jerteh pulok. Apalagi, petang tu, lepas Asar, semuanya bertungkus lumus menyiapkan persiapan yang sememangnya baru 30 % siap. Aku ditugaskan menghias bilik pengantin. Dengan keadaan Aqilah yang kurang sihat, memang aku rasa agak tertekan. Tapi aku teruskan membuatnya sorang diri. Maklum le, aku sorang je anak perempuan (menantu) setakat raya kedua tu. Takde sape lagi yang boleh diharapkan. Masa aku kahwin dulu, kawan-kawan Ma yang tolong buat bilik pengantin. Tapi masa nak dapat menantu kedua ni, musim raya. Orang lain semua fully occupied. Malam tu aku tido pukul 2 pagi.


3 Syawal 1428 H

Awal pagi lagi, pelbagai tugas sedang menunggu. Buat bunga manggar, bunga rampai, siapkan meja pengantin, buat skirting kat meja lauk. Urgh... tak menang tangan rasanya. Semuanya nak kena disiapkan sebelum jam 12 tengahari. Alhamdulillah, walaupun Aqilah kurang sihat, dia masih boleh dipegang oleh orang lain. Tok ayah, nyang, ayah cik, ayah su, dok layan dan dukung Aqilah. Takdelah aku tertekan dan letih sangat. Lepas siap entertain pengantin, maka selesailah tugas aku. Bolehlah aku layan Aqilah sepenuhnya. Nampaknya dia dah semakin sihat. Dah dapat makan sikit walaupun dahi berkerut. Dah mula bermain dengan kanak-kanak lain. Dapat gelak bila bergurau dengan dia. Lepas Maghrib, ingat nak tidurkan Aqilah je, tapi aku tertidur sekali. Bila terjaga, rumah dah gelap, tengok jam dah pukul 12.00 tengah malam.


4 Syawal 1428 H

Aqilah dok makan macam-macam dari pagi. Pengantin dok buka hadiah, dia dok makan biskut, buah, rempeyek, popia gulung dan macam-macam. Bila dia dapat makan, perut kenyang, maka dia akan tersengeh sokmo dan mula membuas. Bergerak ke sana ke mari. Kalau beberapa hari sebelumnya, takleh letak dia kat bawah, kali ni, dia taknak di pegang. Dia nak bermain dan membuas di bawah.

Sepagi mengemas, tengahari entertain tetamu, lepas Asar balik KB sebab Ijah (adik aku) nak balik Shah Alam malamnya. Lepas hantar Ijah naik bas, kami bertiga cari kedai, nak makan nasi. Malangnya, kedai yang ada jual nasi semuanya penuh dan sebahagian lagi belum dibuka. Maka terpaksalah kami makan roti canai je malam tu.


5 Syawal 1428 H

Masa untuk jalan beraya ke rumah rakan-rakan. Pagi, 2 buah rumah. Petang, bermula 3 petang, 3 buah rumah dan makan malam di Pizza Hut (Lan belanja). Sampai rumah pukul 10 malam. Kepenatan. Aqilah very good. Dia jumpa ramai kawan. Dok sengeh dan suka sokmo.

Gembira dapat berjumpa kawan-kawan. Menautkan kembali silaturrahim yang renggang, memperkenalkan pada ahli keluarga baru. Masing-masing mengira anak dan berbicara soal realiti kehidupan. Dapat juga bertukar pandangan, pendapat dan berita terkini.

Friday, October 12, 2007

Kenangan Ramadhan

Alhamdulillah... Bulan Ramadhan yang telah berlalu dapat dahayati dengan sederhana. Aku belum berpuas hati dengan amalan yang aku dapat lakukan setiap kali Ramadhan menjelang. Sepatutnya tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadhan sahaja. Tapi, pada bulan-bulan lain dah tak buat amalan, apa salahnya masa bulan Ramadhan, ketika Allah memberi peluang untuk berpesta ibadah, kita pakat ramai-ramai meningkatkan amalan kita. Taklah kerugian sangat. Aku doakan agar dapat bertemu dengan Ramadhan akan datang dan dapat meningkatkan amalan. InsyaAllah... (moga Allah memberiku kesempatan dan kekuatan)

