CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, December 16, 2005

Berhari-hari

Berhari-hari aku tak jenguk blog. Bukan taknak dan tak teringin. Tapi waktu dan kesempatan begitu terbatas. Selepas kenduri kesyukuran sempena perkahwinanku pada 3 dan 4 Disember lepas, tempat tinggalku tidak tetap. Kadang di rumahku di KB, kadang di rumah abang di Jerteh, dan kadang di HUSM.

HUSM??? Kenape pulak?

Sejak 27 Nov yang lepas, ayah mertuaku di tahan di wad HUSM hingga kini kerana penyakit kencing manis. Luarannya tampak sihat, namun luka dalam di bahagian kakinya telah memakan saraf dan tulang hingga ke paras buku lali. Kerana denyutan dan kesakitan, ayah demam kuat. Akhirnya, ma bertungkus lumus keseorangan membawa ayah dari Jerteh ke HUSM.

Keadaan luka dalam yang makin teruk mendesak para doktor membuat keputusan memotong kaki ayah setakat betis. 5 Nov yang lalu, ayah selamat dibedah dengan iringan doa isteri dan anak-anak yang setia menanti ayah sebelum dan selepas pembedahan. Semangat dan dorongan yang diberikan ternyata menguatkan jiwa ayah menghadapi ujian Tuhan ini. Sehingga hari ini, setiap hari kami perlu memberi kata semangat dan perangsang supaya ayah melawan penyakitnya dan berjuang untuk terus hidup.

Ujian ini bukan sahaja ujian untuk ayah. Ia juga adalah ujian untuk aku dan abang. Orang dok menyatakan kami berbulan madu di hospital. Hakikatnya bagiku, 'bulan madu' di hospital inilah yang mengeratkan hubungan aku dengan keluarga abang. Kalau ayah sihat, mana mungkin aku serapat ini dengan ayah. Dapat mengusap mukanya yang sayu, mengurut sekujur tubuh yang keletihan, memicit kepala yang rungsing. Ini semua nikmat yang Allah berikan padaku.

0 comments: