CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, November 27, 2005

5 hari

Rabu ; aku pergi Beranang, siapkan kerja kat KPM. Lepas tu amik abang pegi beli jam untuk hantaran. Lepas hantar abang sambung kursus untuk sesi petang, aku pegi rumah mak sedara kat PJ, amik cadar pengantin. Siap solat Zohor, aku teruskan perjalanan ke Sijangkang, Klang amik baju yang siap ditempah. Tak puas hati.

Baju tak seperti yang aku gambarkan masa tempah dulu. Sedih gak. Tapi, dah jadi. Nak buat camne. Takkan nak buat yang lain kot. Membazir... Sampai sekarang, aku takleh tengok majalah yang ade baju pengantin. Aku sedih, sebab baju pengantin yang aku impikan tak menjadi.

Sampai rumah pukul 5.30 petang. Terus 'pengsan' atas kerusi panjang. Letih gila. Dahlah puasa. Abang kate nak balik solat Asar kat rumah. So, aku pun baring sementara abang balik.

Khamis ; adik aku datang dr KB untuk meneruskan exam kertas terakhir esok. Aku tolong buka pagar. Eh, apesal ade tiga orang ni? Laaa... rupanya si kecik berdua ikut sekali. Nak bercuti kejap kat SA. (Sebenarnya nak tumpang tengok kartun kat TV - rumah KB takde TV) Gasak koranglah. Petang, gi UM hantar kad jemputan.

Jumaat ; layan adik-adik. Abang dah nak balik asrama malam ni. Esok abang exam untuk KISSM. Sedih, rindu bercampur baur. Good Luck sayang!!!

Sabtu ; hari yang memenatkan dan memeritkan. Penat ; berulang-alik SA - Zoo Negara, naik motor, kemas barang-barang untuk balik ke KB malamnya. Perit ; period pain, berpisah dengan abang untuk 4 hari.

Ahad ; hari ni aku dah ade kat KB. Rindu kat abang tak tertanggung. Aku kemas rumah seadanya. Mula list persediaan-persediaan yang belum di buat untuk kenduri hari Sabtu depan - cenderahati pengantin, bilik pengantin, papan tanda, hantaran...

Tuesday, November 22, 2005

Boringnye...

Aku boring duduk kat rumah. Sebelum ni aku pernah cakap kat abang, aku nak jadi suri rumah untuk sementara. Aku nak rest dulu. Taknak kerja lagi. Bila dah puas duduk rumah, baru nak kerja. Abang kata, abang benarkan dan galakkan aku kerja. Sebab, katanya, dia tahu aku takleh duduk diam kat rumah. Aku tetap dengan kedegilanku taknak kerja lagi buat sementara waktu.

Ha hah aha... Sekarang rasakan!

Baru je 2 hari aku duduk rumah. Aku dah rasa boring gile. Takde orang nak cakap ngan aku. Dengar radio, tak mampu menghilangkan kebosanan aku. Setiap ketika aku menunggu abang balik. Aku nak berborak. Nak cakap-cakap. Patut le ade orang yang biasa bekerja dan bersosial mendapat tekanan kemurungan bila menjadi suri rumah sepenuh masa.

Hari ni, aku buat kerja ntah ape-ape. Aku memperabiskan bateri kamera abang dengan snap scene2 yang aku rasa nak snap. Nak tengok kerja ntah ape-ape aku? Boleh... boleh... Lawati le My Love's Fotopages
.

Monday, November 21, 2005

Jalan-jalan

Lepas exam hari Jumaat, aku gi jalan-jalan hujung minggu. Hari Sabtu kami pergi rumah along, rumah ustaz, rumah kawan abang. Pergi shoping. Sampai rumah dah pukul 11 lebih (malam). Tapi aku suka, gembira. Memang aku kaki jalan. Masa sebelum kahwin, hari bekerja dan hujung minggu sama sahaja. Aku memang tak lekat kat rumah.

Hari bekerja, sibuk dengan kerja. Hari minggu, sibuk mengukur jalan sekitar lembah kelang. Kalau orang lain, hujung minggu di habiskan untukberehat di rumah. Tapi, tidak bagi aku. Masa free tanpa kerja yang menyesakkan jiwa ini aku gunakan sebaiknya untuk menziarahi rakan, keluarga, dan ukur pasar raya. Membelinya tak jugak.

Ahad, kami ajak beberapa rakan rapat makan tengahari di rumah Shah Alam. Baru le dapur kat rumah ni berasap. Kalau tak, setakat masak air je la. Opss... jangan kata aku tak reti masak. Aku boleh masak. Cuma tak pandai sangat dan sedikit malas. Heeee (^_^)

Puas hati tengok tetamu makan bertambah.