Sepanjang Ramadhan yang lepas, hampir setiap hari aku berbuka puasa di Masjid Triang. Ku kelek bersama si kecil. Alhamdulillah, 'Aqilah tak buat hal yang pelik-pelik. Dia cukup mudah dikawal. Letak di duduk di sebelah aku, bagi makanan kat tangan dia. Dia tak kacau ler aku makan. Lepas tu masa solat Maghrib berjemaah, pandai-pandailah dia bawa diri. Takde lah dia mengacau aku solat, dan tak pula menangis meraung-raung. Cuma bila time solat Isya' dan solat Tarawih, aku kena ikut mood dia. Kalau masa tu mood okey, boleh le aku solat sampai selesai. Kalau dia ngantuk, ade ketikanya aku hanya bersolat Isya' secara berjemaah. Dan ada ketikanya aku bersolat Isya' di rumah.

Aku perhatikan, 'Aqilah mudah bergaul dengan kanak-kanak lain. Malah, dia suka berkawan dengan orang yang pandai berkawan dengannya (orang yang tak cubit-cubit dia, tak sentuh-sentuh dia, tak angkat dia, tak halang pergerakan dia). Kalau tak pun, dia buat hal dia sendiri. Main sorang-sorang, dok merangkak celah orang solat, dok main dengan tabir pemisah lelaki dan perempuan, dok main beg. Tapi takde lah sampai mengganggu jemaah nak bersolat. Biasanya aku solat di saf belakang sekali supaya dia tak menyelit celah jemaah-jemaah lain dan mudah untuk dia cari aku.

Hasilnya, kini kalau aku dok tengah solat, dia tak datang kacau aku. Kalau dia dok tengah merengek, bila tengok aku solat, pandai pulak dia berhenti merengek kejap. Tapi, pahtu sambung balik bila tengok aku selesai solat. Ada satu ketika, aku dok solat Asar. Masa tu dia tido, Tetiba dia terjaga. Dia tengok aku, pahtu dia sebut 'bahyang' (dengan makhraj kanak-kanak), kemudian dia lentokkan semula kepalanya. Aku akan tersenyum sendiri bila terkenang peristiwa tu. Dia macam faham sangat apa yang aku lakukan dan apa yang dia perlu buat. Mungkin dia betul-betul faham. Maklum le, solat diulang sokmo lima waktu sehari semalam.

Salam Aidilfitri


Salam Aidilfitri buat semua umat Islam tak kira di mana jua berada. Moga Aidilfitri ini memberi seribu satu kerahmatan dan keinsafan dalam diri kita. Jangan lupa solat sunat tasbih pada malam hari raya. Bersama-samalah kita menginsafi rahmat Allah yang telah memberi kita peluang mengejar pahala ibadah sepanjang bulan Ramadhan yang mulia. Kemaafan juga dipohon andai ada tersilap laku, terkasar bahasa.

Terus Berusaha

Macam-macam aktiviti yang menarik telah dilakukan oleh si Hannan 'Aqilah yang begitu mencuit hati. Antaranya usaha untuk turun dari katil. Sekarang ni dia dah expert dah. Masa mula-mula ajar dia turun katil dulu, dia ada mencuba pelbagai teknik. Antaranya melalui bakul yang penuh kain.


Muka-muka Si Manjaku

Marilah bermain bola dengan 'Aqilah.

Muka-muka nakal. Suka pandang dengan jelingan nakal.

Ni ustazah nak ajar. Anak-anak kena menghormati cakap kedua ibubapa.

Wajah yang bersih suci, yang pasti menagih simpati. Mengapa ada manusia yang sanggup mendera fizikal dan emosi serta membuang kanak-kanak lain yang comel seperti si manjaku. Mereka itu semua syaitan bertopeng manusia.

Kawan-kawan 'Aqilah kat TASKA semua geram tengok 'Aqilah comel sangat bila pakai tudung.


Mampukah aku tinggalkan si manja ini jauh dari pandanganku selama setahun. Beberapa jam berpisah, aku sudah resah gelisah. Tak dapat kubayangkan andai terpaksa berpisah selama setahun. Tapi, andai keadaan mendesak demi masa depan kami sekeluarga, apakan dayaku. Luluh jiwa rasanya...

Memori Terindah

Lilypie2nd Birthday Ticker


Lama sungguh tak update blog. Rindu sungguh kat blog ni. Acap kali gak nak update, tapi sering kali hasrat tak berkesampaian.

Masa birthday 'Aqilah yang pertama, aku memang ingat nak pegi CC. Nak update blog dengan cerita-cerita 'Aqilah. Masa tu, rasa nak beritahu seluruh dunia bahawa anak manjaku telah berusia setahun. Di dah besar. Tapi masa tu, 'Aqilah tak berapa sihat. Dia selesema. So, takleh nak tinggal pun. Dia nak sentiasa berada dekat dengan aku. Dok merengek. Kesian, anak manjaku tak sihat di hari ulang tahunnya yang pertama. Tidurnya pun tak cukup. Kesian dia.

'Aqilah dah berusia setahun dua minggu. Tak sangka sungguh. Begitu cepat masa berlalu. Dah setahun usia anak bonda yang comel dan bijak ni. Mulut dia makin becok mengeluarkan patah-patah perataan. Kadang-kadang tu, perkataan yang keluar kedengaran seperti singkatan perkataan yang boleh difahami seperti 'bahyang' - singkatan untuk sembahyang, 'ayah', 'tak nak' dan lain-lain. Cuma kejelasan makhraj huruf tu belum betul-betul tepat. Kalau dia bercakap, siap dengan memek muka, goyangan badan dan gerakan tangan. Bila dengar bunyi muzik dan lagu, badannya digoyang-goyangkan sambil tersengih comel. Eiii... geram menengoknya. Dia suka sangat tengok iklan tv. Masa iklan, jangan dipanggil, dicuit, dia takkan layan. Matanya terus terpacak kat tv. Tahu pulak dia waktu iklan ke udara. Dok tengah main-main masa cerita atau rancangan-rancangan tv dikeudarakan, bila time iklan je, terus berhenti main dan ternganga mulut tengok iklan. Lagi satu, she likes to watch 'Ipin dan Upin' very much. Tak berkelip mata tengok kartun tu.

Gigi 'Aqilah dah ada empat batang. Tumbuh sekali gus. Mula-mula gigi bawah, tak tumbuh elok lagi, dua tiga hari lepas tu tumbuh gigi atas pulak. Tak tumbuh molek lagi, kat gusi atas tumbuh gigi ketiga. Beberapa hari lepas tu tumbuh gigi yang keempat kat bahagian bawah. Tu yang air liur 'Aqilah bercucuran keluar dari mulut sejak sebulan kebelakangan ni. Dia pun nampak agak tersiksa. Masa tumbuh gigi kedua tu, dia demam tiga hari. Lepas tu selesema dan batuk plus sakit tekak. Poor little girl.

Dah ada gigi, apa lagi. Bondalah yang selalu jadi mangsa gigitan. Tengah berlingkar kat bonda, tiba-tiba... kraaak, adoi! Sakitnya 'Aqilah gigit bonda. Tangan, telinga, dagu, perut, bibir, habis semua jadi mangsa gigitan 'Aqilah.

Sampai saat ini, 'Aqilah belum boleh jalan, dia baru tengah menstabilkan badan masa berdiri sendiri. Mmm... tak sabar rasanya nak tunggu 'Aqilah boleh berjalan. Terkedek-kedek. Dah lama terbayang di ruangan mata bonda.

Thursday, July 05, 2007

Bising Bango

Pening... pening...

Aku kat cyber cafe sekarang. Dah lama tak jenguk cyber cafe. Dulu, masa belajar kat UM ade gak gi CC. Tapi tu kat UM. Takle bising macam ni. Takde pon orang main game. Ni, kiri kanan dok main game. Gedegang... gedegung... Depa ni datang CC untuk main game je gamaknye. Yang ramainye bebudak sekolah.

Takde la aku nak buang masa main game. Banyok lagi kerja yang berfaedah. Kain kat rumah tak lipat lagi. Esok nak gi KL, tak kemas beg lagi. Esok nak gi jumpa lecturer, tak edit lagi disertasi yang separuh siap.

Aku dok upload file utk attach dalam e mel, nak bagi mak. Lambat pulak prosesnya. Tak tahan dah sebenarnye dok sini. Dah le aku sorang perempuan. Sabar je laa...

Thursday, June 07, 2007

Cepatnya Masa Berlalu

Indah alam terbentang. Bergambar kenangan di Negeri Jelapang Padi.

Meraikan sahabat yang berkahwin.