Posted by Picasa


Antara tetamu yang hadir...


Posted by Picasa


Bersama family Us. Nasrul

Thursday, November 17, 2005

Aaarrrgghhh...

Nak kate tensyen sangat tu, taklah. Tapi agak tertekan. My heart pounding very fast. Macam ler tak pernah masuk exam. Ntah ape-ape ntah. Hari ni aku macam tak tentu arah. Aku tak tahu le ape yang aku baca masuk dalam otak ke tak. Aku doakan aku diberi nikmat mengingati fakta yang aku baca.

Esok aku exam untuk subjek Karya-karya Utama Pengajian al-Hadith. Aku kena ingat karya-karya hadith seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta' Imam Malik, Kitab al-Zawa'id, Mustalah al-Hadith, Kitab Mukhtalaf al-Hadith, Sabab Wurud Hadith, Kitab Hadith Masyhur, Hadith Ahkam, dan macam-macam lagi yang berkaitan.

Contents yang aku kena ingat ialah biografi pengarang meliputi nama, tarikh lahir dan kematian, nama-nama guru dan murid pengarang, karya-karyanya, dan pengenalan yang berkaitan dengan kitab.

Huwa ha ha...

Takde benda yang mudah dalam dunia ni. Nak dapat akhirat pun susah juga. Tapi, kita kena ENJOY !!! Enjoy dengan segala usaha yang dilakukan.

Wednesday, November 16, 2005

Posted by Picasa


Pasangan bahagia
InsyaAllah berkekalan selamanya
Ya Allah, satukanlah hati kami dalam redhaMu

Tuesday, November 15, 2005

Akhirnya...

Ha ha ha... (^_^) aku tak start study lagi. Dari buka mata pagi tadi, aku dok mengadap komputer. Bila la nak start study ni??? Tapi, aku gembira sangat saat ini. Aku dah dapat cari sesuatu. Mencari "bahagia abadi" yang dah lama aku tercari-cari, terjenguk-jenguk.

Buat Syakirah, pelajarku di KPMB, terima kasih atas ucapan selamat. Saya juga doakan Kira berjaya dalam pelajaran dan dalam menempuh susah senang kehidupan. Kira, hidup tak semudah dan seindah yang kita rancangkan dan impikan. Namun, apa sahaja rintangan yang bakal kita hadapi, jangan berputus asa. Suka dan duka itu satu lumrah dan nikmat yang Allah berikan pada kita. Saya juga pernah gagal dan sedih. Tapi saya jadikan ia sebagai satu pengalaman manis dalam kehidupan. Yang mengajar saya menjadi semakin matang dengan kehidupan. Setiap hari dalam hidup kita adalah proses pembelajaran.

Memori KPM Beranang

11 November 2005

Air mata menjadi teman. Kisah duka, kisah gembira kehidupan merupakan satu lumrah.

Hari ini, sepanjang perjalanan dari Beranang ke Shah Alam aku menitiskan air mata. Aku tidak mampu menahan kesedihan. Kesedihan berpisah dengan Kolej Profesional Mara Beranang. Pelajar-pelajarnya, kakitangannya, guru-gurunya, dan rakan-rakan aku.

Ini adalah kali ke empat aku meninggalkan pekerjaan yang pernah aku lakukan sejak bergelar graduan. 3 tempat kerja sebelum ini, aku tinggalkan dengan rela hati. Memanglah sedih, tapi aku tidak pernah menitiskan air mata. Malah boleh tersenyum ceria. Namun, kerana cintaku telah tersemai di KPMB, aku gagal. Gagal mengawal perasaan. Sedih, pilu, terharu, rindu, semua bersatu dalam rasa yang berbuku di hati.

Senyuman kuukir. Ceria bertandang di wajah. Hatiku rela. Waktu kukemas tempatku, saat bersalaman dengan rakan-rakan sepejabat, tika berpelukan dengan pelajar-pelajar, tiada rasa yang terbit dari hati. Tiada tangisan yang luruh dari kedua kelopak mata. Semuanya kulalui dengan rela. Kunjungan pelajar yang tampak sugul ku balas dengan senyuman ceria dan kata-kata perangsang.

Namun, segalanya terungkai, setiap rasa terserlah, saat aku tinggalkan tempatku di KPMB. Sebelum melangkah keluar pejabat pada jam 6.15 petang, ku tenung setiap inci ruang pejabat General Studies Department. Kukutip setiap kenangan yang tersimpan di tempat itu. Kusemat kukuh dalam minda dan perasaanku. Saat itu, sendu yang tertahan di dada tidak mampu bertahan. Air mata mengalir deras. Air mata rindu. Airmata terharu. Air mata sayang.