Sekejap je rasa cuti sekolah ni. Hari ni dah hari Khamis. Tiga hari lagi dah kena balik Triang. Rasa tak puas lagi berada dalam kemesraan keluarga. Macam-macam perkara buat dalam cuti ni. Adik ipar aku bertunang 2 Jun lalu, aku tolong jahit lapit par, tolong buat hantaran. Setiap hari terisi penuh. Abang pulak jadi fasi kat KUSZA. So, seminggu pertama berlalu dengan begitu pantas. Hari Ahad malam, kami sempat ke Kedah, menghadiri majlis perkahwinan sahabat di UM dulu. Balik semula ke Jerteh hari Isnin malam.



Tok Ma yang baik hati. Sentiasa menurut kehendak 'Aqilah. Kesian Tok Ma kena angkat 'Aqilah sokmo. 'Aqilah kena sentiasa berbuat baik dengan Tok Ma tau.

Ayah Cik pun selalu layan 'Aqilah.

Haaa... Ini ayah Ngah. 'Aqilah paling suka main dengan ayah Ngah. 'Aqilah main kereta, main macam-macam mainan dengan ayah Ngah.

Thursday, May 31, 2007

Lilypie 1st Birthday Ticker

Merangkak dan merangkak lagi.

Klip video ni masa 'Aqilah baru belajar merangkak. Sekarang 'Aqilah dah boleh merangkak. 'Aqilah sedang giat memanjat. Dapat berdiri, lepas tangan. Kononnya nanti ade orang sambut. Adelah ketikanya 'Aqilah jatuh terlentang. Gedegum... waaa...


Tuesday, May 29, 2007

Sakit

Macam mana perasaan ibu yang anaknya sakit terlantar di hospital?

Sayu, sedih, kasihan. Tentu semua tu tak terkata, tak terluah dek perkataan. Semuanya bercampur gaul menjadi satu. Sampai satu tahap, tiada apa yang menjadi milik si ibu, melainkan segalanya dikorbankan untuk si anak.

Apa yang menimpa aku baru-baru ni hanya sekelumit cuma. Satu malam tu, 'Aqilah menangis lebih kurang jam 1.20 pagi. Aku angkat dia duduk atas pangkuanku. Seperti biasa dia meronta-ronta, tendang-tendang kaki. Entah macam mana, aku tersalah pegang tangan dia. Maybe kasar sikit. Aku pun masa tu tengah separuh sedar. Tetiba 'Aqilah nangis kuat. Aku pujuk, bagi susu, tak jalan jugak. Ayahnya ambil. Pujuk punya pujuk, diamlah 'Aqilah di pangkuan ayahnya.

Aku perasan satu perkara, tangan kanan 'Aqilah macam sakit. setiap kali tangan kanannya digerakkan atau diangkat, dia akan menangis kuat, menangis kesakitan. (Setiap ibu pasti tahu jenis tangisan anak-anaknya - lapar, sakit, nakkan perhatian). Aku dah mula panik, diterpa rasa bersalah. Ya Allah, ape yang aku dah buat pada anak aku ni? Ya Allah, kesiannya 'Aqilah. Air mata aku dah mula meleleh. Abang suruh aku bertenang, bersiap, nak bawa 'Aqilah pegi hospital.

Jarak rumah aku ngan hospital Temerloh lebih kurang 40 km. Lebih kurang pukul 2 pagi, kami bergegas ke Hospital Temerloh, bahagian kecemasan. Abang bawak kereta berhati-hati supaya tak terjun lubang. Bergegar kuat sikit tangan 'Aqilah, dia mula nangis. Masa tu perasaan aku berbaur. Tak tahu nak buat ape. Fikir balik, betul ke tindakan kami ni? Tapi, takkan nak tunggu pagi esok. Manalah tahu kalau ada patah tulang ke kat mana-mana bahagian. Lagi teruk kalau bertangguh. Nak urut tangan 'Aqilah pun, dia dalam keadaan kesakitan. Pahtu tak tahu ape yang cedera kat tangan dia.

Sampai kat wad kecemasan, lama juga tunggu doktor. Bila doktor cek. Doktor angkat je tangan kanan 'Aqilah, dia terus menangis kesakitan. Tangan kanan tu pun nampak terkulai. Doktor suruh gi x-ray. Keputusan x-ray menunjukkan tiada sebarang tanda yang negatif. Pastu doktor suruh ambil darah. Masa misi ambil darah, 'Aqilah nangis tak berhenti. Matanya tengok aku, minta simpati. Aku dok pujuk dia. Aku nyanyi Twinkle Twinkle Little Star. Tapi, dan sekerat je. Aku dok tahan sebak tengok 'Aqilah terus je mengalirkan air mata. Kesian sangat tengok mata dan suara tangisan 'Aqilah yang merayu. Hati aku luluh. Kesiannya dia. Sampai satu tahap, hatiku geram, marah kat misi tu. Apesal le lambat sangat amik darah 'Aqilah ni.

Lepas ambil darah, kena di x-ray sekali lagi pulak. Risau jugak baby kena x-ray banyak kali. Nanti ade effect pulak. Lepas x-ray kali kedua, tetiba je 'Aqilah gerakkan sendiri tangan dia yang sebelum ni terkulai. Bila letak atas katil, 'Aqilah dah mula meniarap, merangkak. Eh, magic. Tangannya dah ok. Macam takdek ape-ape berlaku. Tak nangis dah. Suka suka je memanjang. Orang ulit dia suruh tido. Dia cakap cakap banyok pulok. Masa tu lebih kurang pukul 4.30 pagi. Alhamdulillah.

Bila result darah keluar, doktor kata, dalam darah dia ada kuman. Maybe ade jangkitan kuman pada sendi menyebabkan rasa sakit. Tapi doktor tak tahu dengan tepat bahagian yang terkena jangkitan tu. Doktor advice kalau ade sebarang bengkak pada mana-mana sendi dan 'Aqilah demam, bawa dia datang semula ke bahagian kecemasan Hospital Temerloh. Setelah segala prosedur selesai. Kami meninggalkan halaman hospital jam 6.05 pagi. Hari tu, aku dan abang cuti kecemasan. Semalaman tak tido, kepala pun terasa berat.

Alhamdulillah, 'Aqilah sihat. Semalam birthday 'Aqilah yang ke 8 bulan. Beratnya 8.6 kg. 'Aqilah dah merangkak dengan kelajuan sederhana. Dah memanjat. She's brave. Bila panjat, pegang dengan satu tangan je. Pahtu ape lagi. Gedegum le terlentang ke belakang. Badan besar. Kaki kecil. So, bila berdiri tak stabil lagi.

Pengajarannya : Aku tak boleh panik sangat kalau something happen to 'Aqilah, espacially. Bila panik, aku jadi tak tahu nak buat ape. So, relax and think rasionally.

Tuesday, May 01, 2007

'Aqilah dan Ayah

Perrgghh... nampak macho. Tapi perempuanlah. Control cute ye, 'Aqilah.

Ishk... silaulah. Bukak spek hitamlah.

Alahai anak manja ayah ni. Kesian dia, hidung tersumbat, tak selesa. Nak tido lagi ye...

Haaa... dah tido pun anak ayah ni.

Sunday, April 29, 2007

'Aqilah dah 7 bulan

Cantiklah kereta ni. Sedap tak rasanya? Cuba masuk mulutlah kejap.



Nyam... nyam... hmmm... sedapnya biskut baby ni. Lembut dan cair bila masuk mulut 'Aqilah. Kalau biskut kering tu keras. Sampai terlekat kat tekat 'Aqilah dibuatnya.


Anak bonda, kalau ketawa memang galak dan comel sangat.


Percubaan untuk merangkak. Usaha sedang giat dijalankan.


Mac 2007 (6 bulan) - Awal bulan dah rancak bergolek. Meniarap, terlentang. Meniarap, terlentang. Ruang tamu dijelajah dengan cara meniarap, terlentang. Mengengsot ke belakang.

April 2007 (7 bulan) - Awal bulan dah pandai mengengsot ke depan. Tengah bulan dah start angkat punggung. Belajar merangkak. Kadang kala tersembam muka sebab kaki gerak tapi tangan tak gerak. Yang paling menarik, dok tengah rancak geleng kepala. Sampai orang yang tengok pun naik pening. Geleng... geleng... geleng... dan geleng lagi.

Mulut 'Aqilah sekarang becok dok cakap bahasanya. mmaa... mmaa... ppaa... ppaa... aaii... yyah... bbaa... bbaa... dan entah ape perkataan lagi yang keluar dari mulutnya. Bila orang lain berborak sesama mereka, dia pun sibuk pot pet... pot pet... jugak.

Mampukah aku???