Belumpun aku meninggalkan KPMB, rasa rindu pada KPMB telah membuak di dada. Di sini aku pelajari banyak pengalaman. Buat soalan exam, team marking, pelajar yang dahagakan bimbingan, kemesraan pelajar-pelajar, harapan pelajar, semuanya membuatkan aku rasa sayang. Sayang untuk berpisah dengan KPMB.

Sepanjang perjalanan pulang, dalam hujan air mata, aku doakan. Aku mengharapkan. Dia yang Maha Mengetahui akan mengurniakan kepada pelajar-pelajar yang dahagakan bimbingan dan perhatian ini, insan yang lebih baik daripadaku. Insan yang dapat menyelami hati dan perasaan mereka. Insan yang mampu membuahkan harapan, semangat, dan usaha dalam diri mereka untuk melayari hidup yang berliku ini. Insan yang tega berkorban untuk melihat mereka memperbaiki diri ke arah yang lebih baik rohani, jasmani, emosi, dan intelektual.

Alhamdulillah aku dikurnia seorang suami yang dapat bersama-samaku kala duka menguasai hati. Pada bahu abang, aku sekali lagi menghamburkan rasa terbuku. Kata abang, kalau kita terpaksa tinggalkan sesuatu yang kita sayangi, doakanlah kebaikan buatnya. Terima kasih abang.

SELAMAT MAJU JAYA BUAT SEMUA PELAJAR KPMB. SAYA SAYANG KAMU SEMUA.

Monday, November 14, 2005

Exam

Hari ni mood aku menurun bila ingat exam dah dekat. Camne ni, study tak lagi. Walaupun satu paper je, kena ready jugak. Assignment ade dua lagi yang tak settle. Kena hantar sebelum exam hari Jumaat ni. Haaa... inilah padahnya bila kerja menangguh ni. Last minute baru ler berdebar tak karuan. Mood pun bergolak.

Thursday, November 10, 2005

Bengang

Bengang dengan blog sendiri. Apesal ntah internet jadi lembab gile bila aku bukak blog sendiri. Arrggghh...

Wednesday, November 09, 2005

Nasi Dagang

Ntah kenapa tetiba seminggu dua ni aku jadi seorang peminat nasi dagang. Mungkin kerana aku rindu yang amat pada tanah kelahiranku, Kuala Terengganu. Sejak perginya arwah indewan, rumah 744 di Kampung Nesan ditinggal kesepian. Seperti sepinya hatiku dengan kenangan-kenangan lalu di rumah pusaka itu.

Aku ingat masa kecil-kecil (tak le kecil sangat, dalam alam sekolah rendah & menengah), kemeriahan hari raya di rumah 744 memang begitu terkesan. Biasanya saudara mara sudah mula berkumpul sejak 2 hari sebelum raya. Juadah wajib untuk berbuka puasa yang akan disediakan oleh arwah indewan ialah bubur lambuk. Memang sedap, tiada tandingannya.

Sebelum berbuka, mak-mak akan sibuk menyediakan hidangan. Projek biasa yang dilakukan ketika berbuka ni ialah ABC. Aku ingat lagi, mak saudara aku beli 'mesin' ABC yang plastik semata-mata nak buat ABC. Nak kisar air batu punye seksa. Berebut anak saudara menunggu giliran mendapat ABC. Selepas berbuka, turn anak-anak dara pula mengemas dan membasuh pinggan. Masa tu mane ade bibik yang nak tolong kemas. Punyalah seronok bekerjasama. Membuat kerja sama-sama inilah yang merapatkan kami sepupu sepapat.

Malam pula main mercun dan bunga api. Eh, ape pulak langgar peraturan? Masa tu mercun tak haram lagi. Tokeynya ialah pak sedara aku yang bongsu. Semua anak saudara join. Tak kira yang besar @ kecil. Meriah suasana malam membangkitkan kegirangan dan keriangan sekeluarga. Gantung tanglung keliling rumah.

Masa malam raya, cucuk satey, bakar satey, buat ketupat, buat kuah kacang, makan kerang rebus. Satey yang masuk mulut anak-anak lebih banyak dari yang dah dibakar. Masa tu takde istilah nak tempah menempah satey. Semua buat sendiri. Tokey satey ialah bapak-bapak. Anak-anak kebanyakannya jadi tukang sibuk dan tukang memeriahkan suasana. Anak-anak dara yang tolong tukar sarung kusyen. Keriuhan ini menerbitkan satu ikatan persaudaraan yang kukuh.