Pencalonan master aku akan tamat pada Jun 2008. Ade lebih kurang setahun je lagi. Tapi progres penulisan aku tak begitu memberangsangkan. So, now, by hook or by crook, I have to finish my disertation by the end of this year. Lepas tu nak kena bentang kat lecturer pulak. Kalau ade pembetulan, kena betulkan. Kalau tak siap hujung tahun ni, macam mana aku nak lulus. Aku takleh jadikan 'Aqilah sebagai alasan.

Bila aku dah kerja ni, semangat aku nak habiskan master ni semakin membara. Badan cergas, otak jalan. Bila dah bersosial, semangat pun mula naik. Antara strategi aku buat masa terdekat ni, pukul 2.30 ptg hingga 5.30 ptg aku tinggalkan 'Aqilah kat Ummi Piah. Aku telah tetapkan jiwa aku, "Kesian kat 'Aqilah duduk ngan orang lain. Aku kena gunakan masa ni untuk buat disertasi ni. Kalau aku tak buat, maknanya aku telah mengkhianati 'Aqilah". So far, semuanya berjalan dengan baik, Alhamdulillah.

Sejak aku tinggalkan 'Aqilah kat Ummi Piah, aku rasa kesian sangat kat 'Aqilah. Rasa, masa aku dengan puteri kesayangan aku ni begitu terhad. Tak puas hati rasanya tak tengok 'Aqilah depan mata sepanjang masa. First week, aku dok terngiang-ngiang suara 'Aqilah masa tengah buat kerja. Tu baru je berpisah 3 jam.

Aku takleh bayangkan betapa ibubapa yang sibuk bekerja hingga terabai kasih sayang pada anak-anak. Tak semua begitu. Tapi sesetengah tu, orang jaga anak @ pembantu rumah yang lebih memahami kerenah anak daripada si ibu sendiri. Yang lebih kronik bila si ibu gelabah nak mandikan anak, basuh berak anak bila pembantu rumah tak ade. Tu yang anak semakin liar dan jauh dari rumah. Tak rasa ikatan dengan ibu bapa. Sebab sejak kecil mereka disisihkan, dibiarkan, ditinggalkan kepada pembantu rumah. Kesiannya anak-anak kecil ni. Alangkah bahagianya dapat melihat anak membesar di depan mata. Tahu segala kerenah dan kemanjaan si kecil yang comel.

Kalau orang tanya aku pendapat tentang wanita bekerja. Bagi aku, boleh dan teruskan. Tapi biarlah kerja yang sesuai dan berpatutan yang tidak mengabaikan keluarga. Cita-cita memang setinggi gunung. Tapi lebih indah dan gemilang cita-cita itu sekiranya ia seiring dengan kekeluargaan yang teguh. Teguh iman, teguh keluarga, teguhlah agama dan negara.

Ewaahh... mudahkan memberi pendapat? Maka ia mesti disusuli dengan usaha sendiri. SELAMAT BERJUANG buat diri sendiri.

Saturday, April 28, 2007

'Aqilah, 'Aqilah, dan 'Aqilah lagi...

Hari ni birthday 'Aqilah yang ke tujuh bulan. Dia semakin aktif. Nak duduk atas orang, tapi tak duduk diam. Kalau dok atas lantai, semua bersih 'Aqilah sapu, kutip, masuk mulut. 'Aqilah paling minat pada kertas, buku. Kalau tengok orang makan, mulutnya terpecap-pecap, air liur meleleh, mata bulat. Tengah makan, mulutnya berbunyi... mmm... sedapnya (^_^) (^_^)

Geram sangat kat 'Aqilah. Dia dah start kenal orang. Bila balik rumah tok ma, rumah indewan, dia tengok semerata rumah, semua isi rumah, sebelum dia boleh accept suasana baru. Kalau tak, dok nak merengek je atas bonda. Kat bawah ni ade video 'Aqilah masa 6 bulan.

Berat 'Aqilah masa 6 bulan mencecah 8 kg. Sepanjang bulan 4, 'Aqilah dok demam, selesema, batuk. Sakit 3 hari, sihat 4 hari, pastu sakit balik. Macam tu le berterusan selama 3 minggu lebih. Minggu lepas, selepas 3 kali jumpa doktor, doktor bagi antibiotik. 2 kali minum ubat, badan 'Aqilah naik bintik-bintik merah ruam. Aku start confuse. Dia allergy ngan penicillin ke? Sekali lagi gi klinik. Doktor kate, maybe 'Aqilah allergy. Tak confirm pun. Tapi doktor nasihatkan lebih baik anggap allergy supaya boleh berjaga-jaga. Kalau nak confirmkan kena gi cek kat pakar kulit.