Namun, itu semua kenangan. Kenangan 744 yang kini sepi. Jauh dari kebingitan derap kaki anak-anak berlari di tingkat atas. Sunyi dari gelak tawa, senda gurau sanak saudara. Di rumah 744 ini kukenali seorang datuk (inde) dan seorang nenek (indewan), mak-mak saudara, ayah-ayah saudara, sepupu sepapat. Di rumah 744 ini terlalu banyak kenangan gembira yang terpahat di hati. Juga tertanam kukuh kenangan duka bersama arwah indewan. Aku rindukan semua kenangan-kenangan itu.

Kerinduan yang mendalam ini membuatkan aku begitu teringin makan nasi dagang. Bulan puasa hari tu aku makan nasi dagang Kelantan. Muak. Pagi tadi aku makan nasi dagang di Grand Cont, Kuantan. Tak sedap. Tak habis pun makan satu pinggan. Dan pastinya yang paling best ialah nasi dagang Terengganu kat Chendering. Pergghh... tak puas rasanya makan nasi dagang kat situ. Alhamdulillah, aku berkesempatan makan nasi dagang Chendering masa beraya di Kuala Terengganu raya ke 4 hari tu. Dan sekarang... aku teringin lagi nasi dagang kat Chendering tu.

Seorang Isteri...

Posted by Picasa


Posted by Picasa


Aku ingin menjadi isteri solehah
Tapi bagaimana?

Duhai hati
Redhalah dikau
menjadi seorang isteri
Bersabarlah dikau
atas segala ujian

Duhai suamiku yang disayangi
Bantulah aku
mengenal erti sebuah kehidupan
rumahtangga yang kita bina ini
Bimbinglah aku
yang serba kekurangan
juga ada kelebihan kurniaan Yang Esa

Ya Allah
Aku bermohon padaMu
Dengan segala kekuasaanMu
Kurniakan aku
jiwa yang tabah dan kental
Kurniakan aku
ketenangan dan kebahagiaan
Kurniakan aku
nikmat rasa kesyukuran
yang tidak terhingga padaMu...

Monday, November 07, 2005

KB - SA

Hari ini bermula kembali perjalanan hidupku diperantauan selepas menghabiskan cuti raya bersama keluarga tercinta. Cuma, title aku telah berubah. Daripada cik kepada puan. Bermakna tugas dan tanggungjawab aku juga bertambah. Kalau seminggu yang lepas, tanggungjawab aku berkisar sebagai anak, pelajar, dan tenaga pengajar, kini bertambah 1 lagi, sebagai seorang isteri.

Alhamdulillah, aku telah selamat diijabkabulkan dengan jejaka ketentuan Allah untukku pada 3 November 2005, jam 9.55 mlm, dengan sekali lafaz. Letih kerana tugas-tugas mengemas. Gembira kerana segala perancangan berjalan lancar. Terharu kerana ada yang sudi memperisterikan aku yang serba kekurangan ini.

Terima kasih buat mak dan adik-adik yang telah bertungkus lumus sepajang majlis pernikahanku. Bantuan dan jasa kalian tidak terbalas. Hanya Allah yang akan memberi ganjaran setimpalnya. Maaf dipohon dari mak kerana pelbagai peringkat dalam urusan perkahwinan honey membuatkan mak rasa susah dan letih.

Wednesday, November 02, 2005

Salam Lebaran

InsyaAllah... Esok, seluruh umat Islam akan meraikan satu hari kebesaran, hari raya, hari kemenangan. Suatu sambutan yang bukan perayaan budaya, bukan perayaan nenek moyang, bukan perayaan adat, juga bukan perayaan turun temurun.

Ia adalah suatu hari di mana seluruh umat Islam meraikan kesyukuran terhadap anugerah Islam yang Allah berikan kepada semua umat Islam. Bersyukur dengan nikmat Islam, bersyukur terhadap nyawa yang Allah kurniakan untuk terus beribadah, bersyukur dengan rezeki yang telah Allah berikan sepanjang hidup di dunia.

Tapi, berapa ramaikah antara kita yang merasakan kesyukuran tersebut? Terasakah kita betapa hebatnya keagungan Allah yang telah memberikan kita pelbagai nikmat yang tidak terkira? Lihatlah kembali dalam diri kita. Bagaimana kita melahirkan kesyukuran kita? Bagaimana kita meraikan hari raya yang sepatutnya menjadi kebanggaan umat Islam?

Bukan hari yang menyebabkan syaitan bersorak, berpesta kegembiraan.