So, dengan masalah kesihatan dan keaktifan 'Aqilah, aku jangkakan beratnya menurun atau maybe tak berubah.


Sunday, April 08, 2007

'Aqilah masa 5 bulan setengah







Gambar-gambar 'Aqilah yang semakin membesar dan comel. Membuatkan bonda dan semua orang geram tengok saya...
Posted by Picasa

Saturday, March 03, 2007

Thanks to Kak D

Honey tak berape molek untuk baby??? Oh... gitu rupanya. Terima kasih atas saranan dan panduan Kak Dilah. Memang aku agak malas nak masak untuk 'Aqilah. Mane taknye. Masak bukan main lagi. Takle banyak pun. Ade la dalam sejemput beras. Tapi makannya ciput. Yang lain semua tohok buang. Terasa jugak aku membazir gas dan letrik (nak blend bubur). Rupa-rupanya ade cara untuk bagi makanan tu tahan lama. Hmmm... good idea. Lepas ni boleh le aku cuba.

Aku dah kerja. Kerja kat TASKA. Mengajar tadika waktu pagi, petang kelas KAFA, malam tusyen. Semuanya di taska tu. Aku memang axcited dengan kerja ni. Walaupn perolehan tak banyak, kerja yang meletihkan. Tapi ia bagi aku, adalah satu permulaan untuk aku buka tadika sendiri. Taska tu baru dibuka 2 tahun. Tahun ni masuk yang ketiga. Pengurusannya tak berapa baik. So, aku ambil kesempatan ni untuk bersama-sama dengan pengurus taska tu memperbaiki kekurangan di taska tu. Sedikit sebanyak aku akan timba pengalaman yang amat berguna untuk aku start perniagaan aku sendiri. Aku ade berbincang dengan abang, nak buka syarikat. Then ambil alih taska, letakkan bawah syarikat. Tapi belum bincang lagi dengan pengurus taska tu. Doakanlah agar segala usaha kami akan beroleh kejayaan dan keberkatan.

Yang amat menarik dan penting. Di taska ni ade tadika dan tempat mengasuh. Mudahnya, aku mengajar di bilik sebelah, 'Aqilah duduk di bilik sebelah lagi. Haaa... kan mudah. 'Aqilah membesar di depan mata. Tak le susah hati aku kalau 'Aqilah berjauhan. Dan 'Aqilah pun boleh bersosial. Walaupun pada peringkat awal ni dia macam tak tentu hala. Kalau biasanya 'Aqilah kurang merengek. Boleh golek-golek kat bawah. Tapi, dua hari di taska, dia tak berapa nak duduk bawah. Tapi aku masih boleh mengajar dengan baik sebab dia tido sampai pukul 11 (kelas tadika tamat jam 11 pagi). Lepas tu, aku masih boleh mengawasi budak-budak sambil dukung 'Aqilah. Bab tengok orang lain bermain, 'Aqilah memang suka. Kengkadang dia gelak dan menjerit-jerit seolah-olah turut sama bermain. Insya Allah dia akan bertambah biasa dengan keadaan di taska tu.

Love 'Aqilah very much...

Tuesday, February 20, 2007

Makan oh Makan...

'Aqilah kalau tengok orang makan, matanya tak berkelip. Mulut kengkadang tu terpecap pecap jugak. Dai dah nak makan ke? Hari nie, tujuh hari lagi 'Aqilah genap 5 bulan. Dah besar anak aku. Rasanya kengerian melahirkannya masih terngiang-ngiang di ingatan. Sekarang 'Aqilah dah bertambah tembam dan comel. Semua orang geram tengok dia. Terutama pipi 'Aqilah yang putih dan gebu. Macam kuih pau. Heeee... (^_^)

Masuk je empat bulan hari tu, aku ade cuba suap makanan. Hari pertama, bubur ikan. Tak sedap, ditolak. Hari kedua, bubur ayam + carrot + kentang + madu. Sedap, makan separuh. Tapi lepas tu muntah banyak. Hari ketiga, nestum Nestle. Sedap, tapi ditolak. Hari keempat, nestum Nestle. Sedap, makan. Tapi muntah dengan banyaknya masa tengah tido. Masa bagi tu pun dia tengah ngamuk-ngamuk di tengah malam. Maybe lapar, tapi bila diberi susu, tak moh. Bila suap makanan, makan pulak. Lastly, tertido dengan nestum masih di mulut. So, muntah banyak tu mungkin sebab tak sendawa dan angin dalam perut dok tolak makanan. Hari kelima, bubur ayam + carrot + madu. Sedap, tapi ditolak. Bagi sikit, muka jueh jueh, pastu muntah. Lepas daripada tu aku langsung tak bagi makan. Actually aku pun tak bersedia lagi nak kurangkan breast feeding.

Malam ni, ayah su bagi 'Aqilah makan Milupa rusk. Sedap, dan 'Aqilah makan hampir kesemua sekeping rusk. Banyak jugak tu. Tak tahu le macam mane. Tapi sejak lepas makan pukul 10 malam tadi, hingga 12.46 tengah malam ni, Alhamdulillah takde muntah lagi. Maybe angin dalam perut dah keluar masa makan tadi. Sebab dok tengah sedap makan, tetiba bunyi 'Aqilah kentut.

Apepun, aku akan terus berusaha bagi 'Aqilah susu ibu hingga dia berusia dua tahun. Kalau boleh taknak campur ngan susu lembu pun. Boleh ke???

Ape khabarlah sepupu aku yang nun jauh di UK dan anaknya Fahim dan Faris? Lama aku tak dengar cerita mereka. Blog pun tak update. Rindu rasanya nak tahu perkembangan si Faris montel tu. 'Aqilah dah boleh meniarap dan bergolek terlentang semula. Agak lambat juga berbanding kawan seusianya yang dah boleh meniarap sejak berusia 3 bulan lagi. Maybe sebab tubuhnya berat. Tu yang tak berapa nak golek-golek. Kata mak aku, 'Aqilah malas. Heeee... (^_^)

Itulah anak aku yang comel...

Rasa Nak...

Keinginan untuk update blog membara. Sekarang aku kat rumah che' su (adik ayah aku) kat Alor Gajah. 'Aqilah dah tido. Tadi dah suap Milupa rusk. Dah kekenyangan. Moga tidonya malam ni selena-lenanya. Dan bangkitnya 'Aqilah pagi esok dengan penuh keriangan.

Hari nie perjalanan baru buat 'Aqilah. Turun dari Triang sejak jam 7 pagi menuju ke Seremban 2. Keriuhan saudara mara kat rumah bakal saudara pak lang (sepupu aku) membingitkan telinga 'Aqilah yang selama ni hanya dengar suara ayah dan bonda. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Kg. Kota, Astana Raja bersama rombongan peminangan pak lang. Sekali lagi 'Aqilah dikerumuni dengan pelbagai suara. Lepas majlis, kami meneruskan perjalanan ke Alor Gajah. Lama betul 'Aqilah tido. Dari pukul 2.45 petang hingga pukul 5.45 petang. Biasanya kalau siang, jangan harap nak tido lama. Dapat tido setengah jam pun, kira ok. Keletihan agknya hari ni. Lagi pula masa dalam kereta, 'Aqilah muntah banyak.

Aku dah agak dah 'Aqilah akan berubah sikap bila di tempat yang ramai orang. Kalau kat rumah, biasanya waktu pagi adalah waktu riang ria 'Aqilah. Waktu pagilah masa yang paling mudah untuk dengar 'Aqilah bersuara dan mengekek bila diagah dan digeletek. Waktu pagilah masa yang mudah untuk tinggal 'Aqilah main berseorangan di depan tv. Tapi bile dah duduk tengah orang ramai, habis semua suka ria bertukar jeritan-jeritan yang nyaring. Kesian kat 'Aqilah. Maybe dia rimas dengan suasana ramai. Tapi kalau berterusan duduk memerap kat rumah je, bile pulak le 'Aqilah nak biasakan diri dengan orang lain.

Aku kesian jugak kat 'Aqilah sebab takde orang lain bermain dengan dia kat rumah selain aku ngan abang. Tupun abang amat sibuk kebelakangan ni. Bermesra dengan 'Aqilah seketika cuma. Dua tiga hari ni, che Jah (adik aku) ade. Adelah jugak muka orang lain yang 'Aqilah tengok. Aku nak jugak tengok 'Aqilah mudah bergaul dengan orang lain. Takle manja dengan aku je. Nanti susah hati aku kalau aku terpaksa tinggalkan dia dengan orang lain.